Kanak-Kanak dan Derita Perang
“Wahai dunia, tanah airku hangus terbakar, kebebasan tanah airku dirampas. Langit kami bermimpi, bertanya kepada hari, di manakah matahari nan indah, di manakah kipasan sayap merpati. Tanah airku kecil, sekerdil tubuhku. Berilah kami kedamaian, kembalikanlah zaman keriangan kanak-kanak kami….” Rintihan Remi Bandali, kanak-kanak Lubnan yang berusia enam tahun sekitar 1984 melalui lagu berjudul “A’atuna al-Toufoule” kembali menarik perhatian dunia apabila tercetusnya Taufan al-Aqsa pada 7 Oktober lalu. Setelah berlalunya dua bulan, harapan untuk berakhirnya serangan ganas Israel masih belum terlihat bibitnya.
Saban hari dan waktu, perkembangan bukan sahaja di Gaza tetapi juga kota yang sarat dihuni warga Palestin di Tebing Barat yang menjadi sasaran kezaliman dan keganasan Israel diikuti penduduk dunia. Di Gaza sahaja, sebagaimana dilaporkan media, dari utara ke selatan tiada lagi tempat yang selamat buat warganya. Seperkara yang amat jelas sepanjang Taufan al-Aqsa, kuasa dan pengaruh media sosial yang berjaya membongkar pembohongan, kerakusan dan keganasan tidak terperi Israel selama ini. Oleh yang demikian, tidak hairanlah masyarakat dunia tanpa mengira agama, kaum dan bangsa mengadakan bantahan secara besar-besaran sama ada melalui perhimpunan dan perarakan mahupun juga boikot syarikat atau barangan yang jelas menyumbang kepada ekonomi Israel. Di samping itu, terdapat aktivis Yahudi sendiri misalnya daripada organisasi “If Not Now” yang menzahirkan solidariti bersama rakyat Palestin pada 13 Disember lalu. Mereka menutup laluan 110 Freeway, iaitu lebuhraya yang sangat sibuk di pusat bandar Los Angeles pada waktu puncak dengan menggesa Israel menghentikan operasi ketenteraan di Gaza. Memetik kata Mike Bardwel pengguna Tik Tok warga Amerika, rakyat Palestin telah melakukan revolusi bukan sahaja terhadap negara dan warganya tetapi juga dunia. Seluruh warga Amerika dan dunia, tegas Mike terhutang budi kepada rakyat Palestin kerana merekalah hakikatnya yang berjuang untuk memperoleh kebebasan diri. Namun harga yang dibayar begitu mahal dan melibatkan pengorbanan tidak ternilai.
Serangan dan kempen genosid Israel atas Gaza yang memasuki hari ke-74 pada 19 Disember lalu menyaksikan pertambahan jumlah kanak-kanak yang menjadi korban, iaitu sekitar 10,305 orang. Sebagaimana dilaporkan Euro-Med Human Rights Monitor, pada hari ke-49 sahaja, sejumlah 500,000 kanak-kanak menerima kesan langsung serangan ganas berkenaan. Hal ini dapat dilihat melalui statistik yang berikut, iaitu 16,200 orang cedera, 19,500 orang menjadi yatim dan 460,000 orang kanak-kanak kehilangan tempat tinggal. Genosid yang berterusan dilakukan Zionis Israel jelas meningkatkan jumlah yang sudah sedia besar itu. Rumusan ringkas yang dibuat UNICEF bahawa Gaza kini menjadi kubur kanak-kanak adalah amat tepat. Joanna Santa Barbara dalam artikelnya bertajuk, “Impact of War on Children and Imperative to End War” menyebut bahawa peperangan memberikan kesan secara langsung kepada kanak-kanak seperti kematian, kecederaan, kehilangan upaya, penyakit, penderitaan psikologi, kesan spiritual dan moral serta kehilangan rangkaian sosial dan budaya.
Penjelasan Joanna jelas terzahir melalui situasi menyedihkan yang menyelubungi Palestin, khususnya Gaza kini. Nyawa kanak-kanak tiada nilai sama sekali. Hal ini tidak menghairankan jika dirujuk hantaran pejabat Benjamin Netanyahu melalui aplikasi X bahawa konflik antara Israel dengan Hamas merupakan perjuangan antara anak-anak “kebenaran” (cahaya) dengan anak-anak “kesesatan” (kegelapan). Selain korban nyawa, kanak-kanak Palestin juga mengalami pelbagai bentuk kecederaan. Hal ini khususnya melalui penggunaan senjata pembakar yang dilarang oleh Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa seperti forforus putih. Larangan ini terkandung dalam Protocol III of the Convention on Certain Conventional Weapons, iaitu satu-satunya undang-undang antarabangsa yang digubal khusus untuk mengawal penggunaan senjata pembakar. Fosforus putih menyebabkan luka terbakar yang teruk dan dalam kebanyakan situasi, sehingga ke tulang. Luka tersebut juga lambat sembuh dan berkemungkinan menyebabkan berlakunya jangkitan. Jika keseluruhan serpihan fosforus putih tidak dikeluarkan, ia berkemungkinan menyebabkan luka menjadi teruk selepas rawatan di samping menyala semula apabila terdedah kepada oksigen. Fosforus putih yang terbakar pada hanya sepuluh peratus tubuh manusia lazimnya membawa maut.
Kecederaan parah yang menimpa penduduk Palestin khususnya kanak-kanak akibat penggunaan senjata ini dan selainnya begitu menyayat hati. Sebagai contoh, Melissa Joudah yang masih bayi, mengalami keretakan tulang belakang dan menyebabkan kelumpuhan dari bahagian dada hingga bawah tubuh. Pada masa yang sama, anak kecil itu kehilangan seramai 60 orang anggota keluarganya. Begitu juga dengan Alaa yang berusia 7 tahun dan Ahmet, 4 tahun. Alaa kehilangan tangan kiri dan mengalami pelbagai kecederaan lain. Alaa mengalami semua kecederaan ini dalam dua kali serangan; pertama atas kediaman keluarganya di utara Gaza dan kali kedua ketika berada di kem Al-Nuseirat. Sementara itu, Ahmed kudung kedua-dua kakinya dan kehilangan kedua-dua ibu bapanya. Kisah pilu Melissa, Alaa dan Ahmed mewakili puluhan ribu kanak-kanak Palestin dan di seluruh dunia akibat peperangan dan konflik. Kecederaan yang dialami kanak-kanak juga dalam kebanyakan situasi menyebabkan mereka kehilangan upaya disebabkan kehilangan anggota atau faktor yang lain. Seperkara yang menyedihkan ialah, dalam situasi normal, apabila berlaku sesuatu kemalangan, rawatan pemulihan segera diberikan. Namun bagi kanak-kanak Palestin atau di negara yang dilanda konflik, rawatan pemulihan amat sukar dijalankan atau mustahil sama sekali.
Sebagaimana dilaporkan UNICEF, kebinasaan besar-besaran yang dilakukan Israel atas Gaza dan kawasan lain turut menyebabkan kanak-kanak terdedah kepada penyakit. Hal ini disebabkan sumber asas bagi menjamin kesihatan kanak-kanak seperti nutrisi, keselamatan air, kediaman, akses kepada kesihatan berkurangan atau hilang sama sekali apabila tercetusnya peperangan. Terkini, nyawa kanak-kanak Palestin terus terancam disebabkan kebuluran yang mencengkam kehidupan seharian. Selain kesihatan fizikal yang terjejas teruk, kanak-kanak juga terdedah pada krisis kesihatan mental. Save the Children, NGO kemanusiaan yang memberikan tumpuan khusus pada kanak-kanak, menegaskan dalam laporan pada Jun 2022 bahawa kesihatan mental kanak-kanak Gaza sudah mencapai tahap kritikal. Hak kehidupan dan kebebasan kanak-kanak di Gaza sudah dirampas malah sebaliknya diselubungi keganasan sejak sekatan darat, udara dan laut dikenakan pada 2007. Serangan atas Gaza baru-baru ini memburukkan lagi tahap kesihatan mental kanak-kanak dan mereka dilaporkan menghadapi pelbagai gejala trauma. Ia termasuklah kebimbangan dan ketakutan, mimpi ngeri, insomnia dan pemencilan diri.
Demi keselamatan dan masa hadapan kanak-kanak khususnya di Palestin, keangkuhan Israel dan teman tidur sebantalnya, Amerika Syarikat, mesti dileburkan. Sudah tiba masanya kekebalan yang dipamerkan mereka terhadap apa juga mekanisme perundangan, resolusi mahupun tekanan antarabangsa dihancurluluhkan. Malaysia yang sejak sekian lama menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Palestin boleh mengambil pendekatan diplomasi keagamaan. Pendekatan ini perlu digerakkan secara kolektif dengan melibatkan agensi kerajaan, organisasi masyarakat sivil (CSO) dan semua pihak berkepentingan bagi merealisasikan matlamat pembebasan Palestin. Hakikatnya, telah banyak contoh di beberapa buah negara yang menunjukkan bagaimana agama memainkan peranan besar dalam penyelesaian konflik. Sebagai contoh, peranan gereja dalam menjamin transisi secara aman daripada komunisme di Jerman Timur, gereja Katolik untuk menjatuhkan rejim Marcos di Filipina dan juga gereja di Afrika Selatan untuk menamatkan rejim aparteid. Barangkali tempoh yang diambil untuk mencapai matlamat pembebasan dan kemerdekaan Palestin berasaskan pendekatan ini begitu panjang. Namun natijahnya antara lain dapat menamatkan penderitaan dan sekali gus menjamin kebebasan hakiki dan kehidupan yang aman bahagia terutama bagi kanak-kanak. Dari sungai ke segara, Palestin pasti merdeka!