Elakkan Si Manja Menjadi Pencetus Sengketa
Kita lazim mendengar bahawa kucing merupakan binatang kesayangan Baginda Rasulullah SAW. Walaupun demikian hakikatnya tidak ada sebarang riwayat yang sahih yang membuktikan bahawa Baginda SAW memelihara kucing tertentu dengan nama yang khusus. Perkara ini berbeza dengan seorang sahabat Baginda bernama Abdul Rahman ibn Sahr yang amat sinonim dengan kucing sehinggakan diberi “kuniyah” (gelaran) sebagai Abu Hurairah yang bermaksud “Bapa Kucing”. Beliau gemar membawa anak kucing yang dipeliharanya ke mana-mana beliau berjalan dan bermain-main dengan anak kucing peliharaannya itu.
Kucing merupakan binatang yang suka bermain-main, dimanja serta mesra. Sifat semula jadi yang dimiliki haiwan ini menjadikannya sebagai binatang kesayangan dan hiburan untuk kalangan pencintanya. Oleh yang demikian memelihara kucing sebagai binatang peliharaan sudah menjadi lumrah dalam kehidupan manusia. Bahkan sesetengah orang memelihara kucing sebagai terapi yang bertujuan menghilangkan rasa sunyi atau mengurangkan tekanan yang dialami selain membantu dalam meningkatkan kesihatan mental individu.
Hukum memelihara kucing adalah harus dengan menjadikan satu kaedah fiqah yang masyhur sebagai sandaran hukum iaitu yang bermaksud, “Asal setiap sesuatu itu adalah harus.” Dalam konteks perbincangan tentang kucing ini, tidak terdapat sebarang nas atau dalil daripada syarak sama ada menyuruh atau menggalakkan seseorang itu membelanya, dan pada masa yang sama tidak ada juga sebarang larangan syarak bagi mengelak atau mencegah daripada memeliharanya.
Menjadi lebih mudah dalam pemeliharaan kucing sebagai binatang kesayangan kerana statusnya yang suci menurut fiqah. Sayidatina Aisyah R.Anha pernah menyebutkan bahawa, “Sesungguhnya kucing itu tidak najis kerana kucing itu hanyalah antara binatang peliharaan yang mengelilingmu. Sungguh aku telah melihat Rasulullah SAW berwuduk dengan sisa air yang telah diminum kucing.”
Dalam sebuah Hadis sahih (muttafaq ‘alaih) setiap individu itu merupakan pemimpin penjaga terhadap perkara yang berada di bawah jagaannya. Maka dalam konteks tajuk ini apabila seseorang itu memelihara kucing, pemelihara mestilah bertanggungjawab terhadap kebajikan haiwan tersebut bagi memastikan ia sihat, bersih dan ceria. Merujuk Dasar Keselamatan Negara 2021-2025 di bawah Nilai Teras Keselamatan Negara 8, sekurang-kurangnya terdapat empat perkara yang perlu dititikberatkan oleh pemelihara atau penjaga haiwan iaitu pertama: berpengetahuan mengenai haiwan berkenaan, kedua: penjagaan kesihatan secara rutin, ketiga: penjagaan pemakanan (termasuk keperluan makanan tambahan), dan keempat: persekitaran bersih dan kondusif.
Perkara keempat amat relevan dalam perbincangan ini yang menitikberatkan aspek kebersihan binatang yang dipelihara; pembuangan najisnya haruslah dipantau termasuklah tempat ia membuang najis; selain penyediaan fasiliti untuk ia bermain dan berehat; serta melindungi haiwan tersebut daripada tumbuh-tumbuhan bertoksik atau boleh memberi kemudaratan kepadanya, dan mengancam nyawanya.
Sekiranya perkara keempat ini diberi penekanan oleh individu yang memelihara kucing sebagai haiwan kesayangan mereka, secara tidak langsung kucing yang dipelihara tentu tidak akan mengganggu ketenteraman jiran-jiran yang lain. Tidak timbullah kucing peliharaan membuat onar seperti membuang najis dalam perkarangan rumah atau di dalam rumah jiran. Tidak timbul juga kucing yang dipelihara merosakkan harta benda milik jiran yang perkara-perkara seumpama ini boleh mencetuskan persengketaan sesama jiran-tetangga. Ataupun mencemar kemudahan guna sama bagi yang tinggal di kediaman bertaraf hak milik strata.
Mungkin ramai yang tidak maklum bahawa sekiranya haiwan peliharaan termasuk kucing secara tiba-tiba menyerang jiran atau mana-mana orang, pemilik haiwan boleh didakwa di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga enam bulan; denda sehingga RM2000.00; atau kedua-duanya sekali. Sementara binatang peliharaan yang membuang najis secara merata-rata, denda maksimum sehingga RM1000.00 boleh dikenakan terhadap pemiliknya berdasarkan Seksyen 80 dan 81 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) kerana perkara ini boleh dianggap sebagai “kacau ganggu.”
Hal yang demikian disebabkan terdapat perkara yang disebut sebagai “tanggungjawab untuk menjaga” (duty of care). Prinsip ini meletakkan pertanggungjawaban kepada mereka yang mempunyai tanggungjawab terhadap orang/pihak/entiti yang berada di bawah jagaannya. Termasuklah seseorang yang menjadi pemilik haiwan peliharaan. Hal ini bermaksud seseorang yang mempunyai tanggungjawab tersebut perlu mematuhi standard tingkah laku yang wajar. Apabila berlaku kegagalan oleh pemilik binatang untuk membuat langkah-langkah pencegahan terhadap binatang peliharaannya, maka prinsip “tanggungjawab untuk menjaga” boleh diguna pakai. Jika kita perhatikan prinsip ini, ia amat selari dengan tujuan maksud Hadis sebelum ini bahawa setiap individu itu merupakan penjaga terhadap perkara yang berada di bawah jagaannya, dan akan ditanya tentang amanah yang ditanggungnya.
Sebelum manusia menggubal undang-undang bagi memastikan masyarakat dapat hidup aman dan tenteram, Allah SWT telah berfirman dalam Surah an-Nisaa’ ayat 36, yang bermaksud, “…Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar serta hamba yang kamu miliki…..”
Maksud kalam Allah SWT tersebut selaras dengan larangan daripada melakukan kacau ganggu terhadap jiran-tetangga melalui sebuah Hadis yang bermaksud, “Tidak akan masuk syurga, orang yang membuat jirannya tidak merasa aman daripada gangguannya.” (Riwayat Muslim).
Sebagai rumusan kepada perbincangan ini, pemilik binatang peliharaan perlulah mempunyai rasa tanggungjawab untuk memelihara ketenteraman awam. Bukan kerana peringatan tentang hukuman yang termaktub dalam perundangan, tetapi lebih kepada penghayatan hidup beragama kerana agama Islam telah meletakkan kedudukan yang istimewa dalam hubungan kejiranan. Dalam hal ini sesiapa sahaja memahami bahawa hubungan yang baik sesama jiran-tetangga akan melahirkan suasana hidup bersama yang tenteram.