Peranan Bersama Atasi Krisis Bekalan Air
Krisis bekalan air merupakan suatu permasalahan yang perlu dipandang serius bukan sahaja semasa berlakunya krisis, bahkan tumpuan juga perlu diberikan terutamanya dalam mengenalpasti punca dan penyelesaian jangka pendek dan panjang yang perlu diambil untuk mengelakkannya daripada berulang pada masa hadapan.
Krisis air yang berlaku sejak kebelakangan ini terutamanya melibatkan kawasan-kawasan di sekitar Lembah Klang sehingga bekalan air terpaksa dicatu seharusnya dijadikan iktibar yang berguna kepada kita agar lebih menghargai dan mensyukuri nikmat sumber air yang kita nikmati selama ini.
Dalam menghargai nikmat kurniaan Ilahi ini, kita disarankan untuk menggunakannya secara berhemah dan bijaksana agar tidak berlaku pembaziran atau kemerosotan ke atas mutu sumber air berkenaan. Sementelah lagi, ia merupakan sumber alam yang sangat mustahak dan menjadi nadi utama bukan sahaja kepada kehidupan manusia, tetapi juga untuk kelangsungan hidup makhluk-makhluk lain di atas muka bumi.
Hal ini telah dinukilkan dengan jelas dalam firman Allah SWT (Surah an-Nahl, ayat 10-11) yang bermaksud: “Dialah yang menurunkan hujan dari langit; sebahagian daripadanya untuk minuman kamu dan sebahagian lagi menyebabkan tumbuhnya pokok-pokok (tumbuh-tumbuhan) untuk kamu melepaskan binatang-binatang ternak makan padanya. Ia juga menumbuhkan bagi kamu dengan sebab hujan itu tanam-tanaman dan pokok-pokok zaitun dan tamar (kurma) serta anggur; dan juga dari segala jenis buah-buahan. Sesungguhnya yang demikian mengandungi satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu berfikir”.
Persoalannya, adakah tahap penggunaaan dan pengurusan sumber air kita pada hari ini sudah berada pada tahap yang terbaik? Jika diamati kronologi krisis bekalan air yang berlaku di negara kita, ia jelas memberi cerminan bahawa corak penggunaan dan pengurusan sumber air kita masih lagi berada pada tahap yang kurang memuaskan.
Jika situasi ini dibiarkan berlanjutan tanpa tindakan drastik dan proaktif, dikhuatiri kita akan berhadapan dengan krisis bekalan air yang lebih meruncing pada masa akan datang yang pastinya akan memberi kesan yang lebih besar kepada kita terutamanya dalam pertumbuhan dan pembangunan sosioekonomi negara.
Lebih membimbangkan lagi apabila diramalkan negara berkemungkinan akan mengalami perubahan cuaca dan iklim akibat fenomena El-Nino yang dijangkakan melanda negara pada bulan hadapan. Jika ramalan ini benar-benar berlaku, ia pastinya menuntut persediaan yang lebih rapi bagi mengelakkan berlakunya krisis bekalan air sepanjang fenomena berkenaan serta memastikan bekalan air adalah mencukupi untuk menampung segala aktiviti seharian.
Justeru, dalam menghadapi segala kemungkinan pada masa hadapan, corak penggunaan air seharian perlulah diubah bagi memastikan kelangsungan bekalan air untuk tempoh jangka panjang.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Alam Sekitar (UNEP), menjangkakan bahawa jika manusia menggunakan air dengan kadar yang diamalkan sekarang, dua daripada tiga orang penduduk dunia akan hidup dalam keadaan sukar menikmati bekalan air menjelang 2025.
Ini pastinya akan mengundang permasalahan lain yang lebih besar kerana apabila berlaku krisis bekalan air, ia juga akan turut memberi kesan kepada bekalan makanan ekoran kedua-duanya saling berkait rapat antara satu sama lain. Tegarkah kita untuk membiarkan situasi seumpama itu berlaku? Sudah tentu jawapannya adalah tidak.
Oleh yang demikian, sudah tiba masanya semua pihak bekerjasama dan berganding bahu dalam mengatasi permasalahan ini sehingga ke akar umbi dengan mengenepikan ideologi politik masing-masing agar penyelesaian dapat dilakukan dengan lebih berkesan.
Semua pihak perlu lebih profesional, proaktif dan tidak terlalu birokratik sehingga mengetepikan persoalan pokok kerana terheret dengan hal-hal sampingan. Misalnya, tentang pertindihan kuasa antara jabatan-jabatan berkuasa yang terlibat menyebabkan satu pihak menuding jari kepada pihak yang lain sehingga menyukarkan lagi usaha dan kata sepakat dicapai dalam menyelesaikan permasalahan yang timbul.
Sedangkan, hal-hal sampingan dan remeh temeh seumpama itu seharusnya diketepikan dan fokus utama sewajarnya lebih terarah kepada agenda menyelesaikan permasalahan berkenaan agar semua pihak yang terlibat tidak terkesan lebih teruk.
Dalam menyelesaikan isu berkaitan krisis bekalan air, punca asas kepada berlakunya permasalahan berkenaan seperti pencemaran sumber air, penggunaan air secara membazir, kemusnahan kawasan tadahan air dan pengurusan sumber air yang kurang bijak perlu diberi perhatian dan ditangani terlebih dahulu agar penyelesaian yang diambil lebih bersifat menyeluruh dan berkesan untuk tempoh jangka masa yang panjang.
Selain itu, penguatkuasaan undang-undang semata-mata tidak mencukupi terutamanya dalam aspek perlindungan sungai yang menjadi nadi penting dalam membekalkan sumber air. Sebaliknya semua pihak termasuk kerajaan, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, kelompok masyarakat dan setiap individu perlu memainkan peranan secara langsung dalam menangani masalah pencemaran agar sumber air akan terus terpelihara.
Jika tiada pendekatan bersepadu dilaksanakan dalam melindungi sumber air, tidak mustahil negara akan menghadapi krisis bekalan air yang serius dalam jangka masa 25 hingga 30 tahun akan datang. Bayangkan apa akan jadi jika situasi ini berlaku? Pastinya permasalahan-permasalahan lain juga akan timbul kerana kita sangat bergantung kepada sumber air dalam melaksanakan setiap aktiviti seharian kita.
Justeru, menyedari hakikat bahawa air merupakan elemen penting kehidupan dan sumber yang sangat sensitif kepada pencemaran, maka sewajarnya kita mengambil inisiatif yang perlu semaksimum yang mungkin bagi mengelakkan sumber berkenaan daripada pupus. Salah satu strategi penting bagi memastikan sumber air dijaga oleh semua pihak ialah dengan meningkatkan tahap kesedaran dan kecintaan masyarakat terhadap alam sekitar.
Hal ini amat bertepatan dengan peranan manusia yang diciptakan selaku khalifah atau penguasa yang dipilih khusus oleh Allah SWT untuk memikul tanggungjawab yang besar di atas muka bumi. Dalam konteks ini, peranan manusia tidak hanya setakat menggunakan apa yang ada semata-mata, tetapi lebih daripada itu (yakni perlu menguruskan segala sumber yang dikurniakan dengan sebaik mungkin, di samping memperbaiki kualiti sumber-sumber berkenaan).
Firman Allah SWT dalam Surah Hud, ayat 61 yang bermaksud: “…Dialah yang menjadikan kamu daripada bahan-bahan bumi serta menghendaki kamu memakmurkannya”. Daripada ayat ini digambarkan bahawa manusia dijadikan untuk menguasai dan memakmurkan dunia. Maka dalam konteks hubungan ini, usaha memulihara dan membangunkan sumber air adalah merupakan sebahagian daripada proses pemakmuran yang dituntut oleh Allah SWT.