Pembangunan Ummah dan Cabaran Masakini
Di tengah-tengah perkembangan pesat dan keghairahan terhadap pembangunan sekarang, samada sedar atau tidak, manusia sedang menghadapi dua pilihan yang sangat penting. Samada mampu mempertahankan status manusia sebagai manusia yang mengabdikan diri secara mutlak kepada Allah, atau mencemarkan nama baik kemanusiaannya itu kepada penghambaan kepada pembangunan. Bagi pilihan pertama, manusia itu hidup sebagai pemegang amanah Allah untuk menjadi khalifahNya dan memakmurkan alam ini seadanya, dan pilihan yang kedua pula menawarkan kelonggaran ikatan yang kadang-kadang menafikan perhubungan perhambaannya dengan Allah yang seterusnya menjadi hamba kepada kebendaan.
Tidak kurangnya juga mereka yang berada di antara dua keadaan ini yang sering mencampur-adukan pilihan yang pertama dengan yang kedua, yang mana akhirnya melahirkan rupabentuk manusia sebagaimana yang telah disabdakan oleh junjungan Nabi Muhammad s.a.w. “Dahuluilah olehmu dengan amal-amal soleh akan kedatangan huru-hara dahsyat sebagaimana saat-saat malam yang gelap gelita, yang pada waktu itu akan terjadi seorang pada paginya beriman dan petangnya kafir, atau petangnya beriman dan paginya kafir, agama dijual dengan keduniaan.” Keadaan yang berlaku ini sudah pastilah bertentangan dengan syariat Islam yang mahukan pengikutnya melaksanakan Islam sepenuhnya, sebagaimana firman Allah dalam surah al Baqarah ayat 208,
“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya, dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.”
Dalam realiti pembangunan dunia sekarang, yang lebih global dan nampaknya lebih didominasi oleh liberalis dan kapitalis, kecenderungan manusia tentulah lebih kepada pilihan yang kedua, walaupun kadang-kadang terselit unsur-unsur pembangunan yang kelihatan serasi dengan Islam. Hal ini sebenarnya memang tidak menghairankan kerana asas yang membangunkan rangka kerja pembangunan itu sendiri tidak Islamik dan sering menghasilkan manusia yang keliru dan menjerumuskan mereka kepada pilihan yang kedua. Mereka itu kelihatan membangun dari aspek fizikal dan kebendaan tetapi kosong dari segi jiwa dan rohani.
Demikianlah keadaan dan kelakuan masyarakat yang bertunjangkan kepada sistem pembangunan kontemporari yang selalu mengelabui kedudukan manusia sebagai khalifah di mukabumi. Kemajuan yang dibawa tidak dapat membangunkan manusia malah lebih untuk meruntuhkan kemanusiaan. Ianya diamalkan dengan berasaskan kepada landasan yang asing daripada tuntutan Islam, bukannya mengikut pembahagian dan penekanan yang telah disyariatkan. Justeru itu, ia melahirkan manusia yang tidak jelas peribadi dan pembawaannya, walaupun dari segi kebendaan dan inteleknya tinggi.
Gabungan antara kebendaan dan intelektual ini pula seterusnya menimbulkan faktor lain yang turut menyumbang kepada kekeliruan dan kelemahan manusia, terutamanya umat Islam. Hasil daripada tujuan yang salah daripada pembangunan dan kemajuan, natijahnya jelas menghasilkan tamadun materialisme, iaitu satu peradaban kebendaan yang kini melanda setiap kehidupan manusia. Tamadun ini menolak segala nilai yang tidak sehaluan dengannya, dan setiap gerak tindak manusia tertumpu hanya kepada nilai tamadun ini. Bahkan ianya sudah dianggap seperti “agama baru” di zaman ini.
Menyentuh mengenai “agama baru” ini, Maulana Syed Abul Hassan Ali Nadwi, berkata: “Falsafah kebendaan yang berasal dari Barat ini telah menjadi satu Deen baru, Deen yang kedua besarnya sesudah Dinul Islam. Ia dengan senang pula memikat hati orang-orang yang terpelajar sehingga mereka sanggup mengutuk dan memperkecil-kecilkan ajaran-ajaran lain yang bertentangan dengan Deen baru ini. Boleh jadi di antara mereka ini ada yang mengakui beragama Islam, tetapi dengan lisan sahaja, sedangkan perbuatan mereka dipengaruhi oleh falsafah kebendaan dari Barat yang menjadi asas penting bagi faham Mulhid.”
Selain daripada faktor “agama baru” ini, yang berperanan besar dalam mempengaruhi dan mewarnai gaya hidup manusia masakini, faktor kepimpinan juga sama pentingnya. Faktor-faktor ini sebenarnya tali temali antara satu sama lain. Bermula daripada lemah dan longgarnya pegangan manusia kepada aqidah tauhid yang qudus sehinggalah ianya merebak dan kait mengait dengan keperihalan manusia yang lain. Kepimpinan dilihat sebagai salah satu faktor yang penting dalam Islam. Rasulullah s.a.w. sebagai pemimpim utama dalam Islam adalah contoh yang paling unggul untuk dituruti, dan kemudian diikuti oleh para sahabat dan para ulamak yang sambung menyambung membela risalah suci ini hinggalah sekarang.
Kelesuan dan kedinginan ulamak untuk berperanan dengan sewajarnya turut menjadi faktor terpesongnya pembangunan manusia ke arah yang diharapkan. Kewujudan mereka sering dipersoalkan kerana tidak terasa adanya kewujudan itu dalam soal pembangunan masakini. Kalau pun ada hanya di pinggir-pinggir sahaja, malah dalam banyak hal dilupakan terus seolah-olah peranan ulamak sudah tidak ada lagi. Peranan ulamak di dalam pembentukan pelbagai cabang ilmu kurang mendapat tempat dan tidak diberi perhatian. Juga dalam bidang-bidang seperti ekonomi, kebudayaan, seni, sukan, hiburan, sosial dan yang berbagai lagi itu, peranan mereka hanya meminggir sahaja. Suara-suara mereka ditenggelami oleh suara-suara lain yang lebih lantang dan bertenaga. Peranan mereka disisihkan dan hanya digunakan apabila dirasakan perlu.
Oleh itu sudah tiba masanya para ulamak mengembalikan martabat mereka kepada kedudukan yang sewajarnya sebagai pewaris para nabi yang berperanan sepenuhnya dalam setiap aspek kehidupan dan pembangunan manusia. Dalam hal ini pesanan Imam al Ghazali amat baik untuk dijadikan renungan: “Ulamak janganlah menggunakan agama atau ilmunya sebagai alat untuk mencari kesenangan dunia. Perbuatan dan amalan hidup seharian ulamak hendaklah sepakat dengan ilmu mereka. Ulamak hendaklah tekun mengumpulkan ilmu yang berfaedah dan tidak menyibukkan diri dengan ilmu-ilmu yang tidak ada gunanya…….” Demikianlah beberapa pesanan Imam al Ghazali untuk mengembalikan martabat ulamak.
Lanjutan daripada tidak berkesannya ulamak dalam menangani gejala keruntuhan manusia abad ini, “modenisme palsu” ialah satu lagi faktor yang turut memberi sumbangan besar ke arah tersebut. Aliran ini adalah terhasil daripada ilmu sekular dan merupakan induk kepada tamadun materialisme. Aliran ini meletakan manusia di puncak segala-galanya dan manusialah yang bertanggungjawab secara mutlak terhadap segala urusannya di dunia. Hidup hanya untuk dunia, dan pada pandangan mereka konsep kehidupan di Hari Akirat adalah dongeng purbakala yang menyekat kemajuan.
Modenisme palsu ini kemudiannya mencetuskan banyak fahaman-fahaman baru yang dianggap maju, progresif dan saintifik. Aliran ini mencipta fahaman yang amat sempit kerana hanya berlegar pada tahap perhubungan fizikal antara manusia dengan manusia dan benda sahaja. Modenismelah yang bertanggungjawab memutarbalikkan ukuran dan penilaian sesuatu dan menimbulkan keraguan terhadap kebenaran ilmu-ilmu keTuhanan, dan sebaliknya pula meletakan ilmu sains moden pada tahap yang tertinggi.
Segala aspek pembangunannya memberi keutamaan kepada tuntutan-tuntutan syahwat dan memberi tumpuan kepada kepuasan yang boleh dikecap oleh panca indera sahaja. Perubahan demi perubahan dicipta hanya untuk kepuasan nafsu yang meluap dan diterima pula sebagai pembangunan dan kemajuan. Malah modenisme ini juga turut mencipta tuhan-tuhannya yang tersendiri dalam berbagai bentuk dan wajah, mencipta hukum dan sistemnya sendiri, serta membentuk konsep hidupnya yang tersendiri yang amat ganjil dan asing daripada konsep keTuhanan Islam.
Demikianlah keruntuhan nilai kemanusiaan yang akan terus menerus berlaku kerana tidak mengikut proses pembangunan kemanusiaan yang dicirikan oleh Islam. Kalau manusia dalam sistem pembangunan kontemporari itu sudah berada di atas landasan yang gelap dan sesat, akan terus di situlah mereka selagi asas dan matlamatnya tidak dibetulkan, selagi rangka kerjanya tidak dibentuk secara lengkap mengikut teras Islam secara keseluruhannya. Pembangunan berteraskan Islam adalah pembangunan yang berasaskan kepada Keesaan Allah, matlamatnya ialah keredhaan Allah, dan rangka kerjanya pula mencakupi jangka waktu yang panjang, kehidupan di dunia dan di akhirat.
Oleh hal yang demikian, manusia itu perlu dipimpin dan diberitahu bahawa pembangunan berteraskan Islam adalah lebih luas daripada pembangunan yang hanya boleh dilihat oleh mata kasar, kerana ia bukan sahaja memerlukan penggabungan bersepadu antara manusia dan sumber alam, malah lebih penting daripada itu ialah penggabungan antara unsur dalaman dan unsur luaran manusia. Antara kalbu, akal dan nafsu dengan anggota lahiriah dan pancaindera yang lain. Interaksi murni di antara dua unsur yang bertunjangkan pengabdian sepenuhnya kepada Allah ini sahajalah yang dapat melahirkan amal dan tindak laku manusia yang selamat pembangunannya.