Remaja dan Keseimbangan Ilmu
Kepentingan ilmu dalam kehidupan adalah suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan lagi, lebih-lebih lagi dalam usaha untuk menjadikan masyarakat kita masyarakat yang berilmu dan berinformasi. Bagi kita orang Islam, terutamanya para remaja yang bakal mengisi kepimpinan negara masa depan, jenis ilmu yang wajar dipelajari adalah yang mampu membentuk sudut pandangan hidup yang sempurna dan sederhana. Ianya menuntut kepada keseimbangan ilmu agama dan dunia.
Setiap cabang ilmu perlulah diisi dengan semangat dan roh keagamaan, akhlak atau nilai murni dan moral supaya terasa kesannya dalam jiwa. Ilmu yang dipelajari adalah untuk diamalkan bagi memberi kesan positif kepada mereka yang mempelajarinya. Ilmu yang berguna tetapi tidak diamalkan adalah punca terbesar kepincangan dalam hidup manusia.
Selain itu, aspek yang perlu juga diberi penekanan ialah konsep insane. Konsep ini perlulah difahami oleh para remaja kita dengan mengambilkira aspek kejadian manusia yang meliputi rohani dan jasmani. Kedua-duanya perlu diberikan perhatian serius dalam pendidikan dan wajib dikembangkan secara seimbang.Setiap kegiatan penyaluran ilmu dan maklumat atau latihan kemahiran wajib disulami dengan unsur keagamaan, seperi kesedaran terhadap aspek keTuhanan dan nilai-nilai akhlak. Jangan sekali-sekali menganggap kesedaran agama adalah hanya diterapkan apabila berada di kelas atau ceramah agama sahaja.
Setiap pihak, terutama pendidik dan ibubapa, bertanggungjawab membuat perubahan. Kegagalan memberikan perhatian terhadap aspek berkenaan bakal melahirkan manusia yang gagal bertanggungjawab terhadap perbuatannya kerana tiada keyakinan terhadap persoalan kerohanian, seperti pembalasan selepas mati. Kesannya mereka hanyalah hidup umpama mesin biologi untuk memenuhi keperluan biologikal sahaja.
Pendidikan bertujuan menghasilkan perubahan positif kepada pembentukan pemikiran dan tindakan seseorang individu yang seterusnya akan membolehkannya berfungsi dengan sempuna dalam masyarakat atau ruang lingkup kegiatannya, sama ada di alam persekolahannya, perkerjaannya, rumah tangganya atau sebagainya.
Tanpa suatu arah perubahan tertentu, lebih-lebih lagi jika yang tertayang pada peribadi berkenaan adalah perubahan negatif, bererti sudah berlaku suatu bentuk kegagalan dalam usaha pendidikan. Kegagalan berkenaan tidak semestinya berlaku pada peringkat pendidikan formal. Banyak sifat negatif berakar umbi daripada pendidikan dalam keluarga, terutama keluarga yang porak peranda dengan seribu satu masalah. Kegagalan memupuk akhlak terpuji kepada insan adalah suatu tragedi kerana tujuan asas pendidikan sudah tersasar jauh daripada mencapai matlamatnya.
Bayangkanlah apabila kandungan pendidikan yang tidak seimbang menghasilkan manusia yang tidak jelas “standard” moralnya atau hala tuju hidupnya. Kehidupan harian mereka adalah untuk memenuhi keperluan biologikal, seperti makan-minum, perlindungan, berkeluarga, dengan tanpa memiliki tanggungjawab yang lebih besar dan murni untuk berbakti kepada agama, bangsa dan negara. Apabila hasrat, terutama pendidikan untuk melahirkan perubahan positif pada corak pemikiran dan perbuatan tidak tercapai – inilah tragedi – kesudahan yang paling menyayat hati dalam sesuatu usaha pendidikan.
Kegagalan seperti ini patut dibuat “bedah-siasat” berdasarkan pertimbangan terhadap pelbagai faktor, seperti tahap kewibawaan ilmu dan peribadi guru, kesahihan sistem pendidikan yang dipakai, kadar sokongan ibubapa dan keluarga, keprihatinan dan kewibawaan pemimpin setiap peringkat serta suasana persekitaran masyarakat dan negara di mana membesarnya seseorang individu. Penilaian yang sahih dan saksama dengan mengenepikan unsur sentimen dan prejudis bakal membuka ruang ke arah penyelesaian yang lebih konkrit.
Keseluruhannya, dapatlah dikatakan bahawa pendidikan adalah amanah bagi semua pihak. Memahami konsep pendidikan sebenar akan memudahkan pemahaman matlamat atau tujuan pendidikan. Keberhasilan sesuatu usaha pendidikan di mana-mana peringkat adalah ditinjau daripada sejauh mana perubahan positif yang mampu dicapai dalam selang masa tertentu terhadap seseorang.
Tujuan ilmu adalah untuk diamalkan dengan memaksimumkan kebaikan yang diperolehi untuk diri dan masyarakat. Sekiranya semakin lama seseorang manusia hidup dan menerima pendidikan, sama ada secara formal atau tidak tetapi semakin negatif corak pemikiran dan perilakunya, jelaslah ini adalah suatu tragedi dan mala petaka kepada pendidikan. Langkah yang tepat perlu diambil segera.
Siapa pun tidak dapat menafikan bahawa kalangan remaja khususnya pelajar adalah merupakan aset dan potensi yang amat perlu dipelihara, kerana untung nasib masa depan sesebuah masyarakat dan negara adalah terletak sepenuhnya di atas bahu mereka. Mereka adalah pewaris yang sah tamadun masakini untuk dilanjut dan dipertingkatkan mutunya pada masa akan datang.
Dalam konteks negara kita, kalangan remaja merupakan lebih dari separuh keseluruhan penduduk negara. Maka kita tentunya tidak akan membiarkan remaja dengan permasalahannya begitu sahaja tanpa ada sebarang jalan penyelesaian. Satu kaedah yang mantap dan sesuai perlulah dicari supaya para remaja kita tidak berterusan terperangkap di bawah penguasaan unsur-unsur negatif.
Untuk mewujudkan gaya hidup dan budaya yang berkualiti dan bermutu, selain daripada menyediakan pendekatan pendidikan yang Islamik seperti yang telah d\iketengahkan, kita nampaknya tidak ada banyak pilihan melainkan mewujudkan sistem kawalan sosial yang berkesan di pelbagai peringkat kehidupan. Sistem kawalan sosial yang rapi tetapi munasabah mestilah diwujudkan bermula dari institusi keluarga dan persekolahan hinggalah kepada institusi perundangan dan pentadbiran negara.
Pihak berkuasa mestilah mempunyai visi yang jelas tentang kualiti dan mutu budaya serta gaya hidup yang dikehendaki. Selaras dengan itu, meletakkan garis panduan yang mesti diikuti oleh setiap pihak yang terlibat, terutamanya saluran media yang nampaknya begitu berpengaruh dalam membentuk pemikiran dan perilaku remaja masa kini. Untuk itu, cuma gaya hidup yang sesuai dengan kualiti dan mutu yang dikehendaki sahaja yang diberi sanjungan dan ditonjolkan dalam setiap kesempatan yang ada.
Yang terakhir, malah yang terpenting dalam hubungan ini ialah keperluan kepada wujudnya satu falsafah khusus yang mendasari visi dan cita-cita yang dipegang oleh pihak yang berkuasa supaya rujukan dapat dibuat kepada falsafah tersebut dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan. Pastinya, falsafah Islam adalah pilihan kita kerana pendekatannya telah terbukti mampu menyelesaikan sebarang permasalahan manusia dari dulu hingga sekarang. Hanya pendekatan Islam sahajalah yang dapat merungkai dan menyelesaikan permasalahan akhlak remaja masa kini, sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang mafhumnya:
“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”.