Dengan izin Allah Ta‘ala, kita masih berpeluang pada tahun ini berada dalam bulan penuh barakah untuk sama-sama mengecapi kelebihan dan keutamaan Ramadan. Masih ada dalam kalangan kita yang melihat Ramadan hanyalah sebagai bulan puasa, iaitu bulan menahan dari makan dan minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa. Ada juga yang melihat Ramadan sebagai bulan pesta makan-minum dengan bazar Ramadan di merata tempat, sehingga di sesetengah tempat adakalanya menimbulkan perebutan dan pergaduhan untuk mendapat tempat berniaga di bazar Ramadan. Bulan dilihat akan memberi pulangan pendapatan yang besar bagi peniaga makanan.
Sewajarnya masyarakat kita khususnya dalam kalangan mereka yang sudah berpuluh tahun berpuasa, melakukan lonjakan paradigma agar tidak lagi berada pada takuk lama berpuasa di bulan Ramadan seperti mana aktiviti atau persepsi yang disebutkan itu tadi. Ini semua dapat dilakukan jika kita benar-benar menghayati “roh” Ramadan itu sendiri, seperti mana matlamatnya yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Untuk itu, kita perlu memahami makna kalimah-kalimah yang digunakan terkait dengan Ramadan kerana di situlah tersembunyi rahsianya roh Ramadan itu.
Mengikut Ibn Manzur dalam kitab Lisan al-Arab beliau, perkataan “Ramadan” berasal daripada akar kata ramadh yang membawa beberapa makna:
- Panas yang sangat terik;
- Pasir atau batu yang membara kerana cahaya matahari;
- Tapak kaki yang terbakar kerana panas;
- Rasa pedih atau terbakar dalam hati.
Orang Arab menamakan bulan-bulan berdasarkan keadaan cuaca ketika ia dinamakan. Ramadan dinamakan demikian kerana ia jatuh pada musim panas yang sangat terik ketika penamaan asalnya. Namun para ulama bahasa dan hikmah melihat bahawa nama itu bukan sekadar fenomena cuaca — ia membawa makna simbolik yang dalam, iaitu bukan sekadar panas membakar, tetapi bulan membakar dosa-dosa seperti mana ungkapan berbunyi: “Ramadan dinamakan demikian kerana ia bulan membakar dosa-dosa.” Sebagaimana panas matahari membakar pasir, demikianlah Ramadan membakar dosa, kelalaian, hawa nafsu dan kekotoran jiwa. Puasa menjadi api penyucian rohani.
Ramadan ialah bulan yang membakar nafsu melalui lapar; membakar syahwat melalui imsak; membakar sifat sombong melalui kerendahan diridan membakar kedekut melalui sedekahLapar adalah “panas” yang mendidik. Ia melemahkan dorongan tubuh agar ruh menjadi kuat. Dalam tradisi tasawuf dan maqasid, puasa dilihat sebagai proses:
- Takhliyah – Mengosongkan diri daripada sifat tercela
- Tahliyah – Menghiasi diri dengan sifat terpuji
- Tajalliyah – Tersingkapnya cahaya makrifah
Ramadan adalah bulan takhliyah yang paling kuat.
Sebagaimana tanah yang terbakar menjadi bersih daripada kotoran, hati yang “dipanaskan” dengan puasa menjadi lebih lembut dan bersih. Mengikut Ibn Manzur lagi, kepanasan dalam bahasa Arab bukan sekadar suhu fizikal. Ia juga digunakan untuk merujuk kepada beberapa bentuk “panas” yang lain iaitu: panas marah; panas rindu; panas penyesalan dan panas kerinduan kepada Allah.
Imam al-Ghazali menyebut dalam kitabnya Ihya’ Ulum al-Din yang turut dirakamkan dalam Sahih Muslim, sebuah hadis daripada Zaid bin Arqam RA bahawa Rasulullah SAW keluar menemui penduduk Quba’ ketika mereka sedang menunaikan solat lalu Baginda bersabda: “Solat orang-orang yang banyak kembali (bertaubat) kepada Allah (al-awwabin) ialah ketika anak-anak unta merasakan panas yang membara (ramidhat al-fisal).’”
Kalimah “ramidhat al-fisal” ini menggambarkan saat matahari sudah tinggi dan pasir membara. Ia seolah menggambarkan bahawa ketaatan yang paling tinggi berlaku pada ketika kesusahan (kepanasan) memuncak. Nilai ibadah meningkat ketika kepanasan ujian terasa.
Solat orang-orang yang awwābīn, ialah solat mereka yang banyak kembali kepada Allah dengan taubat dan ketaatan. Para ulama menjelaskan bahawa yang dimaksudkan ialah solat dhuha. Waktu yang paling utama untuk menunaikan solat dhuha ialah ketika matahari sudah meninggi dan panasnya mulai terasa — bukan pada awal waktu dhuha, tetapi ketika kepanasan sudah memuncak sedikit. Apa yang ingin ditarik perhatian di sini ialah apabila Baginda SAW menyebut “apabila anak-anak unta (fisal) merasakan panas yang membakar daripada pasir yang terik, sehingga mereka terpaksa berlutut kerana tidak tahan panasnya” (ramidhat al-fisal).
Kepanasan dalam Ramadan terzahir dalam tiga bentuk:
1. Panas Fizikal: Lapar, dahaga, dan letih.
2. Panas Jiwa: Melawan marah, menahan syahwat, menjaga lidah.
3. Panas Taubat: Hati yang terbakar dengan penyesalan. Dan kepanasan inilah yang melahirkan cahaya.
Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi bulan transformasi. Ramadan adalah “ramadh” (kepanasan) yang disengajakan — kepanasan yang dipilih demi Allah. Semua ini lahir daripada “ramadh” — pembakaran yang mendidik iaitu bulan pembakaran dosa. Kepanasan Ramadan bukan untuk menyeksa, tetapi untuk menyucikan. Sebagaimana pasir yang membara menyingkirkan kekotoran, demikianlah puasa menyingkirkan sifat rendah manusia. Seperti mana api memurnikan emas, begitu jugalah puasa memurnikan jiwa insan melahirkan iman yang utuh. Dan selepas panas, datanglah hujan rahmat. Puasa membakar dosa-dosa dan nafsu rendah dalam diri kita — bukan dengan kekerasan, tetapi dengan proses penyucian yang lembut. Pada masa yang sama, Ramadan seperti hujan yang membersihkan dosa secara halus dan menyeluruh.

