Contohi Akhlak Rasulullah Ketika Berbahasa
“BAHASA” memberi maksud sebagai sistem lambang bunyi suara yang digunakan sebagai alat perhubungan dalam sesuatu kelompok manusia untuk melahirkan perasaan dan fikiran. Menariknya “berbahasa” pula bukan sahaja memberi makna sebagai mempunyai bahasa bahkan juga sebagai memakai bahasa atau bertutur dalam sesuatu bahasa. Terdapat pandangan yang mengatakan bahawa pertuturan bukan sahaja boleh membayangkan keperibadian si penutur, malah berdasarkan pertuturan boleh juga ditelah tentang jenis kerjaya, tahap pendidikan dan status sosial penuturnya dalam sesebuah masyarakat.
Sebenarnya sama ada berbahasa, menuturkan kata-kata, berbicara, berkomunikasi atau apa-apa sahaja istilah yang merujuk kepada interaksi antara dua orang manusia atau lebih, di sisi agama Islam ia sebahagian daripada perkara tentang adab atau akhlak. Tanpa mengira latar belakang seseorang Muslim itu atau tahap pendidikannya selagi ia mengaku beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat, ia tidak akan meninggalkan aspek akhlak dalam kehidupannya selain mengamali perkara-perkara yang telah disyariatkan.
Atau dengan perkataan lain, seseorang yang beriman merupakan seorang yang mengiktiraf keesaan Allah; melakukan setiap perkara (ibadah) yang diperintahkan dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang (maksiat); seterusnya menjaga akhlaknya termasuklah ketika ia bertutur, berkomunikasi dan bersosial dengan orang lain. Hal yang demikian adalah kerana agama Islam mempunyai tiga dimensi, iaitu tauhid, syariah dan akhlak, yang setiap satunya tidak boleh diabaikan.
Dalam hal ini, bagaimanakah seharusnya seorang Muslim itu berakhlak? Sudah tentu rujukan dan panduan individu Muslim itu merupakan baginda Rasulullah SAW sendiri. Berdasarkan ayat 107 surah al-Anbiyaa’ Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Tidaklah Kami mengutuskan kamu wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam.”
Tafsir al-Maraghi menjelaskan bahawa pengutusan baginda Rasulullah SAW ke khalayak manusia itu adalah untuk membawa ajaran yang mengandungi kemaslahatan di dunia dan akhirat. baginda menunjukkan keperibadian dan akhlak yang baik sebagai sebahagian daripada rahmat kerana akhlak yang baik amat diperlukan dalam kehidupan bermasyarakat. Ia akan memberi ketenteraman dan keamanan kerana mampu mengelakkan daripada tercetusnya sebarang konflik dan persengketaan sesama manusia. Akhlak yang baik mengeratkan silaturahim sesama insan dan hal ini selari dengan pengertian “rahmat” sebagai kasih sayang sebagaimana yang pernah dibincangkan oleh ulama.
Apabila Aishah RA ditanyakan perihal akhlak Rasulullah SAW, beliau menyatakan bahawa akhlak Rasulullah SAW ialah al-Quran. Bermakna baginda memiliki akhlak dan keperibadian yang sempurna.
Malangnya pada hari ini kita sedang mengalami krisis akhlak dan kebejatan sosial. Lihat sahaja warga maya pada hari ini berkomunikasi dan berinteraksi, cukup menjelaskan krisis akhlak yang sedang kita hadapi. Keadaannya amat berat dan tenat walaupun tidak dinafikan masih ada kalangan kita yang masih menjaga bahasa.
Kata-kata keramat nenek moyang seperti “bahasa menunjukkan bangsa,” sekarang ini sudah tidak menjadi “pakaian anak Melayu.” Perkara ini bukanlah tuduhan secara semberono tetapi kita sendiri boleh melihatnya di hadapan mata kita bahkan ia cenderung menjadi lumrah. Kemuncak kepada krisis ini kita dapat lihat wujudnya tindakan saman-menyaman yang semakin ketara disebabkan tiadanya kawalan kata-kata oleh pihak penutur.
Rentetan daripada senario yang berlaku ini memang amat tepat jika kita meletakkan keperibadian Nabi Muhammad SAW sebagai ikutan dan panduan berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh At-Tarmizi, Abu Daud dan Ahmad yang bermaksud, “Rasulullah SAW bukan seorang yang keji dan tidak berbuat perbuatan yang keji, tidak berteriak di pasar dan tidak pernah membalas kejahatan dengan kejahatan. Baginda seorang pemaaf dan sentiasa berlapang dada.” Mafhum Hadis ini jelas menunjukkan bahawa Nabi seorang individu yang menjaga intonasi suaranya walaupun tempat baginda sedang berada itu (pasar) ialah sebuah tempat yang bising dan hiruk-pikuk keadaannya kerana bermacam-macam aktiviti yang dilakukan oleh manusia di situ.
Sehubungan dengan perkara ini, para sahabat juga mengiktiraf bahawa baginda merupakan orang yang paling baik pergaulannya, dan yang paling takut kepada Allah, sekalipun baginda merupakan kekasih Allah. Dalam pergaulan juga Rasulullah SAW menegaskan bahawa baginda tidak gemar dipuji secara berlebih-lebihan dan ini menggambarkan betapa baginda Rasulullah SAW merupakan seorang yang amat tawaduk. Amat sesuai dengan peranannya sebagai seorang Rasul yang diutuskan untuk memperbaiki akhlak manusia seperti mana yang dirakamkan dalam Muwattoq al-Imam Malik.
Melihat kepada fungsi akhlak dalam kehidupan bermasyarakat, dapat dilihat bahawa kecerdikan akal, kepesatan pembangunan fizikal serta kecanggihan teknologi adalah tidak memadai untuk menjadi kayu ukur sebenar dalam mengukur ketinggian sebuah tamadun. Sesebuah tamadun bangsa itu akan menjadi rapuh sekiranya akhlak dan keperibadian bangsa itu tidak sama-sama diberi perhatian yang serius.
Dalam hal ini sebenarnya agama Islam sudah pun mempunyai kaedah terbaik dalam bersosial dan berkomunikasi sesama manusia. Pertama adalah dengan menuturkan kata-kata yang benar sebagaimana mafhum firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 70-71. Ayat ini disokong dengan sebuah hadis yang diriwayatkan Ibn Hibban yang bermaksud, “Katakanlah yang benar walaupun pahit.” Panduan kedua adalah sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud, “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau diam.”
Kedua-dua panduan yang disebutkan ini bukanlah bermaksud agama Islam merupakan agama yang beku dan kaku. Kreativiti dalam komunikasi termasuklah bergurau senda boleh sahaja diwujudkan dalam interaksi asalkan ia masih dalam keadaan yang beradab dan boleh diterima dalam budaya sesebuah keluarga dan masyarakat.
Semoga dengan menjadikan baginda Rasulullah SAW sebagai contoh teladan ketika berbahasa, kita dapat mengembalikan semula keadaan yang lebih harmoni dan penuh kasih-sayang dalam kehidupan bermasyarakat.