Allah Tetap Sayangkan Hamba-Nya
Memilukan! Itulah antara rasa yang berpaut-paut dalam jiwa rakyat negara ini apabila bahagian tertentu di Pantai Barat Semenanjung Malaysia terutama di beberapa daerah di Negeri Selangor mengalami banjir yang luar biasa keadaannya. Keadaan yang tidak pernah terjangkau sejak 50 tahun lalu. Ketika cerita ini ditulis pun air di sesetengah kawasan mula naik semula termasuklah di kawasan tol. Ada juga banjir yang masih belum surut sejak air naik 3–4 hari yang lalu, yang disebut oleh orang kampung sebagai “banjir tenang”.
Sebagaimana yang sampai ke pengetahuan kebanyakan kita, bah ini telah memusnahkan bangunan, rumah, kenderaan, barang-barang yang digunakan oleh manusia dan apa sahaja yang mampu dicapai oleh arus banjir. Dan yang amat menyedihkan adalah apabila banjir yang di luar jangkaan ini telah mengorbankan nyawa manusia tanpa mengira umur.
Banjir ialah malapetaka dan juga musibah. Secara mudah musibah boleh difahami sebagai sesuatu yang tidak manusia sukai dan boleh merosakkan rasa gembira serta ketenangan manusia. Ia mengakibatkan rasa sedih dan amat mencabar kesabaran. Musibah adalah sebahagian daripada ujian hidup oleh Allah SWT sementalah kesenangan dan kesejahteraan juga merupakan ujian.
Berdasarkan firman Allah SWT dalam ayat 214 Surah al-Baqarah, ujian mempunyai peranan tersendiri yang membolehkan manusia itu sendiri menimbang nilai ketakwaannya terhadap Allah sebagai jalan ke syurga. Sebagaimana ayat tersebut bermaksud:
“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk ke dalam syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya; ‘Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).”
Dinyatakan bahawa musibah mempunyai beberapa kategori seperti kifarah, bala dan ibtila’. Walaupun demikian penulis tidak cenderung untuk membincangkannya disebabkan apa sahaja kategori musibah itu, jalan ke syurga masih terbentang luas untuk kita yang masih bernafas pada hari ini.
Cuma mungkin sesetengah kita belum pernah mendengar istilah ibtila’ dalam perbincangan mengenai musibah. Ibtila’ ialah musibah yang berlaku terhadap orang-orang yang baik ketika melakukan kebaikan. Juga bermaksud sebagai ujian terhadap orang yang bertakwa melakukan amalan soleh (Abdul Munir Ismail, Tuntutan Akhlak Mulia dan Kehidupan). Golongan para nabi, rasul, solihin ada ketikanya menghadapi ibtila’ ketika sedang berjuang demi menegakkan kebenaran. Yang penulis kira boleh juga termasuk ujian yang berlaku kepada seseorang yang aman daripada sebarang maksiat.
Apabila musibah dalam skala besar berlaku, maka ia menimpa semua golongan manusia sama ada baik ataupun sebaliknya, beriman ataupun tidak beriman. Akhlak ketika menghadapi musibah atau ujian buruk itulah yang boleh membayangkan tentang penentuan darjat atau makam seseorang di sisi Allah SWT. Bah besar seperti ini memang tidak mampu dielakkan oleh sesiapa. Pilihan yang ada adalah dengan meredah dan menghadapinya. Walaupun demikian manusia boleh mengubah persepsi yang lebih positif terhadap ujian yang sedang dihadapinya. Mereka yang tidak terjejas sudah tentu berasa amat simpati, dan boleh sahaja menawarkan apa-apa sahaja bentuk bantuan dalam bentuk wang serta barang, tenaga, semangat dan juga doa.
Sebagai pihak yang tidak terjejas juga mungkin mudah untuk melontarkan nasihat kepada mangsa yang terkena musibah. Iaitu seperti mengingatkan bahawa kesemuanya yang kita “miliki” hakikatnya adalah kepunyaan Allah. Selain itu memanjangkan dan menyampaikan berita gembira untuk orang-orang yang sabar bahawa mereka yang sabar dijanjikan ganjaran pahala tanpa hisab sebagaimana yang dinyatakan oleh Baginda Rasulullah SAW dalam sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Muslim.
Walaupun nasihat itu mungkin mudah untuk disampaikan, tetapi menerima hakikat sesuatu realiti yang amat menyakitkan bukanlah tindakan yang mudah bahkan ia proses yang sukar dan biasanya mengambil masa tertentu. Tidak mustahil satu-satu musibah boleh mengakibatkan kesedihan yang berpanjangan dan menjadi kemurungan. Oleh yang demikian, bagi mereka yang tidak berada di tempat mangsa perlulah bersikap berhati-hati untuk mengeluarkan kata-kata walaupun bertujuan baik. Ada yang rumahnya hanyut, yang tinggal hanya tiang dan tangga batu; ada yang kenderaannya ditelenggami air; malah kehilangan orang tersayang dan ahli keluarga. Mungkin diam tetapi benar-benar mendoakan adalah cara yang paling selamat untuk menyantuni mereka yang terkesan.
Tidak dinafikan ujian adalah lorongan Allah agar hamba-hamba-Nya melakukan muhasabah diri. Muhasabah yang membawa kita pulang ke pangkuan Ilahi secara hakiki. Mungkin terdapat kecuaian-kecuaian tertentu yang sekiranya ia tidak berlaku, maka musibah tersebut masih boleh dikawal, atau kehilangan dan kerugian tidaklah terlalu besar.
Barangkali kita terlupa bahawa alam ini ada hukum-hukum tertentu yang jika kita melanggarinya—sekalipun untuk tujuan kesejahteraan manusia—ia tetap akan memberi tindak balas selari dengan pelanggaran tersebut dan kita jugalah yang akan menerima kesannya semula. Sesungguhnya kita ini milik Allah dan kepada Allah kita sama-sama kembali. Marilah kita sama-sama mengaminkan doa ini, “Ya Allah, berilah pahala atas musibah yang berlaku ini, dan berilah ganti yang lebih baik daripada musibah ini.”