Jangan Biarkan Harta Terus Membeku
Harta beku ialah harta seseorang yang masih tertahan daripada sebarang transaksi mahupun urusan pengagihan kepada waris selepas kematian pemilik harta sebelum proses pentadbiran sempurna diproses. Harta beku ialah isu yang sedang dihadapi dalam negara kita, dan keadaannya dilihat semakin buruk.
Pada tahun 2004 nilai harta beku dalam negara kita dianggarkan berjumlah 15 bilion ringgit. Malangnya jumlah harta beku saban tahun semakin meningkat sehinggalah pada Januari 2020, media menyatakan bahawa angkanya telah mencecah sebanyak 70 bilion ringgit! Keadaan ini merumuskan bahawa sejak 16 tahun yang lalu, jumlah nilai harta beku secara purata bertambah sebanyak 3.44 bilion ringgit setahun.
Walaupun mungkin angka yang dinyatakan oleh pihak media kurang tepat tetapi isu harta beku ialah permasalahan yang tidak boleh diambil enteng. Apatah lagi dari sudut syariah, urusan yang melibatkan harta-benda akan disoal di akhirat nanti. Tidak kira walau apapun kedudukan seorang itu, sama ada sebagai pemilik harta atau sebagai waris yang menerima, ataupun barangkali sebagai pemegang amanah terhadap harta yang ditinggalkan oleh pemilik harta selepas kematiannya, setiap orang akan ditanya tentang tanggungjawab yang digalasnya semasa hidup di dunia.
Selanjutnya, rata-rata golongan profesional yang berada dalam bidang ini apabila membicarakan isu harta beku mempunyai suara yang sama ketika membangkitkan punca-punca yang mengakibatkan bertambah harta beku di negara ini, terutamanya dalam menguruskan harta bagi pemilik yang telah meninggal dunia. Antaranya ialah, waris tidak mempunyai pengetahuan berkaitan dengan proses dalam membuat tuntutan; pengurusan yang melibatkan kos yang tinggi; waris-waris tiada muafakat; waris tidak mempunyai peruntukan masa; dan berlengah-lengah dalam menguruskan harta terbabit.
Tiada pengetahuan dalam menguruskan harta boleh dilihat sebagai punca yang paling signifikan berlakunya permasalahan ini. Dengan wujud pengetahuan yang berkaitan, seseorang boleh dianggap telah berada di separuh jalan dalam menguruskan harta terbabit. Pengetahuan asas itu sudah tentu termasuk mengetahui hukum-hakam dalam pengurusan harta walaupun hanya di peringkat yang minimum. Bertitik-tolak dari sinilah seseorang itu akan mencari jalan untuk menguruskan harta terbabit kerana pengetahuan ini secara dasarnya boleh menerbitkan kesedaran dalam melaksanakan tanggungjawab berkenaan.
Bermula dengan pengetahuan ini biasanya seseorang akan mempunyai kesedaran dan kefahaman bahawa bertindak lebih awal merupakan tindakan yang bijaksana kerana perkara ini akan mengelakkan daripada timbul sebarang isu apabila ia meninggal dunia. Hal ini membawa maksud, seorang pemilik harta yang bijaksana tidak akan membiarkan hartanya begitu sahaja, bahkan harta itu diuruskan dengan sempurna sementara ia masih hidup, sihat dan waras. Kebijaksanaan sebegini juga sudah tentu dapat mengelakkan punca-punca yang mengakibatkan harta diuruskan secara lambat dan lewat.
Pengurusan harta secara bijaksana juga bermakna harta yang dimiliki dapat diagihkan kepada mereka yang layak sama ada kepada ahli keluarga ataupun bukan, dan hak harta dapat ditunaikan dengan sempurna. Secara tidak langsung ia juga dapat mengelakkan harta itu daripada menjadi beku serta tidak dapat dimanfaatkan.
Impak pengurusan harta dalam konteks yang lebih luas akan menjamin perkara-perkara seperti ini iaitu, memastikan harta beredar dan bergerak cergas dalam pelbagai sektor kehidupan sehingga memungkinkan pengembangan harta dan penggunaannya secara meluas dan menyeluruh; merangsang aktiviti ekonomi dan ia dapat meluaskan lingkungan peredaran harta sehingga dapat dinikmati oleh masyarakat secara adil.
Menguruskan harta keluarga secara berkesan adalah ibarat menyediakan payung sebelum hujan. Hujan ialah takdir yang tidak boleh dielakkan, tetapi dengan ada payung, maka ia dapat melindungi mereka daripada ditimpa air hujan, yang memberi erti bahawa kebajikan mereka yang ditinggalkan akan terus terpelihara.
Apatah lagi jika seseorang pemilik harta mempunyai situasi seperti ini, iaitu ia tidak mempunyai anak lelaki—yang kedudukannya menerima baki pusaka; tidak mempunyai anak; hanya memiliki anak angkat; memiliki anak istimewa atau anak yang terlantar sakit; dan memiliki anak yang masih di bawah umur 18 tahun, yang beberapa keadaan ini memerlukan pemegang amanah.
Dalam hal ini setiap pemilik harta tidak tahu waktu kematiannya; situasi yang mungkin mengurangkan kemampuannya sebagai orang yang sihat dan normal; juga sebarang insiden atau perubahan yang boleh menyebabkan ketidakupayaan dari sudut mental. Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda dengan maksudnya:
Daripada Ibnu Abbas r.a., Rasulullah SAW bersabda ketika menasihati seseorang, “Gunakan lima perkara sebelum datang lima perkara, iaitu masa mudamu sebelum masa tuamu; masa sihatmu sebelum masa sakitmu; masa kayamu sebelum masa miskinmu; masa lapangmu sebelum masa sibukmu dan masa hidupmu sebelum masa matimu,” (Hadis riwayat al-Hakim).
Walaupun pengetahuan yang berkaitan merupakan kunci utama penyelesaian kepada permasalahan ini, tetapi berdasarkan tinjauan penulis, pengetahuan yang perlu ada pada masyarakat Islam di Malaysia masih belum cukup memberangsangkan. Sesetengahnya walaupun pernah mendengar istilah hibah, wasiat dan juga faraid, tetapi pengetahuan yang ada belum mencukupi dalam hal bagaimana instrumen-instrumen pengurusan harta ini berfungsi. Keadaan ini perlu diambil perhatian oleh semua pihak supaya pengetahuan masyarakat kita dapat dipertingkatkan. Harapan kita apabila kefahaman masyarakat meningkat, lama-kelamaan permasalahan yang berkaitan dengan harta beku dapat dikurangkan.