Tempoh Kawalan Pergerakan Bukan Untuk Bersindiket
Nikah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukanlah bermakna sesiapa sahaja yang berhasrat untuk mendirikan rumah tangga boleh secara sewenang-wenangnya membuat permohonan untuk bernikah dalam waktu terdekat, dengan melangkaui prosedur-prosedur biasa, dan kemudiannya menjalani upacara pernikahan bagi menghalalkan perhubungan.
Sebenarnya semua pasangan pengantin yang menjalani upacara pernikahan beberapa hari sebelum PKP 2.0 ataupun dalam tempoh PKP tersebut telah pun mempunyai kebenaran bernikah dan telah melengkapkan dokumen-dokumen yang diperlukan. Nikah semasa PKP tetap nikah yang sempurna kerana tiada keciciran terhadap rukun dan syarat-syarat yang perlu ada dalam satu-satu upacara atau majlis ijab dan kabul antara pasangan pengantin. Apa yang berlaku terhadap pernikahan semasa PKP hanyalah kemas kini oleh pihak jabatan agama Islam negeri-negeri (yang terlibat PKP) terhadap tarikh-tarikh nikah yang sebelum itu dirancang pihak pengantin. Kemas kini tersebut bertujuan supaya pasangan masih lagi dapat bernikah walaupun negara perlu mengadakan PKP 2.0. Selanjutnya pernikahan ini perlu melalui syarat-syarat dan prosedur operasi standard (SOP) tertentu.
Walaupun demikian, baru-baru ini masyarakat kita telah dikejutkan dengan berita pembongkaran kegiatan nikah tanpa kebenaran. Lebih mengejutkan lagi kerana pernikahan yang dilakukan oleh jurulatih tanpa tauliah itu membabitkan jumlah pasangan yang bukan sedikit malah ia melibatkan lebih 100 pasangan pengantin.
Nikah tanpa kebenaran daripada pejabat agama Islam negeri atau diistilahkan sebagai “Nikah Sindiket” sudah pun pernah dibangkitkan oleh media massa sekurang-kurangnya sejak 25 tahun yang lalu (Menara, bil. 40, September 1996). Antara contoh nikah sindiket ataupun disebut sebagai nikah ekspres adalah apabila jurunikah mengakadnikahkan pasangan yang bukan anak mukim tanpa kebenaran walaupun ada wali; jurunikah bertindak sebagai wali hakim sekalipun tiada tauliah; ataupun individu yang tauliahnya sudah tamat dan tidak mengikut prosedur.
Selanjutnya dalam nikah sindiket itu perkara yang boleh berlaku ialah, dokumen yang akan diterima oleh pasangan biasanya palsu; “sijil” yang dicetak sendiri; ataupun kertas dokumen (sijil) original yang diambil secara tidak sah dengan nombor siri yang tertera pada sijil tersebut sebenarnya dimiliki oleh pasangan lain.
Sebelum ini terdapat juga nikah sindiket yang melibatkan “imam” dari negara jiran turun ke sempadan dan menikahkan pasangan tanpa mereka pergi ke negara tersebut. Penipuan secara terang-terangan juga berlaku dalam keadaan pasangan bernikah di dalam negara, contohnya nikah di Kuala Lumpur tetapi sijil nikah “diterbangkan” dari negara jiran. Pembongkaran sebegini sebenarnya amat mendukacitakan seluruh umat Islam di negara ini kerana kegiatan tersebut hanya membawa akibat yang amat buruk kepada banyak pihak.
Apabila terjebak dalam nikah yang tidak mengikut peraturan ini, nikah tersebut mungkin tidak sah kerana sesetengah ejen tidak memberi perhatian yang serius terhadap rukun nikah yang sempurna. Asal ada ijab dan kabul, mereka menganggap pernikahan sudah pun selesai. Sekiranya tidak sah, maka hubungan yang dijalin oleh pasangan yang terlibat adalah bersekedudukan tanpa nikah serta hidup dalam perzinaan semata-mata. Sekiranya ada anak yang lahir daripada perhubungan ini sudah tentu anak tersebut anak tidak sah taraf. Keadaan ini akan menyebabkan timbulnya isu perwalian sekiranya anak tersebut anak perempuan dan mahu bernikah apabila ia telah dewasa.
Tidak dinafikan ada pernikahan yang melanggar peraturan ini dihadiri oleh wali sebenar seperti bapa atau abang kepada pengantin perempuan. Dalam keadaan sebegini, hukum pernikahan itu sah kerana rukun nikah yang sempurna. Walaupun demikian ia tetap salah dari segi prosedur dan undang-undang. Biasanya kegiatan nikah sindiket ini disebabkan pihak lelaki hendak berpoligami tetapi tidak mahu mengikuti prosedur mahkamah syariah yang telah ditetapkan, ataupun pasangan perempuan telah hamil.
Sijil nikah palsu yang dimiliki oleh pasangan terbabit hanya mampu menggelapkan masa hadapan isteri dan anak-anak yang ada dalam pernikahan tersebut. Masa hadapan menjadi bertambah gelap sekiranya suami yang terlibat mempunyai sikap sambil lewa, tidak bertanggungjawab malah sesetengahnya menghilangkan diri begitu sahaja.
Tanpa sijil yang sah, masalah akan timbul dalam urusan pendaftaran anak yang dilahirkan daripada pernikahan sindiket. Ia akan “merantaikan” masalah dalam urusan tertentu seperti persekolahan anak-anak dan perubatan anak di hospital. Tanpa sijil yang sah juga, isteri tidak dapat merujuk kepada pejabat agama Islam ataupun mana-mana mahkamah syariah sekiranya terdapat masalah dalam perkahwinan yang didirikan. Mereka akan hidup dalam tersepit berterusan sekiranya keadaan ini tidak diperbetulkan, dan untuk membetulkannya juga bukanlah mudah.
Pihak yang senang dengan keadaan ini ialah ejen-ejen nikah sindiket yang tidak pun peduli tentang kesahan pernikahan ataupun masa hadapan pasangan juga anak-anak yang bakal dilahirkan dalam perkahwinan tersebut. Masakan tidak, mereka boleh menjana pendapatan sehingga RM50,000 sebulan dengan mengenakan bayaran sekitar RM3000 – RM5000 bagi setiap urusan nikah secara sindiket.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa setiap individu atau pihak yang terlibat dengan perbuatan tidak bermoral ini boleh dikenakan undang-undang dan dikenakan hukuman yang berat, sama ada pengantin sendiri, ejen, wali yang bersekongkol, saksi dan mereka yang bersubahat. Namun, adalah jauh lebih baik sekiranya perkara ini dapat ditegah terlebih dahulu.
Ejen-ejen nikah yang tidak bertanggungjawab ini gemar menggunakan platform media massa untuk mempromosi kegiatan mereka. Oleh yang demikian satu cara yang boleh dilakukan adalah dengan menyekat akaun dan laman sesawang mereka supaya tidak bebas untuk mempromosi kegiatan mereka secara sewenang-wenangnya.