Pengklonan Manusia Lebih Banyak Bawa Mudarat
BAYI klon pertama, dinamakan ‘Eve’, yang dilahirkan pada 26 Disember 2002, mengejutkan seluruh dunia. Selang beberapa hari selepas itu, pada 3 Januari 2003, seorang lagi bayi klon didakwa dilahirkan di Eropah.
Pengumuman mengenai kelahiran bayi klon itu diumumkan Brigitte Boisselier, ketua eksekutif dan pengarah saintifik sebuah syarikat yang dikenali sebagai Clonaid.
Clonaid ditunjangi oleh sebuah pertubuhan cult – Raelians – yang dipimpin oleh Claude Vorihon yang menggelarkan dirinya Rael. Cult berpegang kepada kepercayaan bahawa manusia sebenarnya dicipta menerusi proses pengklonan makhluk asing kira-kira 25,000 tahun lalu. Kepercayaan ini bertentangan dengan keterangan dalam al-Quran yang menyatakan manusia berasal dari Nabi Adam.
Melihat kepada latar belakang cult yang meragukan ini, banyak pihak termasuk kalangan saintis sendiri, mencurigai kesahihan pengumuman itu. Benarkah bayi klon berjaya dilahirkan?
Hakikatnya, proses pengklonan adalah sesuatu yang tidak mustahil. Dari sudut teknologi, pengklonan boleh dilakukan walaupun kadar kejayaannya begitu kecil sekali. Malah, jika dilihat kepada sejarah perkembangan teknologi pengklonan itu sendiri, makhluk klon pertama berjaya diwujudkan pada 1961. Makhluk klon pertama ini adalah seekor katak, hasil daripada kajian yang dijalankan oleh seorang ahli zoologi di Oxford, bernama John Gurdon.
Hanya apabila ahli kaji janin di Edinburgh, iaitu Ian Wilmut, menghasilkan ‘Dolly’ iaitu seekor biri-biri, barulah publisiti besar-besaran diberikan kepada potensi dan kesan teknologi pengklonan. Ini kerana kelahiran ‘Dolly’ pada Februari 1997, menyedarkan ramai pihak bahawa kemungkinan untuk mengklonkan manusia menjadi semakin hampir.
Atas sebab ini, kita dapati perdebatan mengenai teknologi pengklonan, khususnya untuk mengklonkan manusia, menjadi satu polemik di kalangan saintis dan pemimpin politik. Sesetengah negara dengan jelas meletakkan pengklonan manusia sebagai satu kesalahan jenayah.
Pengklonan adalah satu proses pembiakan seksual tanpa memerlukan percantuman sel jantan (sperma) dengan sel betina (ovum). Sebaliknya apa yang diperlukan ialah sel matang mengandungi kod genetik, iaitu asid deoksiribonukleik (DNA), yang dimasukkan ke dalam ovum yang tidak tersenyawa, yang dikeluarkan nukleusnya.
DNA yang digunakan ini boleh jadi daripada lelaki mahupun wanita. Ovum yang dimasukkan DNA tadi akan dirangsangkan untuk menggalakkan percantuman dan seterusnya pembahagian sel. Ia kemudian akan dimasukkan ke dalam rahim wanita.
Proses kehamilan dan kelahiran yang dilalui adalah sama seperti proses kehamilan dan kelahiran bagi manusia biasa.
Jika dilihat proses untuk menghasilkan manusia klon ini, kita dapati bahawa ia tidak memerlukan kehadiran sel sperma. Sebaliknya, yang diperlukan hanya sel ovum dan DNA daripada sel lain.
Dalam al-Quran, terdapat beberapa ayat yang menerangkan dengan jelas mengenai proses pembiakan manusia yang memerlukan kehadiran sel sperma dan sel ovum.
Bayi yang akan dilahirkan melalui proses biasa, akan mempunyai ciri genetik unik, iaitu gabungan ciri genetik dari ibu dan bapanya. Jika dilihat kepada bayi klon, ia tidak mempunyai ciri genetik yang unik, sebaliknya mempunyai genetik yang sama dengan penyumbang DNAnya. Dalam kata lain, bayi klon adalah replika genetik kepada penyumbang DNA itu.
Lazimnya, hanya kembar seiras yang mempunyai ciri genetik sama. Namun, dengan adanya teknologi pengklonan manusia ini, membolehkan klon manusia mempunyai ciri genetik yang sama dengan ‘induk’ yang menyumbangkan DNA.
Persoalannya, apakah hubungan di antara klon dengan induknya? Adakah ia sama seperti hubungan anak dengan bapa? Atau, adakah kerana ciri genetik kedua-duanya adalah sama, maka mereka adalah kembar?
Islam memandang berat kekeliruan ini kerana ia akan membawa kepada masalah penentuan nasab. Firman Allah bermaksud: “Dan Dialah Tuhan yang menciptakan manusia daripada air, lalu dijadikannya (mempunyai) titisan baka dan pertalian keluarga (persemendaan); dan sememangnya Tuhanmu berkuasa (menciptakan apa juga yang dikehendaki-Nya). (Surah Fussilat, ayat 54)
Islam sangat mementingkan soal pertalian keluarga. Islam sangat menekankan perlunya institusi keluarga itu dipelihara. Dalam konteks ini, teknologi pengklonan manusia dilihat mampu meruntuhkan institusi keluarga yang ditekankan oleh Islam.
Ini kerana dengan teknologi pengklonan manusia, peranan yang dimainkan oleh lelaki menjadi tidak lagi penting, sebaliknya wanita yang tidak berkahwin juga boleh mendapat anak. Ini tentu akan meningkatkan jumlah ibu tunggal dalam satu-satu masyarakat.
Apa yang lebih merunsingkan ialah, pasangan homoseksual juga boleh mendapat anak dengan adanya teknologi ini.
Pada awalnya, teknologi pengklonan manusia ini dilihat sebagai satu cara untuk membantu pasangan yang tidak mempunyai zuriat. Namun, sejak kebelakangan ini, jelas sekali kesan buruk yang dibawa oleh teknologi ini jauh melampaui manfaat yang dibawa olehnya.
Dengan teknologi pengklonan manusia ini, peranan lelaki dan fungsi hubungan seksual, akan menjadi sumber untuk keseronokan dan hedonisme semata-mata. Sedangkan Islam melihat hubungan di antara lelaki dan perempuan adalah satu ikatan perkahwinan yang sah, dan penting bagi tujuan mendapat zuriat.
Ini dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya, yang bermaksud: Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang menjadikan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya, zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu. (Surah an-Nisaa, ayat 1).
Selain itu, satu lagi kesan teknologi pengklonan manusia ialah dari aspek ‘mengkomersialkan’ rahim wanita. Teknologi pengklonan manusia akan membuka ruang bagi wanita untuk menjadi ibu tumpang dengan ‘menyewakan’ rahim mereka sepanjang tempoh kehamilan untuk membolehkan bayi klon dilahirkan.
Manusia harus melihat masalah yang timbul akibat penggunaan teknologi pembiakan ‘tiruan’ seperti IVF, yang menggunakan ibu tumpang. Banyak pertikaian perundangan timbul disebabkan perebutan bayi di antara ibu tumpang dengan ibu bapa ‘sebenar’. Apa yang jelas ialah teknologi pengklonan manusia akan membuka lebih banyak ruang untuk pertikaian seperti ini di antara ibu tumpang dengan penderma DNA.
Selain itu, teknologi pengklonan manusia juga akan memberikan ruang untuk gen diperdagangkan. Artis terkenal, intelek terkemuka dan pemimpin tersohor, berkemungkinan dapat ‘memasarkan’ DNA mereka kepada sesiapa yang mahu mendapat anak yang mempunyai ciri genetik yang sama dengan mereka.
Jelas, kesan yang dibawa oleh teknologi pengklonan manusia lebih banyak menyebabkan kemudaratan daripada kemanfaatan. Atas sebab inilah, Majlis Fatwa Kebangsaan, pada 2002, mengharamkan pengklonan manusia.
Ini kerana Islam adalah satu agama yang memelihara kemaslahatan (kebaikan) ummahnya. Sekiranya, sesuatu itu bertentangan dengan fitrah dan tidak memenuhi maslahah, sebaliknya menyebabkan kehancuran, sudah tentu Islam tidak mengharuskan penggunaannya.
Islam bukanlah menghalang atau menentang perkembangan dalam bidang sains dan teknologi. Sebaliknya Islam amat menggalakkan perkara itu. Namun, ia harus dikembangkan dalam ruang lingkup garis sempadan yang jelas di antara apa yang diharuskan dan apa yang dilarang.