Memperkukuh Iman, Perpaduan Untuk Majukan Islam
IBADAH haji menjana sifat ketakwaan dan keimanan sejati dalam diri setiap Muslim. Ketakwaan dan keimanan secara tidak langsung akan memupuk kekuatan dalaman seseorang itu untuk mengamalkan dasar perpaduan dan persaudaraan sesama manusia.
Haji adalah sebagai bengkel kerohanian untuk menggilap jiwa setiap Muslim agar bersinar dengan suluhan takwa dan iman. Penghayatan ini amat penting kerana iman dan takwa berfungsi sebagai pemangkin ke arah keunggulan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
Ibadah haji juga, mampu membina kesatuan perpaduan ummah daripada pelbagai bangsa dan watan di atas dasar takwa kepada Allah. Berpecah belah dan pergaduhan sesama sendiri adalah penyumbang utama kepada kemunduran umat Islam dalam pelbagai bidang. Lantaran itu, dengan hikmah perhimpunan besar-besaran di Baitullah, Padang Arafah dan Mina, persaudaraan umat Islam dapat disimpulkan.
Dalam kata lain, kesatuan ummah yang utuh supaya bersatu teguh dan bersemangat padu dalam meneruskan kesinambungan Islam, yang dirintis oleh generasi Rasulullah saw dan sahabat, serta generasi selepasnya, dapat diteruskan. Dari sinilah, masing-masing dapat memainkan peranan sewajarnya dalam mengekalkan tali persaudaraan dan bertindak saling kukuh-mengukuhkan untuk memartabatkan maruah umat Islam di persada dunia.
Haji juga memupuk semangat jihad dan daya juang mengharungi arus kehidupan. Umat Islam yang mengerjakan haji sebenarnya menjalani latihan praktikal untuk berjihad dan berjuang kerana Allah. Mereka mengorbankan keselesaan hidup di dunia, kemewahan harta benda, kebanggaan kepada keturunan dan kehendak nafsu.Kita menyedari bahawa penyemaian semangat jihad ini seiring dengan kedatangan Islam yang memerlukan penganutnya memiliki semangat jihad dan daya juang tinggi untuk menyebarkan syiar Islam. Dengan melalui semua cabaran itu, umat Islam akan mengerti bahawa hidup ini penuh dengan perjuangan getir. Sekiranya mereka dapat menghadapinya dengan penuh kesabaran dan ketakwaan, mereka berjaya meraih kekuatan, kemenangan dan kejayaan yang hakiki di sisi Allah.
Daripada sifat tabii yang mengandungi naluri konflik dalaman ini, kemahuan untuk hidup berkelompok dan bermasyarakat sering kali menyebabkan berlakunya permusuhan, perkelahian dan peperangan.Dalam keadaan sedemikian, umat manusia dibekalkan dengan petunjuk Allah agar dapat hidup aman damai. Sifat manusia yang lemah ini dapat dihapuskan sekiranya kita berpegang teguh kepada tali Allah dan mengamalkan suruhan-Nya dalam kehidupan harian.
Masalah yang dihadapi oleh umat Islam hari ini ialah, tidak ada sebarang pertubuhan di dunia yang dapat membela nasib mereka secara adil dan saksama. Negara Islam sudah hilang keyakinan terhadap Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) kerana mandat yang diberikan kepadanya dieksploitasi oleh permainan kuasa besar.
Akibatnya, dunia Islam terus dilanda konflik berpanjangan dan satu demi satu negara Islam diperkotak-katikkan kedaulatan tanah air mereka oleh kuasa kufar yang didalangi Amerika Syarikat.
Sampai bilakah umat Islam terus ditekan seperti ini? Sedangkan umat Islam di seluruh dunia yang begitu besar jumlahnya, digeruni oleh pihak musuh akan kebangkitannya.
Selagi umat umat Islam tidak bersatu padu dalam erti kata sebenar, mereka akan terus berada dalam serba kekurangan dan kelemahan.
Justeru itu, marilah kita mengambil iktibar dari keadaan ini dengan memperbetulkan diri dan masyarakat menerusi pengukuhan perpaduan dan pemantapan iman. Ini kerana iman yang kuat adalah faktor kepada pembinaan perpaduan.