Menyingkap Khazanah Tamadun Islam Perpustakaan Tun Ahmad Sarji
Pada tiga dekad yang lepas (tahun 1992), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) ditubuhkan dengan tujuan untuk memberi kefahaman Islam yang tepat kepada masyarakat awam melalui program dan aktiviti-aktiviti akademik mahupun separa akademik. Sejak tiga dasawarsa yang lalu IKIM telah menjalankan pelbagai penyelidikan dan perundingan; penganjuran bengkel latihan atau kursus; muzakarah pakar; persidangan, seminar sama ada di peringkat kebangsaan ataupun antarabangsa. Sehubungan dengan fungsi tersebut IKIM turut menerbitkan buku, jurnal dan majalah.
Kewujudan Radio IKIM pada tahun 2001 pula menyemarakkan lagi peranan institusi yang pada hari ini boleh dicapai di mana sahaja kita berada. Dan kemudiannya IKIM telah melebarkan sayap dengan mewujudkan tvIKIM yang berkonsepkan internet TV (live streaming). Kedua-dua media ini sudah tentu menjalankan fungsi masing-masing sebagai medium penyampaian yang menyokong program dan aktiviti IKIM.
Walaupun demikian, di sebalik kecekapan dan keberkesanan IKIM menjalankan peranannya terdapat satu bahagian di IKIM yang menjadi tulang belakang agar institusi ini terus beroperasi dengan cemerlang, iaitu Perpustakaan IKIM. Perpustakaan IKIM telah diwujudkan pada tahun yang sama dengan permulaan operasi IKIM. Pada permulaan IKIM tertubuh, perpustakaan ini hanya memiliki atau menyimpan 600 naskhah buku sahaja. Selaras dengan pembangunan yang IKIM alami, pada bulan Disember 2022 Perpustakaan IKIM telah memperoleh dan menyimpan lebih daripada 40,000 naskhah koleksi buku, jurnal, artikel akhbar, kertas seminar dan sebagainya.
Sehubungan dengan perkara ini, bagi menghargai jasa-jasa Almarhum Tun Ahmad Sarji bin Abdul Hamid, Pengerusi IKIM yang pertama dan ketiga, sementara YAB Tun Abdullah bin Ahmad Badawi merupakan Pengerusi IKIM kedua—Perpustakaan IKIM secara rasminya diberi nama baharu sebagai Perpustakaan Tun Ahmad Sarji (PTAS).
Setiap perpustakaan sudah pasti mempunyai identiti, daya tarikan dan keistimewaan yang tersendiri. Begitulah juga PTAS yang fungsinya amat penting dalam menyokong peranan IKIM sebagai institusi penyelidikan dan medium berprestij dengan kegiatan-kegiatan tersebut. Sebagai institusi yang bersifat Islamik, sudah tentu bahan-bahan bacaan PTAS lebih menumpu pada naskhah-naskhah yang memberi input Islam, walaupun tidak dinafikan terdapat juga naskhah-naskhah yang mewakili dunia kontemporari.
Keistimewaan PTAS sebenarnya, dan ia amat kurang diketahui oleh orang luar, ialah Koleksi Khas Tamadun Islam (KTI). KTI IKIM ialah kumpulan bahan dalam bidang tamadun Islam bersifat pelbagai bahasa yang meliputi subjek kesenian, sejarah, bahasa dan sastera, kajian daerah, kajian perbandingan serta kajian masyarakat, dan terdiri daripada bahan nadir dan bukan nadir.
Menurut dasar KTI IKIM, yang mungkin mempunyai persamaan dengan perpustakaan yang lain, bahan nadir ialah bahan-bahan yang ditulis dan diterbitkan sebelum atau pada tahun 1950; buku-buku yang mengandungi perkara-perkara tambahan yang sangat berharga seperti tandatangan atau catatan bertulisan tangan pengarang asal atau tokoh terkenal dan lain-lain; atau/dan buku-buku yang sukar diperoleh, terbitan habis cetak atau tiada lagi dalam pasaran.
Pada tahun 2008, IKIM memperoleh satu koleksi khas berkaitan tamadun Islam berjumlah 8064 naskhah yang mengandungi naskhah buku dan jurnal dalam pelbagai bidang peradaban Islam termasuklah karya nadir abad ke-17, ke-18, ke-19 dan separuh abad ke-20. Karya-karya ini terdapat dalam 20 buah bahasa termasuk bahasa Arab, Turki, Parsi, India, Afrika Utara dan Sepanyol. Keluasan rangkuman koleksi ini terzahir pada wujudnya karya-karya penting yang banyak, melalui berbagai-bagai bahasa sebagai bahasa perantara yang menceritakan dan membincangkan pelbagai bidang, dari bidang seni bina hingga bidang seni hiasan.
KTI IKIM juga turut merangkumi karya-karya yang kurang dikenali seperti tentang persenjataan serta perisai, tekstil, seramik, aktiviti melibatkan kaca, pertukangan logam dan aktiviti-aktiviti seni yang mempunyai ciri-ciri yang Islamik. Aktiviti-aktiviti ini ditulis serta dirakam dalam naskhah KTI IKIM yang merujuk pelbagai daerah dan penempatan kawasan orang-orang Islam di Semenanjung Arab, Turki, Parsi, Afrika Utara, Afrika, sub-Sahara Sepanyol, Sub-Benua India, Asia Tengah dan Kepulauan Melayu.
Buku-buku yang jarang ditemui, bersifat ilmiah dan antik yang diterbitkan dari abad ke-17 hingga ke-19 merupakan koleksi peribadi ahli akademik dan penggemar tamadun Islam di Barat, iaitu Profesor Emeritus Dr. Maan Z. Madina (1927-2013) dari Universiti Colombia; Profesor Dr. Marilyn Jenkins-Madina dari Jabatan Seni Islam di Muzium Seni Metropolitan, dan Profesor Emeritus Dr. Jerome W. Clinton (1937-2003) dari Universiti Princeton.
Memperuntukkan KTI di dalam PTAS IKIM sebenarnya adalah sebahagian daripada pelaksanaan (tanggungjawab) fardu kifayah kerana keberadaan khazanah berharga ini dapat dikongsi dengan masyarakat awam. Tamadun Islam merupakan pembangunan atau kemajuan pesat satu-satu kelompok manusia yang bukan atas nama satu-satu bangsa atau budaya bangsa tertentu. Sebagai lanjutan, ia merupakan peradaban yang bersumberkan al-Quran dan Hadis, yang dinaungi oleh kebijaksanaan pemerintah Islam dan diperindah oleh budaya setempat. Tamadun atau peradaban itu sebenarnya menggambarkan jati diri manusia seterusnya sesuatu bangsa. Maka tamadun Islam merupakan metafora kepada jati diri umat Islam itu sendiri yang berada dalam budaya masing-masing serta mempunyai keindahan dan keistimewaan tersendiri.
Dalam perbincangan tamadun, sudah tentu ia amat sinonim untuk membicarakan tentang latar belakang dan sejarah kelompok manusia, sesuatu bangsa dan negara. Sehubungan dengan hal ini, kita mungkin sedang turut bersedih dengan pergolakan yang sedang berlaku di Gaza, Palestin pada ketika ini oleh sebab majoriti rakyat Palestin yang dizalimi oleh tentera Zionis ialah orang-orang Islam. Orang-orang Islam merupakan saudara seagama kerana kita memiliki tauhid yang sama. Pada ketika ini juga kita turut dihujani dengan pelbagai informasi yang berkaitan dengan kemelut ini termasuklah dari aspek sejarahnya. Untuk hal ini KTI IKIM telah pun menunggu agar sejarah dan tamadun Palestin (juga tamadun-tamadun Islam lain) ditelusuri dengan telus melalui perpustakaan atau pusat sumber seperti PTAS IKIM.