Kepatuhan Kepada Undang-undang Perlu Kepada Kesedaran Manusia
Masyarakat inginkan satu kehidupan yang teratur dan beperaturan. Dalam konteks negara, undang-undang dan peraturan dibuat oleh pihak berwajib untuk mewujudkan masyarakat aman. Pun begitu, sudahkah memadai dengan ada undang-undang maka ia dapat menyelesaikan, menyusun kehidupan masyarakat dan mampu menyelesaikan kemelut ummah?. Jawapannya tidak, walaupun dengan ada undang-undang sebaik mana pun, jika ia tidak dapat dipatuhi. Ini terbukti jika dilihat dalam pelbagai aspek kehidupan yang mempunyai peraturan dan undang-undangnya.
Sebagai contoh kita dapat melihat aspek keselamatan jalan raya, kemalangan maut terus menjadi-jadi. Saban hari di dada akhbar, media sosial dan juga pesanan kidmat ringkas menceritakan kemalangan di sana sini. Penunggang motosikal mati terlanggar kenderaan yang diletakkan di bahu jalan tanpa diletakkan kon amaran. Kontraktor yang sedang membina jalanraya menjadi punca berlaku kemalangan apabila kerja mereka tidak dilakukan pada waktu yang sesuai sehingga menganggu aliran trafik kenderaan. Kerja penurapan semula jalan yang dikorek untuk sesuatu projek tidak dibuat dengan sempurna meyebabkan jalanraya menjadi rosak sehingga turut menjadi punca kemalangan. Dinding penghadang di tepi jalanraya menusuk masuk ke dalam kenderaan sehingga menyebabkan kematian dalam kemalangan jalanraya. Pengunjung pasar malam meletakkan kederaan sesuka hati di bahu jalan sehingga menghalang pengguna jalanraya yang lain.
Dalam persoalan di atas, jika pihak-pihak berkenaan mengikut peraturan dan etika kerja yang patut diikuti maka ia boleh mengelakkan kemalangan daripada berlaku. Sebagai contoh pihak berkenaan perlu memastikan punca-punca berlaku kemalangan di jalanraya dilihat secara sensitif sehingga dapat dibendung dengan tindakan-tindakan pemantauan dan penguatkuasaan yang betul serta dibuat penambahabaikan. Dinding penghadang tepi jalanraya yang sepatutnya menjaga keselamatan penggunan jalanraya kini menjadi mimpi ngeri kepada mereka. Tidakkah pihak berkuasa ingin membuat penilaian semula tentang bahan yang digunakan untuk membuat dinding tersebut? Perlukah kontraktor dikenakan penalti jika mereka cuai ketika melaksanakan kerja-kerja di jalanraya, selain lewat menyiapkan projek berkenaan?
Dalam isu kemasukan warga asing ke dalam negara, peraturan dan undang-undang sudah pun ada. Walaupun begitu, terdapat begitu ramai pendatang tanpa izin (PATI) di negara kita. Baru-baru ini kita digemparkan dengan bot yang membawa 97 orang PATI karam di perairan Sungai Air Hitam, Pulau Carey, Selangor sehingga menyebabkan kematian dalam jumlah yang banyak di kalangan mereka. Kita merasa simpati tetapi yang menjadi persoalannya di sini ialah status mereka yang sudah pun bolos ke dalam negara. Bukankah di sana ada undang-undang berkaitan kemasukan rakyat asing dan agensi penguatkuasa?. Jika dikatakan ini merupakan kes terpencil tetapi apabila dilakukan serbuan seperti di tapak-tapak pembinaan terdapat begitu banyak PATI yang bebas berada dalam negara.
Jika dilihat secara mudah, ia seolah-olah memberi maksud bahawa undang-undang yang sedia ada tidak mencapai matlamatnya termasuk dalam mengawal kemasukan warga asing ke dalam negara. Wujud kelopongan sama ada di pihak penguatkuasa sendiri, pengurusan mereka bahkan pihak-pihak berwajib yang berada di atas. Isu korupsi dan kepentingan peribadi menjadi duri dalam daging dalam penguatkuasaan undang-undang.
Jika dilihat dalam pelbagai isu yang lain, ia turut mempunyai masalah yang menuntut kepada persoalan, kenapa undang-undang yang sedia ada tidak mampu mengawal dan membendung gejala dan permasalahan yang timbul?. Gejala dan permasalahan yang timbul menunjukkan walaupun dengan ada peraturan dan undang-undang dalam setiap urusan masyarakat, ia masih tidak mencukupi untuk menyusun dan mengatur sesuatu urusan mereka agar dapat berjalan dengan lancar dan tidak bermasalah.
Apakah penyelesaian kepada permasalahan ini sehingga akhirnya undang-undang dapat berfungsi sehingga menjamin keselamatan dan hidup berperaturan masyarakat?. Banyak aspek yang boleh dilihat. Pertamanya ialah dalam aspek peruntukan undang-undang yang sedia ada, pihak berwajib perlu melihat tentang keperluan penambahbaikannya. Sebagai contoh had laju di lebuhraya 110 km sejam sama ada perlu ditambah atau dikekalkan pada hal kini terdapat banyak kereta mewah yang berkelajuan tinggi. Kereta kecil pun banyak yang tidak mengikut had laju berkenaan. Kereta yang dipandu perlahan dalam banyak keadaan turut menjadi punca kepada kemalangan,
Kecuaian dalam menjaga sensitiviti keselamatan pengguna jalanraya perlu dimasukkan dalam senarai penalti jika kontraktor mengambil mudah dalam aspek berkenaan. Pihak berkuasa perlu melakukan rondaan berkala untuk mencari jalanraya yang rosak dan memastikan ia sentiasa elok untuk digunakan dan tidak berlubang sehingga boleh menjadi sebagai salah satu punca kemalangan maut.
Dalam aspek penguatkuasaan, elemen korupsi dan kepentingan diri khususnya mereka yang menguatkuasakan undang-undang perlu dipantau. Mereka perlu bersih dan telus. Jika berlaku ketirisan maka hukuman setimpal perlu dikenakan bukan sahaja kepada mereka yang berada di bawah bahkan mereka yang berada di atas. Selagi tindakan berkenaan tidak berlaku, maka masyarakat akan mempunyai sikap prejudis terhadap agensi penguatkuasa dengan tuduhan korupsi dan sebagainya sehingga menjejaskan kerjasama mereka untuk memenuhi keperluan undang-undang.
Kempen perlu disemarakkan kepada masyarakat tentang keperluan mematuhi undang-undang. Pendekatan memberi pendidikan dan ilmu kepada mereka perlu dilakukan dari masa ke semasa agar mereka ada kesedaran untuk patuh dan bekerjasama dalam melaksanakan undang-undang.
Kempen merupakan satu bentuk ingatan yang diperlukan oleh masyarakat tidak kira status mereka sama ada sebagai seorang pentadbir, penguatkuasa atau orang awam. Dalam Islam sendiri menegaskan bahawa manusia perlu diberi ingatan dari masa ke semasa kerana ia memberi manfaat walaupun perkara yang diingatkan adalah sama. Ini disebabkan sifat manusia yang alpa dan pelupa. Maksud surah al-Zariyat, ayat 55, “Peringatilah, sesungguhnya memperingati itu memberi manfaat kepada orang yang beriman“.
Kesimpulannya walaupun terdapat pelbagai undang-undang tetapi ia tidak menjamin kepada pematuhannya jika tidak ada kesedaran dan ingatan di kalangan masyarakat. Yang penting ialah masyarakat dari pelbagai kapasiti sama ada pentadbir, penguatkuasa dan individu mempunyai kesedaran dalam aspek pematuhan dan tanggungjawab kepada undang-undang.