Islam Menjamin Kesihatan Seksual Remaja
Islam sebagaimana yang difahami merupakan satu gaya hidup yang lengkap dengan pelbagai panduan yang mencorakkan kesempurnaan ajarannya. Oleh yang demikian, umat Islam sudah semestinyalah tidak akan teraba-raba dalam mengharungi alam yang fana ini dalam keadaan yang tidak pasti atau dalam keraguan. Ini termasuklah isu yang berkaitan dengan seksualiti yang merupakan aspek kehidupan yang amat peribadi bagi seseorang individu itu. Islam sentiasa cuba memberi panduan untuk mereka agar tidak timbul rasa bersalah di kemudian hari.
Remaja pula merupakan satu kelompok masyarakat yang amat besar nilainya bagi umat Islam. Mereka adalah bakal pemimpin dan pendakwah yang akan meneruskan kesinambungan masyarakat dan tamaddun bangsa mereka. Sebagai pemimpin dan pembela di masa yang akan datang, mereka itu wajar dibela dan dipelihara sebaik mungkin. Di samping menyediakan suasana yang mampu meningkatkan potensi perkembangan dan kecemerlangan diri mereka, para remaja juga hendaklah dididik dan ditunjuk ajar tentang pelbagai perkara yang baik. Mereka juga hendaklah diasuh untuk sentiasa meningkatkan keupayaan diri sendiri dengan memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan maklumat yang baik serta kemahiran-kemahiran tertentu.
Era globalisasi kini telah mendedahkan para remaja dengan pelbagai gaya hidup dan persekitaran yang amat luas dan mencabar. Cabaran dan dugaan yang luas ini adalah tidak terhad, termasuklah aktiviti kehidupan peribadi mereka yang menyangkut aktiviti seksualiti. Ini merupakan satu isu kerana para remaja pada era ini lebih terdedah dengan implikasi berkaitan aktiviti seksual. Pada asasnya, aktiviti seksual remaja kini berlaku akibat daripada aktiviti gaya hidup bersosial yang terlalu bebas dan tiada had. Kajian klinikal di Amerika mendapati bahawa golongan remaja dan belia yang berusia antara 17 dan 30 tahun adalah golongan yang paling ramai dijangkiti pelbagai penyakit jangkitan seks. Trend ini dijangka akan berterusan memandangkan remaja adalah golongan yang paling aktif dan seterusnya menjadikan mereka sebagai golongan yang paling berisiko tinggi dijangkiti penyakit kelamin. Selagi perubahan gaya hidup sihat tidak diamalkan, para remaja akan terus menjadi kumpulan utama dijangkiti pelbagai penyakit jangkitan seks dan juga kumpulan teramai yang menyebarkan penyakit jangkitan seks dalam masyarakat.
Gaya hidup sihat adalah gaya hidup yang mengutamakan amalan kesihatan dan pencegahan jangkitan penyakit. Trend semasa menunjukkan bahawa kebanyakan penyakit merbahaya berlaku akibat daripada amalan gaya hidup yang tidak sihat. Malah, kebanyakan jangkitan oleh bakteria, virus dan kulat juga disebarkan oleh aktiviti gaya hidup yang tidak sihat ini. Sebagai contohnya, penyalahgunaan dadah boleh menyebarkan HIV yang mengakibatkan AIDS. Ketagihan alkohol pula boleh menyebabkan penyakit kongenital, sindrom otak organik dan lain-lain. Perlakuan seks bebas boleh menyebabkan jangkitan penyakit kelamin seperti syphilis, gonorrhea, chlamydia, herpes dan sebagainya, termasuklah AIDS. Gaya pemakanan yang tidak seimbang pula boleh menyebabkan penyakit kardiovaskular, obesity, kencing manis, darah tinggi dan sebagainya.
Di seluruh dunia, amalan gaya hidup seks bebas dan tidak sihat telah menjadi punca utama pelbagai penyakit jangkitan seks seperti yang telah disebutkan di atas. Dan kini, insiden ini amat ketara pula di kalangan remaja. Menurut anggaran WHO atau World Health Organization, setiap tahun, setiap seorang daripada 20 orang remaja akan dijangkiti penyakit kelamin. Dan daripada 333 juta kes baru penyakit jangkitan kelamin, 111 juta kes berlaku di kalangan belia berusia bawah 25 tahun. Jangkitan syphilis akan meningkat ke tahap tertinggi bagi golongan berusia antara 15 dan 30 tahun berbanding kumpulan umur lain. Setiap tahun, purata lebih daripada separuh kes baru HIV adalah di kalangan belia berusia antara 15 dan 24 tahun. Di Amerika, terdapat 2 kes baru jangkitan HIV dalam tempoh satu jam, manakala di Malaysia terdapat 13 jangkitan baru setiap hari, sebagaimana menurut Kementerian Kesihatan (BH, Mei 17, 1999).
Trend ini akan berterusan dan akan menjadi bertambah buruk melainkan amalan gaya hidup sihat menjadi teras kehidupan. Islam sememangnya sudah menyediakan garis panduan tersendiri sebagai asas kepada amalan gaya hidup yang sihat ini terutamanya dalam mencegah penyakit jangkitan kelamin. Dalam al Quran, surah Al Isra’, ayat 32 bermaksud
‘dan janganlah kamu hampiri zina, kerana ia adalah seburuk-buruk perbuatan, yang membawa kepada kejahatan’.
Daripada ayat ini, dengan tegas Allah memerintahkan umat Islam supaya menjauhkan diri daripada perzinaan, apatah lagi melakukannya. Ayat ini juga melarang manusia mendekati sebarang punca yang boleh membawa kepada terjadinya zina. Mereka ditegah sama sekali melibatkan diri dengan perkara-perkara yang mencetuskan zina seperti menonton filem atau membaca majalah lucah, bercerita tentang sesuatu yang lucah, menjual atau membeli barangan berunsur kelucahan, bercampur gaul dengan bebas antara lelaki dan perempuan, memberi isyarat berunsur seks dan sebagainya. Semua faktor ini mendorong kepada perlakuan seks yang tidak sihat. Lebih baiklah menjauhi semua perkara ini sebelum terjadinya perzinaan.
Pendekatan yang diberikan oleh Islam ini lebih bersifat behavioristic dan praktikal serta menjurus kepada kaedah pencegahan. Ia menuntut agar umat manusia tidak membiarkan diri mereka terjebak ke kancah perzinaan dan kemaksiatan yang jika terjadi akan membawa kepada pelbagai implikasi buruk yang mungkin akan melibatkan perbelanjaan, usaha dan tenaga yang banyak bagi tujuan rawatan dan perubatan. Malah, kadang kala nyawa pula yang akan menjadi pertaruhannya.
Remaja pula sebagai satu kelompok yang kurang matang (walaupun waras) sering gagal menilai implikasi tersebut. Apa yang terlintas di fikiran mereka hanyalah keseronokan tanpa menilai risiko dan kerugian yang akan dialami kemudian. Berfikirlah, apakah mereka sekadar ingin menikmati keseronokan yang sementara sifatnya tetapi akhirnya terpaksa menanggung kerugian dari segi kewangan, kesihatan dan mungkin nyawa. Amalkanlah gaya hidup sihat sebagaimana yang telah diajar oleh Islam.