Tauhid Teras Integriti dan Kesejahteraan Bangsa
Menyusuri perjalanan di sepanjang tahun 2020, ternyata tahun tersebut telah terisi dengan pelbagai kenangan dan pengalaman yang berwarna-warni. Mungkin segelintir pembaca yang bersetuju bahawa tahun 2020 merupakan tahun penuh cabaran yang bukan calang-calang hebatnya.
Perasaan memasuki ambang tahun baharu pada tahun ini tidak seperti tahun-tahun sebelum ini yang penuh keterujaan kerana diragut oleh pandemik Covid-19. Sehingga pada hari artikel ini ditulis pun, kita masih berperang dan berjuang untuk melawannya sementelah berlakunya gelombang ketiga yang amat mencabar kesabaran dan ketahanan barisan hadapan dan pihak-pihak yang berkaitan.
Wabak yang berpunca daripada coronavirus ini juga turut menyingkap pelbagai isu kemanusiaan yang selama ini terlindung dan tersembunyi di sebalik keadaan hidup yang aman dan damai selama ini. Bertambah malang apabila tahun 2020 diakhiri dengan tragedi yang menyaksikan terdapatnya segelintir manusia yang telah mencemarkan dan merobek nama baik umat Islam dalam isu kartel daging yang diragui kehalalannya. Tidak lama sebelum itu timbul isu-isu pecah amanah dan kegagalan segelintir kakitangan agensi awam dalam menjalankan tanggungjawab dalam hal-hal yang melibatkan warga asing.
Apabila perkara-perkara yang menyedihkan ini lebih tersorot dalam tahun 2020, selain pandemik yang menjadi rencah sepanjang tahun berkenaan, penulis kira ada baiknya kita sama-sama mengambil sedikit masa untuk bermuhasabah diri, sebelum meneruskan perjalanan kehidupan melalui tahun 2021. Tahun 2021 seharusnya menjadi episod dan fasa pemulihan sebagaimana setiap orang mahu negara kita, juga dunia ini pulih sepenuhnya daripada wabak Covid-19.
Dalam fasa pemulihan atau bagi mengembalikan semula integriti yang sudah robek, kaedah yang terbaik adalah dengan mengembalikan diri ke pangkuan Ilahi dengan sebenar-benar kembali. Kembali mengenali Tuhan sebagai Pencipta yang merupakan tempat tumpuan atau matlamat pengabdian. Hal ini sebagaimana yang telah disebutkan dalam firman Allah SWT dalam Surah al-Hajj ayat 77 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Rukuklah serta sujudlah (mengerjakan solat), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkan-Nya); serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan akhirat).”
Itulah situasinya apabila manusia ini duduknya sebagai hamba yang wajib mengabdikan hidup dan matinya semata-mata untuk meraih keredaan Ilahi, yang merantaikan suatu kefahaman bahawa Allah itulah yang seharusnya menjadi tumpuan kepada kecintaan, sebagaimana yang dijelaskan dalam surah at-Taubah, ayat 24.
Allah SWT jugalah sebagai Pemberi rezeki pada setiap makhluk yang hidup di muka bumi, sebagaimana yang disebut dalam al-Quran iaitu pada ayat ke-3 surah Fatir yang bermaksud, “Wahai umat manusia, ingatlah akan nikmat Allah yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu. Adakah pencipta selain daripada Allah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Tiada tuhan melainkan Dia, maka mengapa kamu rela dipalingkan (daripada menyembah-Nya)?”
Ayat ini memberi faham bahawa, hanya Allah SWT sahaja yang memberi rezeki secara mutlak. Sama ada pihak majikan, pelanggan, penderma ataupun mana-mana pihak yang menyerahkan wang ringgit atau memberi sumbangan dalam pelbagai bentuk yang diperlukan oleh manusia, mereka itu hanyalah perantara atau penyampai sahaja. Apabila konsep ini difahami, sudah tentu manusia yang beriman akan hanya mengusahakan rezeki yang halal sahaja untuk dimakan, dipakai atau digunakan dalam menjalani kehidupan harian. Hal yang demikian selari dengan mafhum ayat 162 Surah al-An’am yang menyebut bahawa solat, ibadah, hidup dan matinya seseorang insan adalah hanya untuk Pencipta-Nya yang memelihara dan mentadbir alam ini.
Dalam konteks mengusahakan pendapatan sebagai rezeki ia harus dalam ruang lingkup pengabdian bahawa manusia itu ialah hamba. Dalam hal ini ada banyak perkara yang harus atau dibolehkan untuk dilakukan oleh semua manusia dalam urusan mencari pendapatan, cuma manusia juga perlu ingat bahawa ada batasan-batasan tertentu yang harus diambil peduli. Sebahagiannya ialah perkara-perkara yang diharamkan oleh syariat demi menjaga maslahat agama. Sebahagiannya pula ialah tindakan-tindakan yang tidak dibenarkan oleh undang-undang negara kerana pelanggaran terhadap undang-undang akan menjejaskan kesejahteraan dan ketenteraman awam. Pelanggaran undang-undang negara juga merupakan maksiat yang sudah pasti akan memberi kesan terhadap keberkatan satu-satu rezeki yang diraih.
Muhasabah yang berjaya akan menerbitkan konsep muqarabah iaitu berasa sentiasa dalam pengawasan Allah SWT dan berasa Allah SWT sentiasa berada di sampingnya. Insan ini akan meyakini bahawa di akhirat kelak semua amalan akan diperlihatkan satu demi satu sama ada baik ataupun jahat. Dalam surah al-Zalzalah, ayat 7-8 Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalnya).”
Muslim yang bijaksana akan menginsafi bahawa setiap kelazatan di dunia ini akan ada pengakhirannya, kecualilah apabila ia sampai ke satu tahap bahawa melakukan ketaatan itu ada nikmat yang tersendiri. Maka, di situ kelazatan dalam melakukan ketaatan tidak akan berakhir, dan akan dibawa hingga ke syurga.
Cumanya, dalam zaman yang amat moden ini adalah amat sukar untuk mengajak manusia menghayati tauhid uluhiyyah, sekalipun ia sesuatu yang tetap boleh diikhtiarkan. Sama ada suka atau sebaliknya, kekuatan pada tauhidlah yang boleh membentuk peribadi mulia dan berintegriti. Inilah pertahanan paling ampuh bagi memastikan kesejahteraan bangsa dan negara terpelihara. Oleh yang demikian, mengusahakan agar bangsa kita kembali menghayati falsafah uluhiyyah sebenarnya adalah tanggungjawab bersama, dan sudah tentu ia bermula dengan diri sendiri.