Dimensi Islam Terhadap Keperluan Protein Alternatif
Saiz pasaran industri protein secara global telah mencatat nilai sebanyak USD 77.69 bilion pada 2022 dan dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan sebanyak 5.8% dari 2023 hingga 2030. Situasi ini telah menyebabkan kecenderungan untuk mendapatkan protein alternatif daripada pelbagai sumber seperti tumbuhan, serangga dan penapaian mikrob bagi memenuhi permintaan masyarakat dunia yang semakin meningkat.
Sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) untuk menangani kemiskinan, perubahan iklim dan kelestarian alam sekitar, protein alternatif memberikan variasi pilihan untuk pengguna memilih diet tanpa daging. Potensi berlakunya kekurangan makanan, cabaran untuk meningkatkan kesihatan manusia serta kebimbangan terhadap alam sekitar telah membawa kepada penemuan sumber makanan alternatif dan mampan untuk menampung populasi global yang semakin meningkat dan menua. Trend masyarakat pada hari ini menunjukkan kecenderungan untuk mengekalkan dan menambah baik kualiti kesihatan dan kesejahteraan. Justeru, sumber semula jadi, terutamanya tumbuhan sering kali digunakan dan dijadikan kajian dalam menghasilkan makanan dan produk farmaseutikal yang mempunyai manfaat pelbagai fungsi kepada tubuh badan. Selain itu, protein serangga juga digunakan dalam pelbagai aplikasi seperti sumber makanan, termasuk juga pengurusan sisa makanan dan pertanian.
Mungkin antara kita jarang mendengar tentang pengambilan serangga sebagai sumber makanan harian. Entomofagi atau pengambilan serangga masih asing bagi kebanyakan masyarakat Malaysia khususnya, namun di sesetengah tempat, ia menjadi juadah mengikut musim seperti belalang padi di kawasan Pantai Timur. Penggunaan dan pengambilan serangga di Asia telah dilaporkan di China, Jepun, Thailand dan Vietnam. Walau bagaimanapun, kurang pengambilannya dilaporkan di Malaysia dan Indonesia. Kejanggalan amalan pengambilan serangga sebagai diet harian mungkin disebabkan oleh faktor-faktor seperti di luar norma masyarakat, kurang pemahaman dan pengetahuan tradisional berkaitan entomofagi serta ketidakpastian dari sudut kehalalan dalam perundangan Islam.
Kajian sains menunjukkan bahawa serangga mempunyai pelbagai manfaat kesihatan disebabkan kehadiran sebatian bioaktif termasuk peptides, chitin, chitosan, fenolik dan asid lemak. Di samping itu, kesan terapeutik yang terdapat pada serangga seperti antihipertensi, antiradang, antimikrob dan antioksidan telah menjadi tumpuan dan dijadikan bahan dalam farmaseutikal dan makanan. Ia juga dikatakan dapat dijadikan sumber protein alternatif kerana mempunyai kandungan protein yang lebih tinggi daripada sumber sedia ada, juga tinggi kandungan zat besi dan vitamin B seperti tiamina, riboflavin dan niasin.
Walaupun penggunaan serangga untuk kesejahteraan fisiologi badan masih terhad di Malaysia, amat penting untuk mengkaji dan membincangkan penggunaan serangga sebagai ubat dan makanan dari pelbagai sudut yang mungkin akan menjadi petunjuk dalam penemuan ubat pada masa hadapan. Sudah pasti lebih banyak kajian terhadap metabolit dan sebatian bioaktif yang memberikan fungsi terapeutik dalam serangga perlu dilaksanakan.
Keunikan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa, etnik dan agama akan menimbulkan kerencaman dalam sudut pengamalan entomofagi dalam kehidupan seharian. Hal ini juga sudah pasti akan menimbulkan keraguan bagi umat Islam sekiranya amalan pemakanan serangga menjadi satu kebiasaan dalam masyarakat pada masa hadapan. Dalam isu ini, hukum memakan beberapa jenis serangga telah dibicarakan dan difatwakan oleh beberapa Jabatan Mufti Negeri dan Majlis Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan. Contohnya hukum memakan belalang, kumbang mekah, ulat sagu dan hukum bahan pewarna cochineal (Dactylopius coccus) iaitu sejenis serangga teritip.
Walaupun dihadkan penggunaan serangga tertentu untuk orang Islam berdasarkan nas al-Quran dan hadis serta pendapat ulama muktabar, namun umat Islam perlu membuka mata terhadap trend entomofagi dalam realiti dunia pada hari ini. Perkembangan teknologi makanan telah beralih kepada inovasi makanan untuk memenuhi keperluan pemakanan manusia. Penerokaan dan pertumbuhan industri makanan baharu di Malaysia yang berteraskan serangga dan penternakan serangga besar-besaran untuk dijadikan makanan manusia akan membuka segala perdebatan dari sudut garis panduan etika, kawal selia perundangan, kehalalan dan juga kesedaran awam. Mungkin tidak lama lagi akan wujud di pasaran produk yang amat dekat dengan masyarakat seperti roti, biskut, kekacang, granola dan pelbagai jenis makanan sedia dimakan yang berteraskan serangga. Di Malaysia, produk makanan berasaskan serangga telah diinovasikan dengan penciptaan burger patty daging lembu yang terdiri daripada 30 peratus bahannya ialah larva lalat askar hitam (Black Soldier Flies- BSF) bagi tujuan memperkayakan protein. Penternakan BSF merupakan salah satu kaedah pengurusan sisa yang memberi impak positif kepada alam sekitar dan menjadi sumber protein mampan untuk haiwan dan manusia. Inovasi ini tidak dapat dinafikan dan akan terus berkembang seterusnya menjadi satu cabaran dalam dunia makanan halal khususnya bagi umat Islam.
Melihat kepada manfaat kesejahteraan manusia dalam konteks bekalan nutrien yang berkhasiat dan kurang impak kepada alam sekitar, adakah mungkin pada masa akan datang, pemakanan serangga menjadi satu keperluan kepada manusia? Atau ia sekadar alternatif yang masih boleh digantikan dengan sumber protein lain yang tidak menimbulkan kejijikan masyarakat secara tradisi, budaya atau agama? Namun, dalam hal ini perlu kajian menyeluruh melihat kelompangan pengetahuan sedia ada supaya dapat menyediakan ruang kepada ulama dan saintis membincangkan keperluan entomofagi serta menghalusi hukum untuk kemaslahatan umat Islam khususnya. Perkembangan dalam pemakanan serangga pada masa hadapan membuka kepada ruang penyelidikan yang lebih hebat dalam industri makanan halal umat Islam. Justeru pemain industri dan penyelidik sektor makanan halal perlu memainkan peranan yang menyeluruh dengan melaksanakan kajian mengikut etika dan lunas Islam dalam memenuhi permintaan pasaran entomofagi secara global. Ia juga membuka ruang agar badan pensijilan halal lebih proaktif untuk menetap dan mengawal atur perundangan berkaitan makanan berasaskan serangga serta keselamatannya bagi menjamin kesihatan manusia sejagat terpelihara.