Aspek Kerohanian Sebagai Elemen Jati Diri
Masyarakat kita digemparkan dengan isu kebocoran soalan peperiksaan (UPSR) melibatkan matapelajaran Sains dan Bahasa Inggeris. Ia bukan sahaja memberi kesusahan kepada 472,853 calon yang menduduki peperiksaan berkenaan bahkan ia menjadi petunjuk bahawa masih ada yang tidak bertanggungjawab sehingga terbocornya soalan. Persoalan yang timbul adalah bagaimana boleh berlakunya kebocoran?. Kebocoran berlaku walaupun undang-undang berkaitan kebocoran dokumen rasmi sudah pun ada iaitu Akta Rahsia Rasmi yang memberi hukuman penjara maksimum sehingga tujuh tahun kepada si pelaku dan pelbagai prosedur ketat proses penghasilan, pencetakan, pengankutan dan penyimpanan kertas soalan telah diambil kira oleh pihak berkuasa.
Punca asas timbul isu ini ialah kurangnya nilai murni kerohanian dalam diri manusia. Sifat bertanggungjawab dan amanah yang membawa kepada kepatuhan undang-undang telah dipinggirkan. Kelompangan elemen kerohanian dalam jiwa punca kepada segala kemelut isu sosial dalam masyarakat.
Jika kita melihat kepada konteks yang lebih luas, isu korupsi seperti pecah amanah, makan rasuah, tidak bertanggungjawab dan berbagai-bagai jenis perlakuan jenayah tidak dapat dibenteras semata-mata dengan undang-undang. Ini disebabkan undang-undang hanya menghukum pada mereka yang melakukan kesalahan secara zahir. Kesalahan mesti dibuktikan dengan kesaksian. Tanpa kesaksian, individu yang licik akan bebas melakukan perkara buruk kerana mereka rasa akan terlepas dari tindakan undang-undang. Kerana itulah elemen kerohanian memainkan peranan penting dalam usaha mencegah perbuatan salah dalam kalangan masyarakat. Unsur kerohanian akan membuatkan individu dalam masyarakat akur kepada undang-undang bukan sahaja di hadapan orang bahkan di belakang mereka.
Elemen kerohanian yang dimaksudkan di sini ialah ajaran Islam yang syumul. Pedoman agama sudah sedia ada dan mudah dicapai oleh setiap individu samada melalui sistem pengajaran dan pembelajaran tidak rasmi dan rasmi. Jika melalui saluran tidak rasmi masyarakat sebenarnya boleh sahaja mendapatkannya secara percuma seperti di masjid, media massa konvensional dan juga baharu. Boleh dikatakan ceramah agama dilakukan di masjid dalam kariah masing-masing. Bahkan rancangan radio dan televisyen yang berbentuk keagamaan sentiasa sedia ada sepanjang masa. Mereka juga boleh membaca buku tentang disiplin hidup berteraskan Islam di perpustakaan secara percuma atau dengan kos yang sangat minima.
Dalam media baharu khasnya dalam internet terdapat pelbagai sumber maklumat agama yang boleh dicapai melalui pelbagai sumber samada laman sesawang agensi agama tempatan atau pelbagai sumber lain dalam dan luar negara.
Melalui saluran pengajaran dan pembelajaran rasmi pula, sistem pengajian Islam di peringkat awal lagi seperti di tadika, sekolah seterusnya ke peringkat pengajian tertinggi sudah sedia ada dalam sistem pendidikan di negara kita untuk dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat dari usia awal sehinggalah ke dewasa dan seterusnya.
Peluang dan sumber pembelajaran berunsurkan kerohanian ini sebenarnya begitu banyak. Jika timbul kesedaran diri untuk memperkasakan jati diri melalui majlis ilmu, ahli masyarakat sebenarnya bukan sahaja dapat kebaikan untuk diri sendiri bahkan juga untuk orang lain. Melalui ilmu yang diperolehi, mereka boleh berperanan dengan lebih bertanggungjawab terhadap diri, ahli keluarga, jiran dan masyarakat setaman misalnya dengan memberi sumbangan dan memenuhi tanggungjawab dengan betul dan baik. Peranan positif lain yang boleh ahli masyarakat ketengahkan ialah dengan melaksanakan tanggungjawab kepada majikan dengan penuh amanah dan betul di tempat kerja khasnya dalam konteks melibatkan prosedur majikan atau jabatan masing-masing.
Di samping itu jabatan-jabatan di sektor awam yang tidak berkaitan dengan pentadbiran dan pengurusan agama sebenarnya boleh dan perlu menghantar kakitangan mereka ke seminar dan kursus berbentuk kerohanian yang dianjur oleh pelbagai agensi agama termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Jabatan Mufti, Majlis Agama Islam Negeri dan pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang bebentuk kerohanian. Ini kerana melalui seminar dan kursus kerohanian dapat membina jati diri penjawat awam dalam menjiwai tugasan dan amanah yang diberikan kepada mereka dengan penuh dedikasi di hadapan ketua mahu pun di belakang mereka.
Kita tidak mahu kursus dan program agama hanya disertai oleh kakitangna agensi agama semata-mata. Maka tibalah masanya kakitangan awam di sektor bukan agama turut disertakan sekali demi meningkatkan penghayatan aspek kerohanian seterusnya memperkukuhkan jati diri mereka.
Tidak dinafikan kebanyakan ahli masyarakat termasuk penjawat awam telah tahu sedikit sebanyak tentang asas ilmu agama. Ada yang mempunyai ilmu yang tinggi dalam bidang agama. Walaupun begitu, manusia bersifat pelupa, lalai dan sentiasa disibukkan dengan pelbagai urusan kehidupan. Ini sedikit sebanyak mengalpakan mereka daripada panduan agama ketika menjalankan tanggungjawab dan tugasan.
Al-Quran sendiri dengan tepatnya menegaskan bahawa masyarakat Muslim perlu mendapat peringatan dari masa ke semasa tidak kira pangkat dan darjat mereka. Ini jelas terkandung dalam maksud ayat berikut: “Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatkan kerana sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang-orang yang beriman.” (Ayat 55 surah al-Zaariyat)
Pendedahan kepada ilmu kerohanian dalam aspek tauhid, fekah, akhlak sejarah Islam dan ilmu moden yang dilihat dari kaca mata Islam, akan membantu manusia membina jati diri, menguruskan tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan lebih telus dan betul.
Isu gejala sosial dan korupsi termasuklah kebocoran soalan peperiksaan akan dapat diatasi atau dikurangkan apabila wujud kesedaran kerohanian dalam diri manusia tidak kira status individu sebagai ahli masyarakat atau pun penjawat awam.