Program Motivasi Perlu ‘Dimotivasikan’
Program motivasi sememangnya telah menjadi satu pilihan rutin yang mesti dimasukkan ke dalam agenda tahunan oleh masyarakat di negara ini. Ini kerana kebanyakan anggota masyarakat beranggapan bahawa program motivasi seolah-olah mempunyai karamah dan berupaya meningkatkan jati diri dan kemandirian seseorang individu dan akhirnya dapat merungkaikan segala macam permasalahan hidup yang membelenggu.
Lantaran itu, tidak hairanlah jika dilihat program motivasi mendapat tempat yang utama dan menjadi pilihan tertinggi oleh para ibu bapa, mahupun pasangan suami-isteri, terutamanya menjelang hujung tahun, dengan hasrat bagi melahirkan golongan insan yang lebih bertanggungjawab, berdisiplin dan berdikari. Ini merupakan pandangan yang amat baik dan positif kerana ia bertujuan untuk memotivasikan diri agar sentiasa menjadi individu yang bertanggungjawab, cemerlang, dan berpandangan positif. Malah ajaran agama Islam turut menuntut semua umatnya agar sentiasa meningkatkan jati diri mereka untuk menjadi lebih baik dan lebih bertakwa. Firman Allah dalam al-Quran, surah Ali-Imran yang bermaksud “Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, walhal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu beriman”.
Namun, momentum motivasi akan terpadam dan seterusnya pudar menghilang atas pelbagai faktor yang diabaikan termasuklah faktor sokongan keluarga dan masyarakat. Malah, struktur dan kaedah pelaksanaan tatacara motivasi dilaksanakan turut mempengaruhi kesan dan tahap motivasi individu tersebut.
Bukan menjadi satu kesalahan kepada sesiapapun untuk aktif bergiat dalam industri program motivasi, sama ada sebagai penganjur, penceramah mahupun peserta. Permintaan yang tinggi terhadap pelbagai program berbentuk motivasi ini menunjukkan bahawa masyarakat amat menghargai proses pembangunan diri ke arah kebaikan. Permintaan yang tinggi ini juga menjadikan program dan latihan motivasi tumbuh sebaiknya selaras dengan permintaan ramai. Secara tidak langsung juga, lantunan program-program ini telah melonjakkan lagi kadar per kapita keluaran negara sebagai satu dari cabang yang berpotensi sumber pendapatan negara, selain daripada sumber komoditi berasaskan pertanian dan sebagainya.
Apakah sebenarnya motivasi? Ia ialah perkataan Inggeris, hasil gabungan dua perkataan iaitu motive dan action yang digabung untuk menjadi perkataan motivation ataupun juga motion. Ia lalu diterjemahkan sebagai sesuatu yang mendorong dan menggerakkan perilaku dan perbuatan seseorang individu bagi mencapai matlamat yang tertentu. Istilah motivasi juga menggambarkan mengapa seseorang individu itu melakukan sesuatu tindakan. Dalam erti kata yang lain, ia ialah penggerak di sebalik tindakan manusia. Justeru, motivasi sebenarnya satu proses penting dalam memulakan, membimbing, dan juga mengekalkan sesuatu tingkah laku bagi mencapai sesuatu matlamat yang diingini.
Sebenarnya motivasi adalah satu konstruk saintifik yang telah menjadi topik perbahasan para saintis dalam kluster biologi dan psikologi sejak sekian lama, sehinggalah yang terkini apabila sains telah menemui beberapa kaedah baru yang lebih moden untuk memahami perkara ini dalam perspektif neurosains. Memandangkan ia merupakan topik asas bidang sains perilaku, bermakna ia perlu difahami secara lebih objektif dan konstruktif, iaitu menurut kerangka saintifik, sama ada dari segi konsep mahupun aplikasi. Ini bagi mengelakkan risiko kemudaratan umum secara tidak sengaja dan tanpa disedari dari berlaku. Oleh yang demikian, untuk memahami motivasi sebagai platform mencetus perkembangan dan pembangunan diri serta pemulihan, maka ia perlu dilihat dari perspektif pendidikan, yang telah terbukti secara saintifik, kerana motivasi tidak pernah terpisah dari kerangka sains.
Namun, akibat daripada ketidakfahaman yang jelas dan kekeliruan terhadap konstruk ini telah menjadikan objektif pembangunan, perkembangan mahupun pemulihan diri individu dan masyarakat akhirnya berdepan dengan risiko kegagalan, kekecewaan, dan pelbagai malapetaka lain. Atas sebab itu, muncullah beberapa insiden penganjuran kem dan program motivasi yang hanya “indah khabar dari rupa,” mencemar maruah dan kehormatan diri peserta dan pelanggan, serta menyalahi undang-undang. Lebih parah lagi apabila objektif penganjuran program tersebut bukan sahaja tidak tercapai, malah mengakibatkan trauma emosi dan mental serta menjejaskan kesihatan mental pelanggan terbabit.
Dalam usaha untuk mengelakkan kekeliruan ilmiah dan menjejaskan etika profesion ahli motivasi, serta mengekang salah laku dalam penganjuran program dan kem motivasi, sekarang ialah masa yang amat sesuai untuk semua pihak dan agensi berkaitan mula berfikir untuk mengemukakan beberapa langkah bagi mengawal profesion ini. Berikut adalah di antara beberapa penelitian yang harus diberi perhatian dalam usaha tersebut:
- Pengamal motivasi perlu mempunyai kelayakan yang tertentu kerana tidak semua individu berkelayakan secara profesional untuk menjadi pengamal motivasi. Dalam aspek ini, graduan dengan kelulusan dalam bidang psikologi, kaunseling dan kesihatan mental serta perubatan dan pendidikan mempunyai kelebihan tersendiri kerana mereka telah memenuhi kriteria latihan tertentu;
- Menetapkan skop kerja perunding motivasi berdasarkan kepada bidang kepakaran mereka. Ini kerana teori dan aplikasi motivasi adalah unik dan tersendiri serta berbeza daripada program pemulihan, terapi dan rawatan; dan,
- Pengamal motivasi perlu dilesenkan secara bersesuaian kerana tuntutan etika dan moral serta spiritual.
Kesimpulannya, garis panduan berkaitan kelayakan dan perlaksanaan kem dan program tersebut perlu diwujudkan oleh pihak kerajaan. Ini bukan sahaja bagi mengiktiraf ahli profesional bidang ini, tetapi juga untuk mengawal sebarang perilaku yang bertentangan dengan undang-undang atau menyalahi etika serta moral para pengamal di samping menjamin hak, tanggungjawab dan keharmonian masyarakat.