Pengurusan Fatwa dalam Siyasah Syar’iyyah
Dalam menjalani kehidupan seharian, orang Islam menjadikan al-Quran dan Sunnah nabi Muhammad SAW sebagai panduan. Apabila mereka berhadapan dengan isu baharu yang memerlukan penjelasan hukum tetapi tidak disebut dengan jelas dalam sumber perundangan Islam maka fatwa digunakan untuk menentukan hukum.
Isu baharu tidak dapat dielakkan dalam kehidupan manusia kerana kehidupan sentiasa berubah-rubah dan memerlukan kepada inovasi baharu yang memberi kesan kepada hidup beragama orang Islam. Sebagai contoh isu penemuan sains seperti bayi tabung uji memerlukan kepada fatwa sebagai garis panduan kepada umat Islam. Dalam kehidupan global, kita tidak lagi terhad kepada sesuatu isu masyarakat setempat bahkan seluruh dunia. Isu-isu di luar negara yang menjadi amalan di sana akan menjadi suatu maklumat yang baharu kepada masyarakat tempatan.
Jadi fatwa memainkan peranan penting dalam mendefinasikan hukum-hakam dalam isu baharu mengikut acuan masyarakat setempat. Ini kerana sesuatu yang sesuai di tempat lain mungkin tidak sesuai kepada masyarakat setempat. Fatwa yang baik perlu mengambil kira keperluan dan uruf masyarakat.
Secara ringkas fatwa ialah usaha menentukan hukum-hakam yang tidak disebut dengan jelas dalam sumber perundangan Islam yang asas iaitu al-Quran dan Sunnah nabi Muhammad SAW. Maka golongan ulama bertanggungjawab berijtihad dengan adab dan tuntutan syariat dalam menentukan hukum.
Mereka yang arif tentang selok belok instinbat hukum, bahasa Arab atau dalam erti kata lain cendekiawan dan ulama memikul tanggungjawab ini untuk memurnikan masyarakat tentang sesuatu permasalahan hukum.
Dalam usaha itu, alim ulama ini selalunya akan memberi penerangan yang kadangkala berbeza-beza mengikut kefahaman dan sumber asal dalil serta hujah hukum masing-masing. Ini ditambah lagi dengan uruf, keperluan masyarakat setempat, adat yang berbeza-berbeza di antara satu dengan yang lain. Ia merupakan satu fenomena biasa yang akan berlaku. Bahkan di kalangan imam mazhab Maliki, Hanafi, Syafii dan Hanbali juga timbul perbezaan dalam mentafsir sesuatu permasalahan fiqah.
Bagi masyarakat Muslim awam, mereka perlu mengambil perkiraan yang wajar serta waras dalam mengambil penerangan hukum yang dikeluarkan oleh para cendekiawan dalam kehidupan mereka. Perkiraan yang wajar dan waras termasuklah melihat isu hukum yang sesuai dengan adat dan keperluan masyarakat setempat, dalil yang lebih kuat, di samping menghormati fatwa daripada pihak yang berautoriti.
Apabila perkiraan ini tidak diberi perhatian maka akan timbul pelbagai amalan yang berbeza berkaitan sesuatu isu dalam kelompok masyarakat atau sebuah negara yang kecil. Jika ia tidak membawa kepada perbalahan dan fitnah kepada masyarakat berkenaan, maka adalah menjadi hak kepada setiap individu beramal dengan pandangan hukum-hakam yang diyakini kesahihannya masing-masing. Walaubagaimana pun jika pelbagai pandangan hukum-hakam yang berbeza-beza menjadi sumber perbalahan dalam masyarakat, fitnah, kekeliruan serta mengalihkan mereka daripada tanggungjawab yang lebih besar, maka di sini peranan pengurusan fatwa mengikut Siayah Syar’iah perlu diterapkan oleh pihak yang mempunyai kuasa atau pun pemerintah.
Siayasah Syar’iyyah merupakan satu pengurusan negara yang antara lain bertujuan untuk mewujudkan suasana negara yang aman dan harmoni. Perkataan siayasah mengikut bahasa Arab memberi erti melakukan sesuatu kebaikan kepada pihak yang dipimpin. Siayasah Syar’iyyah dalam erti kata lebih mendalam merujuk kepada tindak tanduk pentadbiran, kepimpinan semua peringkat yang membawa kebaikan kepada anak buahnya sama ada ibu bapa kepada anak, guru kepada muridnya, ketua masyarakat kepada anak buahnya, pemimpin negara kepada rakyatnya. Perkataan syar’iyyah memberi erti hal-hal yang berpandukan Islam dan Syarak.
Tanggungjawab ini merupakan satu amanah kepada orang Islam. Dalam surah al-Nisa’, maksud ayat 58, Allah SWT menegaskan bahawa “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil”.
Dalam perbahasan akademik, Siayasah Syar’iyyah lebih merujuk kepada erti yang lebih khusus iaitu tindakan pemimpin atau menteri dalam urusan pentadbiran negara. Ini termasuk pegawai kerajaan yang mendapat amanah dalam pengurusan dan pentadbiran negara seperti hakim, pegawai penguatkuasa dan lain-lain.
Dalam kaitan pengurusan fatwa dengan siayasah syar’iyyah, agensi agama berkaitan yang menguruskan urusan fatwa di peringkat negeri mahu pun persekutuan perlu melihat pelbagai pandangan agama dan aliran dalam satu-satu isu yang timbul dalam masyarakat secara kritikal dan holistik.
Adakala pandangan berleluasa yang dikeluarkan dalam sesuatu isu tiada langsung sandaran ilmiah dan dalil tetapi terbit semata-mata daripada pandangan peribadi seseorang individu yang mudah menyebarkan kepada orang ramai melalui teknologi moden. Pendekatan hikmah perlu diambil dengan memberi pandangan balas kepada masyarakat dengan penerangan yang sebenarnya agar mereka faham isu berkenaan sehingga tidak timbul kekeliruan.
Ada juga pandangan yang dilontarkan oleh individu tertentu yang berwibawa dalam bidang agama tetapi ia merupakan pandangan peribadi masing-masing. Seharusnya pihak berkuasa agama memanggil individu berkenaan untuk diadakan perbincangan agar pandangan individu berkenaan diambil kira jika ia bertepatan dengan kehendak syariah. Jika tidak, pihak berkuasa agama perlu mengeluarkan fatwa atau ketetapan pandangan dengan dalil dan hujah yang lebih kuat.
Kesimpulannya, jika pelbagai pandangan dalam sesuatu isu agama mengancam keharmonian dan perpaduan masyarakat Islam, maka berdasarkan pendekatan siayasah syar’iyyah, pihak berkuasa boleh menetapkan bahawa sesuatu fatwa tertentu yang dipilih dijadikan panduan am secara rasmi kepada masyarakat. Sebarang keputusan berkaitan isu yang berbangkit adalah berdasarkan kepada ketetapan rasmi yang dikeluarkan itu oleh pihak berkuasa.
Ini akhirnya memenuhi matlamat siayasah syar’iyyah untuk mengurus dan mentadbir masyarakat agar mereka dapat hidup aman dan harmoni bertepatan dengan kaedah bahawa tindak tanduk pemimpin atau pihak berautoriti hendaklah berdasarkan maslahah rakyat.