Generasi Ulul Al-Bab Laksana Ajaran Islam Asal
SATU fenomena yang dihadapi umat Islam kini ialah kesan dan pengaruh pemodenan yang dicetuskan oleh kebudayaan Barat. Konsep pemodenan yang dikaitkan dengan kemajuan dan pembangunan dalam segala bidang, khususnya ekonomi serta sains dan teknologi, mengabui mata hampir seluruh umat manusia, termasuk
umat Islam. Sesiapa yang mempersoal atau menolak pemodenan dicap sebagai kolot, konservatif dan ketinggalan zaman.
Isunya bukanlah penolakan terhadap pemodenan yang dibawa, tetapi perlunya penilaian saksama di sebalik pemodenan itu. Adakah umat Islam patut menerima secara sepenuhnya dan melulu segala pemodenan yang ditaja oleh Barat?
Hakikat hidup membuktikan, cara hidup Barat yang tidak berlandaskan wahyu Ilahi sangat rapuh dan mengundang banyak masalah sosial yang tidak berkesudahan.Kesedaran terhadap bahaya dan kegagalan gaya hidup cara Barat melalui wajah pemodenan, mula dirasai dan berkembang.
Malah, Barat tidak lagi dianggap satu-satunya model negara maju dan membangun. Bahkan pandangan hidup saintifik yang dibina di atas paradigma sekularisme tidak dapat diterima sebagai satu asas kukuh.
Apa yang jelas ialah tamadun dan kebudayaan Barat kini dalam proses penurunan. Mahu tidak mahu, kita terpaksa menerima hakikat bahawa asas kemajuan sains dan teknologi berserta paradigma yang mendokong perkembangannya suatu masa lalu, mula dilihat sebagai ketinggalan zaman.
Ini kerana kemuncak kemajuan sains dan teknologi Barat menyebabkan berlaku krisis bersifat global, terutama berkaitan moral dan alam sekitar.
Perkembangan yang memperlihatkan peralihan tamadun dari Barat ke bahagian lain di Asia, meletakkan dunia di tempat baru dalam sejarah. Dunia yang suatu masa dulu gawat dengan perang dingin kini berubah kepada babak baru ke arah zaman moden.
Cara pembangunan turut berubah dan memberi ruang kepada negara membangun untuk memilih sendiri kaedah pembangunan yang sesuai dengan selera masing-masing. Pembangunan dan kemajuan mengikut acuan sendiri, menjadi ungkapan popular.
Begitulah halnya dengan Malaysia. Pembangunan mengikut acuan sendiri sudah pun disemarakkan. Cuma yang perlu diberi penekanan ialah pembangunan itu perlu menjadikan Islam sebagai asas dan agenda utamanya.
Sejarah membuktikan bahawa, umat terdulu yang maju dalam hampir semua bidang, berpegang kepada ajaran al-Quran dinamik yang mampu menggerakkan masyarakat.Dalam proses menggerakkan masyarakat ke arah pembangunan, al-Quran menekankan kebangkitan generasi
penggerak iaitu generasi ulul al-bab. Generasi ini ialah mereka yang dapat menjelas dan menghuraikan jalan dan arah yang hendak dilalui.Keazaman membentuk kemajuan mengikut acuan sendiri akan terus kabur jika kita kekurangan golongan ulul al-bab, yang dapat menghurai tujuan dan matlamat pembangunan, supaya dapat difahami dengan jelas serta didokong secara sedar dan bersungguh-sungguh.Proses pembangunan bercirikan Islam ini juga memerlukan kelahiran generasi penggerak yang memenuhi ciri ulul al-bab itu.
Di antara ciri penting ulul al-bab ialah, persiapan kerohanian teguh yang dapat memulakan pembangunan Islam dari permulaan betul, iaitu pembangunan berpusatkan pembangunan manusia.
Keteguhan kerohanian yang lengkap dengan ilmu pengetahuan dapat memperjelaskan dengan terperinci konsep, matlamat dan arah pembangunan yang ingin dibawa itu. Malah dapat menggerakkan sebarang bentuk pembangunan berteraskan paradigma tauhid dalam segala bidang sosial, sains, teknologi, ekonomi, pendidikan, pengurusan, kebudayaan dan sebagainya, yang mempunyai tenaga dan pengaruh dalam arus pembangunan hari
ini.
Pembangunan berteraskan Islam dan berpusatkan pembangunan manusia, sebenarnya bermula daripada pemikiran yang tertumpu kepada persoalan manusia, nasibnya di dunia, serta kesudahannya di akhirat.
Perincian mengenai persoalan inilah yang perlu dilaksanakan oleh generasi penggerak. Mereka perlu sentiasa bersedia menghadapi masyarakat dengan penjelasan itu, yang memerlukan keberanian, ketajaman dan kewibawaan ilmiah tinggi.
Tugas generasi penggerak ialah berusaha membangunkan kembali masyarakat Islam di atas asasnya yang asal. Rasulullah saw pernah bersabda, maksudnya: “Tidak akan ada pembaikan bagi umat ini yang terakhir, melainkan
dengan apa yang membawa pembaikan kepada yang awalnya.”Langkah pertama ke arah itu ialah, memastikan masyarakat menerima sistem Islam dan memantapkan keyakinan kepada keunggulan sistem Islam untuk kehidupan sejahtera.
Usaha memantapkan kesedaran ini begitu penting hingga setiap individu itu menjadi suara desakan dan tuntutan ke arah melaksanakan sistem Islam yang lebih tegas, sama ada di peringkat individu, masyarakat dan negara.
Untuk mencapai kesedaran begini, maka perancangan rapi perlu dibuat bagi memenuhi keperluan setiap peringkat pembangunan itu.
Di samping itu, kita tidak mahu perubahan ke arah pembangunan yang Islamik ini, dicemar dengan perancangan lain, sama ada sedar atau tidak, yang membantutkan kemurniannya. Contohnya, satu pihak mengembangkan unsur pembangunan yang Islamik, sementara pihak lain giat menjalankan usaha menyebarkan unsur negatif yang meruntuhkannya.
Kehadiran unsur penghalang inilah yang menyulitkan usaha ke arah menjadikan masyarakat mantap dan yakin dengan sistem Islam yang unggul dan sejahtera.Di atas kesedaran inilah, kita umat Islam perlu memahami bahawa perubahan daripada pembangunan moden kepada pembangunan Islamik, memerlukan tenaga penggerak dan jihad. Jihad dalam erti kata pengorbanan diri, masa dan harta benda.
Diri manusia itu juga perlu difahami secara menyeluruh dan sepadu sebagai pembinaan yang merangkumi keimanan dan keyakinan kepada Islam, takwa, berakhlak mulia, berilmu, mempunyai kemahiran, berani dan sebagainya.