Pengurusan Islam Hasilkan Pekerja Produktif, Berkualiti
ISLAM diturunkan Allah untuk menyusun kehidupan manusia di peringkat individu dan masyarakat. Ini untuk mencapai kemakmuran dan kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat.
Penumpuan kepada usaha mendidik individu dan menyusun masyarakat di peringkat awal bagi melahirkan insan berguna dan mengatur sistem hidup masyarakat supaya berfungsi dengan baik.
Pendekatan Islam bukan hanya dengan mencari penyelesaian kepada akibat daripada suatu permasalahan. Malah, Allah dari awal lagi mengarahkan manusia supaya dididik dan disusun untuk kecemerlangan dengan berasaskan prinsip yang menepati fitrah kemanusiaan.
Proses penyusunan baik mengikut Islam memerlukan kepada suatu sistem pengurusan diri, keluarga, organisasi dan negara yang mantap demi membawa kepada wujudnya sebuah tamadun mulia serta progresif.Di peringkat pengurusan organisasi, Islam menganjurkan kepada metodologi pendekatan sesuai dan praktikal.Islam tidak mengesyorkan semoga bentuk, mekanisme dan kegiatan pengurusan organisasi yang sedang beroperasi secara cemerlang oleh masyarakat bukan Islam dihapuskan, melainkan kegiatan itu jelas bertentangan dengan falsafah Islam.
Islam hanya mengutarakan garis panduan dan mengambil kira suasana serta budaya persekitaran. Justeru, proses perubahan ke arah mencapai kejayaan hendaklah melalui penerapan nilai tauhid kepada falsafah dan roh sistem sedia ada yang terbukti berfungsi.
Dalam proses pengurusan, pekerja yang menganggotai sesebuah organisasi hendaklah diberi keutamaan. Manusia pada fitrahnya memiliki sifat makhluk individu dan sosial. Untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam ke semua usaha, memahami hakikat ini sangat perlu.
Sifat makhluk individu menonjolkan bahawa setiap orang ingin menjaga kepentingan dan kecapaian diri. Di samping itu, sebagai makhluk sosial manusia saling memerlukan dalam mengatur tugas dalam organisasi.Islam mengemukakan pendekatan usaha dan tindakan yang mengharmonikan kepentingan individu serta bermuafakat melaksana tugas dalam organisasi. Ini penting demi mencapai matlamat organisasi.
Untuk menjayakan keharmonian ini di peringkat individu, Islam mengutamakan kepada pembentukan pandangan hidup dan menghayati pendidikan akhlak. Ini semoga sahsiah seseorang dapat dibentuk dengan memiliki sikap positif serta progresif dan mengamal peri laku mulia. Usaha ini perlu kepada pendidikan yang dapat meningkat kefahaman dan berusaha menjalani latihan kerohanian semoga tindak tanduk yang negatif dapat dikurangkan. Akhlak dan peri laku seseorang sepatutnya mengarah kepada tanggungjawab dan prestasi kerja.
Memahami suasana semasa juga keperluan penting. Justeru, menguasai ilmu sosiologi, ekonomi, politik, kebudayaan dan sebagainya adalah sesuatu yang penting.Islam turut memberi tumpuan kepada peningkatan daya kemahiran dan kepakaran individu pekerja dalam sesebuah organisasi. Organisasi dengan itu mesti menganggap pekerja sebagai sumber terpenting dan sanggup melabur kepada peningkatan kepakaran mereka.
Individu yang hendak dibangun mesti memiliki ciri tertentu. Ini seperti sikap positif dan progresif, akhlak murni, memahami realiti dan budaya masyarakat serta daya kepakaran tinggi di peringkat tahap pekerjaan masing-masing.
Tanpa ciri ini, kejayaan sesebuah organisasi akan berada pada tahap rendah. Bahkan, hanya memiliki di antara ciri ini tidak mungkin membawa kepada kejayaan membanggakan.
Sifat mementing diri adalah daya penggerak yang dapat memberi sumbangan positif kepada kemajuan sesebuah organisasi. Ini jika sifat itu dapat dididik dan diletak pada tempatnya. Tanpa sifat ini tidak mungkin manusia akan berusaha dengan gigih demi mencapai kejayaan diri. Bahkan sifat itu pada fitrah wujud dalam diri manusia.
Justeru, bagi Islam daya usaha dan kreativiti seseorang akan dapat dijayakan jika sistem organisasi memberi ruang secukupnya kepada kebebasan usaha individu.Islam hanya memberi panduan melalui tanggungjawab keagamaan yang perlu dilaksanakan demi pencapaian matlamat organisasi. Di samping itu, Islam memberi penekanan kepada pendidikan dan latihan spiritual semoga
sifat mementing diri dapat diletak pada tempat sebenar.
Dengan pendekatan ini Islam berkeyakinan bahawa, sikap serta peri laku individu akan berbentuk positif dan optimis.
Hasil keyakinan kepada peranan individu dalam sistem penyusunan organisasi Islam, dapat memberi keutamaan kepada pembangunan sumber manusia secara menyeluruh. Ini dapat meningkatkan daya kemahiran dan kepakaran dengan disertai nilai akhlak mulia.Dalam sistem penyusunan organisasi, ruang untuk individu berusaha serta membuat keputusan perlu diperluaskan. Struktur membuat keputusan organisasi dengan itu akan diagihkan ke bahagian dan unit tertentu mengikut keperluan dan bidang tugas relevan.
Semangat tolong menolong dan budaya bekerja berpasukan perlu diwujudkan. Ini dapat melaksanakan semangat syura atau perbincangan dalam menangani sesuatu tugas. Ia juga dapat mengurang kerenah pekerja dalam menjalani tugas organisasi.
Kecemerlangan dalam menghasilkan produktiviti dan kualiti tugas adalah natijah daripada memiliki pandangan hidup itu, yang dapat diterjemahkan dalam prinsip pengurusan dan penyusunan organisasi.Hasil menerajui pengurusan mengikut perspektif di atas semangat keadilan akan dapat diterapkan dalam pengurusan organisasi. Pelaksanaan roh keadilan dalam pengurusan akan mengukuhkan suasana dan budaya muafakat dalam segala bentuk urusan tugas dan tanggungjawab. Bahkan kemuncak wujudnya prinsip keadilan akan menghasil kejayaan cemerlang dalam bentuk produktiviti dan kualiti kerja pekerja.