Bijak Mengawal Diri dalam Menghadapi Tekanan
Kehidupan ini sememangnya sarat dengan ujian dan dugaan, sebagaimana diungkap oleh al-Imam al-Syafi`e r.h., “Ujian-ujian zaman datang begitu banyak, silih berganti tidak berhenti manakala kegembiraan sedikit sekali mengunjungimu seperti datangnya hari-hari perayaan; masa itu dua; yang tenteram dan yang sukar, kehidupan juga ada dua bentuknya; yang tenang dan yang bergolak….” Ujian dan dugaan ditimpakan atas manusia demi menguji keimanan, kebijaksanaan serta keteguhan semangat mereka dalam menghadapi dan mengatasinya. Dalam hubungan ini, al-Qur’an menjelaskan bahawa kehidupan dan kematian ditakdirkan sebagai ujian bagi manusia, “Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu : siapakah antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang yang bertaubat);” (Surah al-Mulk 67 : 2)
Selain menjelaskan rentak dan ragam kehidupan manusia di dunia yang fana ini, al-Qur’an juga banyak memberikan panduan bagaimana seharusnya sesuatu ujian dihadapi. Antaranya termasuklah dengan memohon pertolongan Allah melalui cara bersabar dan juga menunaikan solat. Banyak benar kisah Nabi-nabi yang diuji dengan pelbagai bentuk ujian berat dipaparkan oleh al-Qur’an, sebagai petunjuk dan panduan bagi manusia dalam menghadapi ujian yang ditimpakan atas mereka. Memetik kata-kata Nabi Ya`qub a.s. misalnya, “Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah…” (Surah Yusuf 12 : 86). Ringkasnya, orang yang beriman dan bertaqwa akan sentiasa mengembalikan segala urusan hidupnya kepada Allah s.w.t. kerana meyakini bahawa Dialah sebaik-baik sandaran dan pergantungan diri.
Hari ini kita dapat melihat sedemikian banyak tragedi dan peristiwa menyayat hati berlaku dalam masyarakat akibat kerapuhan iman dan kehilangan kewarasan, pedoman serta pertimbangan. Sebagai contoh ialah tragedi pembunuhan anak-anak yang masih kecil dan tidak berdosa akibat pertelagahan dengan pasangan yang berlaku di utara tanah air baru-baru ini. Pembunuhan yang dipercayai dilakukan oleh ibu kanak-kanak itu sendiri, begitu mengejutkan kerana menurut pemikiran yang waras, tidak mungkin seorang ibu terdorong untuk melakukan perbuatan seumpama itu. Ini kerana, hubungan antara seorang ibu dengan anaknya lazimnya begitu intim kerana pertautan kasih sayang yang begitu mendalam dan sukar diungkap melalui perkataan. Erat serta padunya hubungan antara ibu atau bapa dengan anak-anak mereka dapat dilihat pada penetapan undang-undang jenayah Islam bahawa anak-anak merupakan milik dan sebahagian daripada ibu dan bapanya. Sehubungan itu, menurut pendapat Abu Hanifah, al-Syafi`e dan Ahmad, jika ibu atau bapa yang melakukan pembunuhan terhadap anak mereka, hukuman qisas (bunuh balas) tidak dilaksanakan terhadap mereka.
Kita umumnya mengetahui bahawa agama, jiwa, akal, keturunan dan harta merupakan lima perkara yang terangkum dalam maksud syarak atau maqasid al-syari`ah yang wajib dipelihara. Pemeliharaan kelima-lima perkara atau maslahah ini dijelaskan oleh al-Imam al-Ghazzali r.h. sebagai perkara daruriyyah, iaitu salah satu daripada tiga kategori maqasid al-syari`ah ini. Daruriyyah ditakrifkan sebagai segala sesuatu yang diperlukan bagi memelihara kemaslahatan dalam beragama dan juga kemaslahatan dalam menjalani kehidupan. Menurut al-Ghazzali lagi, ia merupakan kategori atau tahap kemaslahatan yang paling utama. Sebagai contoh, syarak menetapkan qisas kerana ia memelihara jiwa dan menetapkan hadd minum arak kerana ia memelihara akal yang menjadi sendi taklif (pertanggungjawaban). Demikian juga ditetapkan hadd zina kerana ia memelihara keturunan.
Kegagalan untuk memelihara kelima-lima perkara ini pasti akan menggugat ketenteraman dan kesejahteraan dalam kehidupan sesebuah masyarakat. Misalnya, disebabkan kecuaian memelihara akal, manusia akan terdorong melakukan jenayah, kezaliman serta dosa seperti perzinaan dan pembunuhan. Kemuliaan dan kepentingan akal demikian nyata sehingga Islam tidak membebankan manusia dengan tanggungjawab keagamaan sekiranya akal mereka tidak waras. Bagi memelihara akal, Islam menggalakkan segala bentuk kegiatan yang menjamin kesejahteraan dan perkembangannya seperti menuntut ilmu, membaca dan sebagainya. Sebaliknya Islam mengharamkan segala bentuk perbuatan yang boleh merosakkan kewarasan akal dan mengenakan hukuman bagi mereka yang melakukannya seperti meminum minuman yang memabukkan dan mengambil dadah.
Kewarasan akal dan keteguhan iman membolehkan manusia mengawal dirinya daripada dikuasai oleh nafsu dan hasutan syaitan yang sering kali dijelaskan oleh al-Qur’an sebagai sentiasa mendorong manusia melakukan kemudaratan, kejahatan serta dosa. Dengan yang demikian, apabila menghadapi kesulitan dan cabaran getir dalam kehidupan, individu terbabit tidak sekali-kali akan dipengaruhi oleh emosinya untuk melakukan sesuatu kemudaratan dan tidak pula membalas kemudaratan yang ditimpakan terhadap dirinya dengan bentuk kemudaratan yang sama atau lebih berat lagi, atau juga melakukan kemudaratan dengan melibatkan pihak lain yang sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan tekanan yang dihadapi. Inilah sebenarnya yang telah pun digariskan oleh fuqaha’ dalam kaedah fiqh “la darar wa la dirar” (tidak melakukan kemudaratan dan tidak membalas kemudaratan dengan kemudaratan).
Pendedahan bahawa sebahagian rakyat negara ini hidup dalam tekanan dan menunjukkan tanda menghidap penyakit jiwa sehingga sanggup bertindak di luar batas kemanusiaan memberikan isyarat betapa goyahnya pegangan iman dan ceteknya ilmu agama yang dimiliki. Justeru itu, kerjasama semua pihak yang terbabit amat diperlukan bagi menangani perkara ini. Langkah yang diambil oleh kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan memperkasa program “Satu Keluarga Satu Kaunselor” (SKSK) yang dilancarkan pada 4 Februari 2007 lalu seharusnya disusuli dengan komitmen jitu pihak-pihak yang lain. Misalnya media elektronik boleh memainkan peranan dengan lebih banyak menerbitkan program yang dapat memberikan panduan kepada anggota masyarakat dalam menghadapi tekanan supaya dapat mengawal perasaan dengan penuh bijaksana. Bagi individu yang terbabit dan menghadapi tekanan yang sukar diatasi, mereka seharusnya menyedari bahawa mereka memerlukan bantuan daripada orang lain yang akan membantu mereka menghadapi kesulitan dan tekanan yang dihadapi, terutamanya bagi mengelakkan mereka melakukan perbuatan yang menimbulkan kemudaratan yang besar. Demikian juga dengan ahli keluarga dan kumpulan terdekat dengan individu yang menunjukkan tanda-tanda mengalami tekanan tidak terkawal. Seharusnya bantuan dihulurkan kepadanya melalui perbincangan, nasihat serta sokongan dan sebaliknya, bukan dengan menimbulkan kemarahan dan kekecewaan yang akhirnya mengakibatkan tindakan di luar jangkaan seperti mencederakan atau membunuh. Usah dibiarkan sama sekali tabiat membenarkan perasaan menguasai diri menjadi amalan diri sehingga akhirnya jadilah kita seperti yang diungkap oleh bidalan, “Marahkan tikus, lengkiang dibakar,” marahkan perkara kecil, habis semua dibinasakan.