Mencari Titik Pertemuan Undang-undang dan Penguatkuasaan
Mengikut definisi Kamus, Dewan Bahasa dan Pustaka (Edisi Ketiga), penguatkuasaan ialah kekuatan, kemampuan daya untuk melakukan sesuatu. Undang-undang pula merupakan sesuatu peraturan yang digubal oleh kerajaan dan mesti dipatuhi oleh masyarakat yang berkenaan. Undang-undang dan penguatkuasaan adalah saling bergantungan di antara satu sama lain.
Proses pembentukan undang-undang di Malaysia bermula dengan penyedian draf dan kemudian setelah diluluskan oleh Parlimen maka ia sah menjadi undang-undang atau akta negara. Undang-undang bertujuan memelihara keamanan, kesejahteraan dan kebaikan am manusia keseluruhannya. Ia menjadi fungsi yang mengimbangi kuasa-kuasa kehakiman, legislatif dan eksekutif. Para penggubal undang-undang akan sentiasa berhati-hati dalam menggubal undang-undang agar ia memenuhi ciri-ciri keadilan.
Pihak hakim akan menterjemahkan undang-undang berdasarkan prinsip keadilan. Manakala pihak peguam akan sentiasa mengambil peluang menterjemahkan undang-undang apatah lagi jika bahasa yang digunakan dalam menulis undang-undang umum dan tidak jelas. Itulah hakikat undang-undang.
Apapun, undang-undang yang dibentuk adalah bertujuan untuk dikuatkuasakan di kalangan masyarakat. Tanpa penguatkuasaan undang-undang, maka sebaik mana pun undang-undang, seadil mana pun peraturan yang dibentuk, maka ia tidak akan memberi kesan ke arah melahirkan kehidupan individu yang tersusun dan masyarakat yang sejahtera seperti matlamat undang-undang berkenaan.
Malangnya hakikat yang berlaku ketika ini, ketidakserasian undang-undang dan pelaksanaannya menjadi duri dalam daging dalam usaha mencapai masyarakat yang harmoni. Keadaan ini menjuruskan kepada pengabaian terhadap kehendak undang-undang dan arahannya. Ini antara lain disebabkan sistem penguatkuasaan undang-undang yang bocor di sana dan di sini. Apabila ketirisan ini berlaku maka masyarakat akan memandang undang-undang sedia ada tiada taring dan tidak boleh menjamin peraturan kehidupan mereka.
Bahkan pada masa yang sama, segelintir masyarakat yang berkepentingan dengan sewenang-wenangnya akan memandang enteng terhadap kehendak undang-undang. Mereka akan melanggar undang-undang kerana ia tidak lagi mempunyai taring. Jika tidak melanggar secara berdepan, mereka akan langgar ikut jalan belakang dengan menggunakan kelemahan yang terlopong khasnya dalam aspek penguatkuasaan. Golongan berkepentingan ini akan bermaharajalela melakukan agenda mereka tanpa mengambil kisah terhadap undang-undang yang mereka anggap boleh dikotak-katikkan di hujung jari.
Hasilnya kita dapat melihat bagaimana penghormatan kepada undang-undang negara menjadi lesu. Seperti baru-baru ini, masyarakat khasnya umat Islam digemparkan dengan penemuan DNA khinzir dalam dua produk ternama dan dimakan oleh majoriti orang Islam iaitu coklat susu keluaran Cadbury Dairy Milk yang dikeluarkan Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd.
Dalam aspek penggunaan yang lain, kes penyelewengan diesel subsidi terus menjadi-jadi. Menurut laporan akhbar, operasi Ops Titik yang dilakukan selama 8 hari sehingga 22 Mei 2014 menyaksikan 56 kes telah berjaya dikesan melibatkan rampasan sebanyak RM 1.78 juta.
Jika dilihat kepada satu aspek peraturan jalan raya, lori berat yang membawa muatan 10 tan ke atas dan juga lori muatan 10 tan yang tidak membawa sebarang barangan adalah dilarang melalui jalan utama pada waktu puncak dari pukul 6.30 pagi sehingga 9.30 pagi pada hari Isnin sehingga Jumaat. Biasanya, perkara yang berlaku adalah sebaliknya. Kenderaan berat inilah yang bergelut bersama-sama dengan kenderaan kecil lain yang menuju ke tempat kerja. Jika terperangkap dalam tempoh berkenaan, mereka akan menjadikan laluan tepi jalan sebagai pakir kenderaan berat mereka. Ini sudah tentu turut memberi kesukaran kerana menghalang kelancaran laluan kepada pengguna lain khasnya motosikal. Keadaan ini jika dilihat adalah satu pemandangan yang biasa di laluan selepas susur masuk persimpangan Hentian Rawat dan Rehat, Restoran Jejantas Sungai Buloh, KM 458, arah Kuala Lumpur sehinggalah selepas stesyen petrol di situ. Begitu juga di sekitar tol Jalan Duta.
Kenderaan berat ini bukan sahaja menambahkan lagi kesesakan bahkan menimbulkan kerisauan tentang keselamatan pengguna jalanraya yang lain dari sekecil-kecil motosikal sehinggalah kepada kereta. Kita lihat bagaimana tragisnya sepasang suami isteri dilenyek oleh sebuah lori tanah pada 23 Mei lepas di jalan Cheras susur jalan Chan Sow Lin ketika mereka dalam perjalanan ke tempat kerja.
Undang-undang untuk setiap pelanggaran perkara-perkara di atas sudah pun ada dan jelas seperti Akta Pengangkutan Jalan – Perintah Pengangkutan Jalan (Larangan Penggunaan Jalan) (Lebuhraya Utara -Selatan) 2010.
Ini merupakan antara senario yang berlaku. Ia adalah hasil buruk daripada konflik dan percanggahan yang berlaku di antara undang-undang dan pelaksanaan. Konflik yang timbul banyak berpunca daripada aspek penguatkuasaan yang lemah dalam pelbagai sudut. Ini termasuk ketirisan yang berlaku di kalangan anggota penguatkuasa sendiri apabila wujud kepentingan peribadi, rasuah dan pecah amanah.
Secara asasnya, perkara yang perlu ialah pihak eksekutif mesti mencari titik pertemuan di antara undang-undang dan pelaksanaannya. Hubungan kedua-dua aspek ini perlu harmoni dan selari. Apabila berlaku barulah kuasa dan kehendak undang-undang dapat dilaksanakan untuk kesejahteraan masyarakat.
Perlu diingat jika kita melihat dari perspektif Islam, mencari titik pertemuan undang-undang dan pelaksanaannya adalah juga dituntut oleh Islam. Mereka yang terlibat akan dipertanggungjawabkan. Ini selaras dengan sebuah hadis nabi SAW yang maksudnya “Kamu semua adalah pemimpin dan setiap kamu kelak akan ditanya tentang kepimpinannya. Ketua adalah pemimpin kaum, lelaki pemimpin kepada keluarganya, kaum wanita adalah pemimpin dan penjaga rumahtangga suami dan anaknya. Oleh itu setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang kepimpinannya” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).