Perutusan Sambutan Hari Kebangsaan ke 66 oleh YBhg. Prof’ Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty, Pengerusi IKIM
PERUTUSAN SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN KE 66 OLEH
YBHG. PROF’ DATO’ DR. MUHAMMAD NUR MANUTY, PENGERUSI IKIM
BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIM
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Kemerdekaan.
1. Alhamdulillah, Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah SWT di atas kurnia dan InayahNya dapat kita bersama-sama menyambut hari kemerdekaan negara yang ke 66 dengan semangat Malaysia Madani.
2. Pada tanggal 31 Ogos setiap tahun, Malaysia akan menyambut hari kemerdekaan negara yang tercinta ini. Tarikh keramat ini sesungguhnya bukan sekadar untuk dingati dan diraikan, tetapi perlu dihayati secara mendalam agar kita semua dapat mengalirkan rasa syukur kepadaNya di atas kurniaan nikmat ketenteraman, keamanan dan kesejahteraan yang Allah kurniakan kepada kita semua.
3. Bersempena dengan sambutan hari Kemerdekaan Negara yang ke 66 ini, saya ingin mengambil kesempatan dan peluang, untuk berpesan kepada diri saya, juga kepada seluruh warga Institut Kefahaman Islam Malaysia IKIM (IKIM) supaya kita semua sentiasa istiqamah dalam mengekalkan semangat persaudaraan, ukhwah dan saling menghormati sesama kita.
4. Ini amatlah penting, kerana berada dalam sebuah negara yang aman dan sentosa akan menatijahkan kebaikan dalam segala aspek kehidupan. Sebuah negara yang Sejahtera dan harmoni pastinya akan melahirkan masyarakat yang cemerlang dan berdaya saing. Firman Allah SWT dalam al Quran melalui surah Surat An-Naml Ayat 89 yang bermaksud “Sesiapa yang datang membawa amal kebajikan (yang telah dikerjakannya) maka ia akan beroleh balasan yang lebih baik daripadanya, dan mereka akan beroleh aman sentosa daripada kejadian-kejadian yang mengerikan pada hari kiamat itu”.
5. Marilah kita semua memahami makna kemerdekaan dalam konteks yang lebih luas, ini adalah penting bagi kita untuk menterjemahkan sebuah nilai kebebasan yang bukan hanya bebas dari cengkaman oleh sebuah penjajahan secara fizikal, namun harus difahami dalam ruang lingkup yang cukup luas, supaya dengannya kita menjadi insan kamil yang memahami peranan kita sebagai hamba di bumi milik Allah SWT.
6. Dengan nilai jati tinggi yang tinggi, akhlak yang mulia, adab yang luhur dan budi pekerti yang mulia, adalah nilai penting untuk terus dikekalkan kerana nilai-nilai yang dituntut oleh syariat Islam ini akan ‘membebaskan’ diri kita dari segala perbuatan keji dan mungkar yang dilaknat Allah SWT.
7. Sesungguhnya nilai luhur sebuah kemerdekaan inilah akhirnya, yang berjaya memupuk peribadi mulia diri kita sama ada sebagai seorang individu atau sebagai ahli Masyarakat. Aspek-aspek ini akan mendorong kita untuk membina perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum, bangsa dan agama, selain integrasi nasional silang budaya merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
8. Kita juga harus sentiasa memupuk rasa cinta kepada negara, kerana dengan nilai patriotisme inilah yang membolehkan kita terus bekerjasama dan bersatu padu dalam mempertahankan nilai-nilai kedamaian, keamanan dan kemerdekaan bagi membangun dan menjaga kedaulatan kita.
9. Dengan tema sambutan hari Kemerdekaan tahun ini iaitu “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan” pastinya menjadi panduan penting buat kita untuk terus memasakkan semangat kecintaan yang tinggi kepada negara dengan cara memupuk semangat Muhibbah, mengekalkan perpaduan bersatu padu membina sebuah negara yang berprogresif, menjunjung Perlembagaan Persekutuan sebagai dokumen tertinggi negara dalam mendokong gagasan sebuah negara MADANI .
Sekian,
WABILLAHI TAUFIK WAL HIDAYAH ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH
Unit Perhubungan Korporat IKIM
31 Ogos 2023.