Masyarakat Madani Bumi Kenyalang
Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan tahun ini berlangsung dengan tema “Perpaduan Teras Malaysia Madani.” Menyingkap kembali peristiwa hijrah dan sejarah Piagam Madinah, tema ini menjadi lambang ketamadunan apabila umat Islam dapat hidup dengan sejahtera dan penuh harmoni bersama masyarakat bukan Islam.
Perpaduan ialah asas kemajuan, bukan sahaja dari segi fizikal dan material tetapi juga dari sudut kekuatan kerohanian. Islam meraikan kepelbagaian sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat, ayat 13 yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).”
Di Malaysia, budaya masyarakat Sarawak boleh menjadi contoh perpaduan dan keharmonian yang diamalkan dalam suasana umat Islam minoriti. Konsep al-ta’ayush atau kewujudan bersama pada zaman Rasulullah SAW dizahirkan sebaiknya oleh masyarakat bumi Kenyalang yang terdiri daripada pelbagai suku bangsa dan anutan agama.
Atas prinsip saling menghormati dan kebebasan beragama, tiada agama rasmi di Sarawak, namun Islam tetap diterima sebagai agama rasmi Persekutuan Malaysia. Yang di-Pertuan Agong juga diiktiraf secara rasmi sebagai ketua Islam di Sarawak bagi urusan perundangan Islam.
Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) pula ditubuhkan di Sarawak pada tahun 2017. Unit ini memainkan peranan dalam pembentukan dasar, polisi dan perundangan berkaitan dengan keharmonian antara agama. Konsep UNIFOR ini menjadi contoh kepada negara luar apabila kerajaan New Zealand mengiktiraf UNIFOR sebagai model pengurusan agama Islam di negara tersebut. Seperti di Sarawak, umat Islam yang merupakan kelompok minoriti di New Zealand dilayan secara adil dan diiktiraf dari sudut pendidikan dan pembangunan sosial.
Sempena sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka bagi memperingati tarikh bersejarah 22 Julai 1963, satu daripada aktiviti yang dijalankan ialah Ijtimak Ilmuwan Islam Antarabangsa yang dianjurkan secara bersama antara Majlis Islam Sarawak, Insitut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan agensi-agensi kerajaan di Sarawak. Majlis ilmu sebegini menggambarkan bahawa kepimpinan di Sarawak ibarat kepimpinan era kegemilangan Islam, iaitu zaman umara (pemerintah) menghormati ulama (ilmuwan Islam).
Tohoh-tokoh ulama dalam kalangan Melayu Sarawak juga tidak kurang hebatnya seperti Syeikh Uthman Abdul Wahab, Datuk Hakim Imam Abang Haji Murshidi dan Datuk Haji Abdul Kadir bin Hassan. Malah jika ditelusuri sejarah pemerintahan Rajah Brooke, kemunculan tokoh ulama seperti Abang Haji Abdul Rahman bin Abang Haji Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Datuk Hakim Keramat telah banyak menyumbang ke arah mengukuhkan kedudukan agama Islam di Sarawak dan penubuhan institusi agama berkaitan yang masih wujud sehingga hari ini.
Sejauh mana perpaduan dan keharmonian di Sarawak menyumbang kepada kemajuan ekonomi negeri? Selepas enam dekad, Sarawak mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila data yang dikeluarkan oleh Bank Dunia pada 1 Julai yang lalu menunjukkan bahawa negeri Sarawak telah berjaya mencapai status negeri berpendapatan tinggi. Hal ini berdasarkan klasifikasi baharu Bank Dunia, iaitu Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita melebihi USD13,205 (sekitar RM61,608).
Walaupun Malaysia dijangka mampu menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2026 tetapi Sarawak berserta Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Labuan dan Kuala Lumpur telah mendahului negeri-negeri lain di Malaysia dalam mencapai status negeri berpendapatan tinggi. Sekiranya perpaduan ini berkekalan, tidak mustahil kestabilan ekonomi negeri akan memandu Sarawak untuk terus mencapai status negeri maju menjelang 2030.
Sejarah silam menjadi iktibar bahawa keruntuhan tamadun amat berkait dengan faktor seperti perubahan iklim dan pencemaran alam sekitar selain ketidaksamaan politik. Seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030, Sarawak memperkenalkan beberapa inisiatif seperti ekonomi digital, pembangunan hidrogen, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) dan perdagangan karbon.
Pencapaian ekonomi negeri disusun melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) yang menjurus kepada pembangunan teknologi, inovasi, ekonomi hijau dan biru serta pelbagai sektor ekonomi bagi meningkatkan taraf hidup anak Sarawak. Fasa pertama pelaksanaan PCSD 2030 tertumpu kepada pembangunan infrastruktur dan alam sekitar bagi memacu fasa kedua, iaitu pembangunan insan melalui bakat, kemahiran dan inovasi.
Dalam mengharungi cabaran era digital dan ekonomi semasa, perpaduan dan proses asimilasi budaya perlu terjalin dengan penuh harmoni. Cabaran kepada generasi Muslim akan datang ialah pengukuhan kefahaman Islam yang benar dan mengekalkan identiti mereka sebagai Muslim sejati.
Saudara baharu (mualaf) di Sarawak tidak terlepas daripada cabaran pasca hijrah. Mereka menghadapi isu menyesuaikan diri dengan identiti baharu, perkahwinan dan perceraian, pengurusan harta keluarga serta aktiviti ekonomi halal.
Pendidikan Islam adalah antara keutamaan yang perlu diberikan perhatian terutama kepada masyarakat Muslim di kawasan pedalaman. Walaupun wujud Urus Setia Saudara Kita (USK), namun masih banyak yang boleh dibantu terutama dari aspek kebajikan, kemahiran dan pengetahuan agama dalam kalangan anak-anak saudara baharu. Untuk memastikan mereka tidak ketinggalan, teknologi digital dapat membantu mempercepat proses pembelajaran ini.
Hijrah dan kota Madinah mengajar kita bahawa Islam ialah agama yang mengangkat martabat ummah berpaksikan tauhid tanpa mengetepikan kemajuan dan peradaban dunia. Proses urbanisasi seharusnya mendidik umat Islam untuk terus progresif dan berinovasi tanpa meminggirkan warisan tradisi.
Jelas keunikan Sarawak bukan sekadar seni dan tradisi mereka yang berwarna-warni, tetapi perpaduan kaum yang penuh harmoni. Perpaduan, semangat kemajuan dan keindahan bumi Kenyalang menjadi pemangkin ke arah Malaysia Madani dalam acuan masyarakatnya yang tersendiri.