Tabayyun Menjamin Perpaduan Ummah
Dalam kehidupan masyarakat sekarang, penyebaran berita adalah di hujung jari. Masyarakat mudah menerima berita dan menyebarkannya. Kemajuan teknologi komunikasi memungkinkan fenomena ini dengan wujudnya aplikasi seperti whatsapp, telegram, twitter, facebook, instagram dan lain-lain.
Kemajuan teknologi memberi kemudahan kepada masyarakat untuk mengetahui dan menyebarkan berita dalam dan luar negara dengan mudah, cepat dan terkini. Walaupun begitu, pihak tidak bertanggungjawab juga mengambil peluang dengan kecanggihan teknologi untuk menyebarkan kepentingan mereka. Pihak yang mempunyai agenda ini sanggup menyebarkan fitnah, cerita palsu, serangan peribadi terhadap sasaran mereka. Propaganda mereka akan menjadi tular dalam masa yang singkat. Kesannya sudah tentu ia membawa persepsi yang pelbagai kepada masyarakat.
Jika isu yang tular menyentuh keburukan peribadi individu tertentu, sudah tentu ia menarik persepsi buruk dalam kalangan masyarakat terhadap individu berkenaan. Bukan setakat itu, ia boleh menjejaskan kehidupan individu tersebut seperti terganggu sumber pencarian rezeki, nama baik, hubungan dengan keluarga, masyarakat dan pelbagai lagi.
Jika yang tular itu fitnah menyentuh sesuatu kelompok masyarakat, bangsa, agama, maka ia akan menimbulkan kemarahan daripada kelompok yang terpalit dengan fitnah berkenaan. Ini akan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan mereka yang akhirnya membawa kepada perpecahan dalam masyarakat sehingga menggugat perpaduan dan kerukunan hidup. Rasa tidak puas hati antara kelompok manusia adalah lebih memudaratkan kerana ia melibatkan skala yang lebih besar. Ini kerana sudah tentu kelompok yang terikat dengan pegangan agama, budaya, adat akan bermati-matian mempertahan pegangan dan kefahaman mereka. Dalam konteks ini, penyebaran berita palsu akan mengancam aspek keselamatan khasnya antara kelompok manusia dalam masyarakat dan merobohkan perpaduan dalam kalangan mereka.
Jelas bahawa fenomena berita di hujung jari adalah kritikal dalam konteks kehidupan masyarakat semasa kerana ia tidak dapat dielakkan lagi dalam kehidupan mereka. Perkara yang perlu kita lakukan sebagai ahli masyarakat ialah memastikan diri tidak terjebak dalam penyebaran berita tidak sahih, berita yang tidak diketahui puncanya dan kebenarannya atau dalam kata lain tidak bersubahat menularkan fitnah sehingga memudaratkan pihak yang tidak bersalah.
Untuk memanfaatkan berita yang diterima, perlu dipastikan berita itu ada kebenarannya. Kebenaran ini dapat dilakukan dengan tabayyun iaitu menyelidik dengan teliti, tidak tergesa-gesa, merujuk maklumat berkaitan sehingga kita dapat memastikan kesahihan susuatu perkara yang disampaikan. Dalam erti kata lain tabayyun ialah mencari hakikat sesuatu maklumat dengan teliti, saksama dan berhati-hati.
Ini bertepatan dengan suruhan Islam melalui firman Allah SWT yang bermaksud “ Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainnya) sehingga menjadikan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.”
Agama Islam sebagai agama yang mencakupi segala aspek kehidupan manusia telah pun menyediakan platform tabayyun yang tepat untuk mengelak gejala penularan berita tidak sahih. Ini bermaksud kita sebagai orang mukalaf bertanggungjawab terhadap setiap perbuatan yang kita lakukan oleh anggota pancaindera termasuk perbuatan hati. Kita tidak boleh berburuk sangka yang datang daripada hati. Apatah lagi menyebarkan berita tidak ada kepastiannya oleh tangan-tangan kita yang sudah tentu ada balasan buruknya.
Apabila berita diterima terutamanya yang negatif, tidak pasti kesahihannya, maka sudah tentu ia perlu dihentikan setakat kita sahaja demi memenuhi tuntutan agama. Islam memandang jelek kepada kaum yang memperolok-olokkan kaum lain, atau kejian golongan wanita kepada golongan wanita yang lain, panggil memanggil dengan gelaran buruk, suka berperangsaka kepada orang lain, begitu mudah menyebarkan setiap berita yang diterima, mencuri dengar perbicaraan orang lain, mencari-cari kesalahan orang, bersaing secara tidak sihat, saling dengki-mendengki, benci-membenci bahkan sehingga merendahkan diri dengan aib dan celaan hasil perbuatan sendiri.
Islam meminta mereka yang bergelomang dengan elemen-elemen yang dilarang ini agar segera bertaubat. Ini kerana golongan yang suka melakukan perbuatan buruk adalah tergolong dalam kalangan orang zalim, seolah-solah mereka makan daging saudara mereka yang telah mati, yang sudah tentu sangat jijik. Islam memandang keji orang yang ke sana sini menabur fitnah kepada semua pihak, apatah lagi sesama saudara Islam. Agama Islam melihat orang Islam sebagai golongan yang terpelihara darahnya, hartanya dan kehormatannya.
Di sinilah peranan tabayyun dapat mengelakkan penularan berita yang tidak sahih seterusnya mengelakkan fitnah, buruk sangka dan risiko menjatuhkan maruah diri serta mengelakkan daripada tergolong dalam kalangan orang zalim pada pandangan agama.
Sebenarnya melalui proses tabayyun, kita dapat menambah maklumat tentang sesuatu berita yang diterima. Ini kerana kita perlu meneliti dan membanding maklumat dengan maklumat yang lain dan membuat rujukan berkaitan sehingga dapat membuat kesimpulan tentang kesasahihan berita berkenaan. Dengan tabayyun juga, kita beroleh ilmu pengetahuan yang lebih mendalam tentang sesuatu topik yang akhirnya dapat memberi petunjuk kepada tindakan yang perlu kita ambil mengikut lunas ajaran Islam.
Pada hakikatnya, Islam meminta kita melakukan tabayyun dalam semua perkara khasnya dalam berita yang diterima agar terhindar daripada perkara negatif. Pihak Ulul Amri atau pemerintah boleh menguatkuasakan undang-undang takzir dalam isu ini atas dasar maslahah umat. Islam mahu masyarakat manusia hidup bersaudara, rukun damai seterusnya membentuk perpaduan ummah.