Meredai Dugaan dan Musibah yang Menimpa
Hidup kita memang penuh dengan dugaan dan ujian. Tanpa ujian dan dugaan, sudah tentulah hidup kita yang cuma sementara sahaja ini akan menjadi hambar. Sesungguhnya apa sahaja yang ditakdirkan menimpa diri kita, mempunyai tujuan atau hikmahnya yang tertentu. Hikmah itu pula kadangkala kita sedari setelah sesuatu ujian yang menimpa kita itu berlalu atau juga langsung tidak kita ketahui sehingga akhir hayat kita. Allah s.w.t. menegaskan:
Terjemahan : “Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun….”(Surah al-Mulk 67 : 2)
Dalam mendepani ujian atau musibah yang melanda diri, kita sentiasa diingatkan supaya sentiasa bersabar dan menerimanya dengan hati yang terbuka serta penuh reda. Inilah panduan yang cukup berharga untuk diri kita agar kita dapat mengatasi setiap dugaan dengan penuh ketaqwaan dan kebijaksanaan.
Dalam kitab Jami’ al-Tirmizi disebutkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :
Terjemahan : ‘Apabila Allah mencintai sesuatu kaum, maka Dia menguji mereka. Sesiapa yang reda, ia akan mendapat keredaan Allah dan sesiapa yang marah, ia akan mendapat kemurkaan Allah’.
Kesimpulan yang dapat dibuat daripada Hadith ini ialah keredaan Allah bergantung pada sikap kita dalam menerima segala ujian-Nya. Sekiranya kita reda maka sudah pasti Allah akan meredai kita dan menunjukkan laluan yang mudah untuk kita. Akhirnya, kita akan dibimbing untuk menyelesaikan segala kesulitan dengan penuh ketenangan dan kebijaksanaan. Sekiranya pula kita berasa marah, kecewa dan tidak reda dengan apa yang telah ditimpakan Allah ke atas kita, kita sesungguhnya telah menyebabkan Dia memurkai kita. Tanpa kita sedari, kita sebenarnya telah mencampakkan diri kita ke dalam kebinasaan. Tanpa keredaan Allah, bagaimanakah mungkin kita dapat melayari hidup ini dengan sebaik-baiknya. Apatah lagi untuk menghadapi segala musibah dan dugaan yang juga datang daripada-Nya. Sudah pastilah jiwa kita tidak akan tenteram, langkah kita akan pincang dan hidup kita, secara keseluruhannya, hilang arah.
Khalifah `Umar ibn `Abdul `Aziz pernah berkata, “Keredaan terhadap sesuatu musibah merupakan kedudukan yang tinggi. Namun, Allah telah menjadikan kesabaran sebagai jalan pilihan yang baik.” Muhammad ibn Idris al-Syafi’e pula berkata Zubair ibn `Ubad telah bercerita kepada kami daripada Sari ibn Hayyan, beliau berkata bahawa `Abdul Wahid ibn Zaid telah berkata, “Keredaan ialah pintu Allah yang Maha Agung, syurga dunia dan lampu bagi ahli-ahli ibadah.”
Kata-kata `Abdul Wahid ini menjelaskan kepada kita bahawa keredaan kita terhadap setiap kurniaan Allah s.w.t., suka dan duka, nikmat dan musibah, akan lebih mendekatkan kita kepada-Nya dan memberikan kita kehidupan yang penuh kebahagiaan di dunia ini. Sekiranya kita menilai kedudukan diri kita ini yang begitu daif dan kerdil selain berharap hanya kepada Allah s.a.w. kita akan menginsafi bahawa kita perlu menerima segala yang diberikan oleh Dia. Siapakah kita untu menolaknya dan siapakah kita untuk mencari-cari kekurangan pemberian tersebut. Rasulullah s.a.w. bersabda :
Terjemahan : ‘Demi Zat yang diriku ada di tangan-Nya, tiadalah Allah menentukan sesuatu keputusan kepada hamba-Nya yang Mukmin melainkan akan membawa kebaikan kepadanya. Hal ini tidak berlaku kepada yang lain. Apabila Dia menimpakan kebaikan kepadanya, ia mensyukuri-Nya maka hal itu membawa kebaikan kepadanya. Dan apabila Dia menimpakan penderitaan ke atasnya, ia lalu bersabar terhadapnya dan ini pun adalah baik baginya.’(Muslim)
Setiap perkara yang diturunkan oleh Allah s.w.t. sememangnya berkaitan apa yang kita lakukan. Ini termasuklah musibah iaitu sekiranya kita melakukan atau terlibat dalam perkara-perkara yang bertentangan perintah-Nya. Ini sesuai dengan firman Allah s.w.t. :
Terjemahan : “Apa sahaja nikmat yang kamu peroleh ialah daripada Allah dan apa sahaja bencana yang menimpa kamu maka daripada (kesalahan) diri kamu sendiri.”(Surah al-Nisa’ 4:79)
Dalam satu ayat yang lain, Allah s.w.t. menegaskan :
Terjemahan : “Dan Kami uji mereka dengan (nikmat) yang baik-baik dan (bencana) yang buruk-buruk agar mereka kembali (kepada kebenaran).”(Surah al-A’raf 7:168)
Di samping itu, musibah yang diturunkan oleh Allah s.w.t. juga untuk menguji tahap kesabaran, tingkat kesyukuran selain mengukuhkan keimanan seseorang, khususnya bagi hamba-hamba-Nya yang beriman. Dari satu aspek, musibah yang ditimpakan Allah juga merupakan rahmat yang besar bagi hamba-hamba-Nya yang Mukmin ini iaitu untuk membersihkan diri, bertaubat kepada Allah s.w.t. dan menyesali segala kesilapan yang telah dilakukan. Hamba yang bertaubat, samalah seperti orang yang dikatakan oleh Sa`id ibn Jubair, “Sesunguhnya seseorang hamba itu akan melakukan kebaikan, namun ia di masukkan ke dalam neraka dan ada pula yang melakukan kejahatan lalu ia di masukkan ke dalam syurga. Ini disebabkan orang yang melakukan kebaikan itu merasa `ujub dengan kebaikannya. Sedangkan yang melakukan kejahatan pula menginsafi dirinya dan memohon ampun kepada Allah serta bertaubat kepada-Nya.”
Reda merupakan amalan hati, namun adalah lebih baik lagi jika kita dapat menterjemahkannya dalam kata-kata iaitu pujian terhadap Allah s.w.t. Tindakan memuji Allah ini adalah sangat utama sehinga ada yang menyatakan bahawa pujian itulah yang disebutkan reda. Dalam sebuah Hadith, dijelaskan :
Terjemahan : “Orang pertama yang dipanggil untuk masuk ke syurga ialah orang yang selalu memuji Allah, sama ada dalam kesenangan mahupun dalam penderitaan.”
Dalam perkara ini, Rasulullah s.a.w. telah memberikan kita panduan yang benar-benar berharga. Sebagai contoh ialah Hadith yang menyebut bahawa sekiranya Baginda menerima berita yang menyenangkan, Baginda akan segera mengucapkan :
“Segala puji bagi Allah dengan kenikmatan-Nya. Sempurnalah segala kebaikan.”
Sesungguhnya Bagindalah orang yang paling banyak memuji Allah dan demikianlah Baginda amat menggalakkan umatnya melakukan perkara yang sama dengan penuh kerelaan, sama ada dalam kesenangan mahupun penderitaan. Tindakan memuji Allah dengan rela disebabkan dua perkara :
1. Kesedaran hamba bahawa Allahlah yang menentukan sesuatu musibah yang ditimpakan ke atas dirinya. Ia juga meyakini bahawa Allahlah sebaik-baik Pencipta dan Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
2. Hamba tersebut juga hendaklah yakin bahawa pilihan Allah untuk hamba-Nya itu adalah lebih baik daripada pilihannya atas diri sendiri.
Sekiranya kita ditimpa musibah, kita hendaklah menyedari bahawa yang memberikan musibah itu ialah Allah Yang Maha Bijaksana dan Maha Pengasih. Sesungguhnya Allah tidak menimpakan musibah itu untuk memusnahkan diri kita dan bukan untuk menyeksa kita. Sebaliknya, ia semata-mata bertujuan menguji kesabaran dan keredaan, menguji kadar keimanan, mendengar permohonan ampun dan taubat selain melihat bagaimanakah caranya kita mengetuk pintu rahmat-Nya dengan hati yang khusyuk serta tangan menadah, memohon dipermudahkan laluan seterusnya.
Renungilah kata-kata Abdul Kadir al-Jailani r.h. kepada anaknya:
“Wahai anakku, sesungguhnya musibah itu datang bukan untuk merosakkan dirimu tetapi untuk menguji kesabaran dan keimananmu. Wahai anakku, taqdir ialah seperti binatang buas dan binatang buas tidaklah memakan bangkai.”