Khidmat Runding Cara Keluarga Dan Manfaatnya Untuk Ummah
Khidmat runding cara keluarga adalah salah satu perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) untuk umat Islam. Perkhidmatan ini ditawarkan melalui Unit Runding Cara yang menguruskan aduan rumahtangga dan kekeluargaan yang melibatkan isu pernikahan, perceraian, rujuk dan pelbagai aduan mengenai krisis rumahtangga. Dalam kata-kata lain, sekiranya kita mengalami konflik rumahtangga dan tiada tempat untuk dituju bagi membantu kita keluar daripada permasalahan itu, kita boleh merujuk kepada Unit Runding Cara Keluarga untuk mendapatkan pandangan dan nasihat.
Untuk melihat sejauhmana masyarakat Islam memanfaatkan perkhidmatan ini, penulis telah mendapatkan data runding cara keluarga daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dari tahun 2018-2022. Terima kasih kepada Pengarah JAWI, YBhg. Datuk Mohd. Ajib bin Ismail, atas perkongsian ini. Data-data ini akan menunjukkan kepentingan perkhidmatan ini kepada ummah. Melaluinya juga kita dapat mengenali dengan lebih dekat lagi profil pengadu/klien perkhidmatan ini serta punca-punca mereka membuat aduan.
Dari segi bilangan aduan, antara 2018-2022 terdapat 38,449 aduan (kes) yang memerlukan khidmat runding cara dari JAWI. Secara puratanya, Unit Runding Cara JAWI ini menyantuni lebih kurang 7,690 aduan setahun.
Angka ini menunjukkan bahawa perkhidmatan runding cara ini mempunyai pengadu/klien yang ramai dan ini membuktikan bahawa perkhidmatan ini amat diperlukan oleh masyarakat Islam di Kuala Lumpur. Dengan adanya perkhidmatan ini, ia memberi peluang kepada masyarakat Islam, untuk mendapatkan bantuan dalam menyelesaikan kekusutan yang berlaku dalam keluarga mereka.
Siapakah agaknya yang memanfaatkan perkhidmatan runding cara keluarga di JAWI ini? Data lima tahun yang dirujuk menunjukkan bahawa dari segi jantina, kedua-dua lelaki dan perempuan ada yang pergi untuk mendapatkan perkhidmatan ini. Namun, orang perempuan lebih ramai yang mengambil inisiatif untuk mendapatkan khidmat runding cara ini berbanding lelaki.
Dari segi pendapatan, perkhidmatan ini dirujuk oleh pelbagai lapisan masyarakat, dari yang berpendapatan kurang dari RM2,000 sebulan hinggalah oleh mereka yang berpendapatan lebih dari RM10,000 sebulan. Namun, majoriti pengadu adalah mereka yang berpendapatan kurang dari RM2,000 sebulan (65.8%). Ini mungkin ada kaitannya dengan hakikat bahawa perkhidmatan ini adalah percuma. Maka, ia menjadi satu-satunya tempat untuk golongan yang berpendapatan rendah mendapatkan nasihat dan pandangan berkaitan konflik keluarga yang dihadapi.
Dari segi umur, data menunjukkan bahawa perkhidmatan runding cara keluarga ini dimanfaatkan oleh semua peringkat umur, dari 17 tahun hingga 71 tahun ke atas. Namun, majoriti pengadu adalah dalam kalangan mereka yang berusia antara 31-40 tahun (49.2%).
Melihat kepada taraf pendidikan, data menunjukkan bahawa perkhidmatan ini dirujuk oleh mereka dari pelbagai latarbelakang pendidikan – sekolah pondok; sekolah rendah; SRP/PMR; SPM/SPVM atau setaraf; STPM; Sijil; Diploma hinggalah mereka yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah. Namun, majoriti pengadu adalah terdiri daripada mereka yang berpendidikan SPM/SPVM atau yang setaraf (33.9%), diikuti oleh mereka yang memiliki Diploma (19.3%).
Data dari tahun 2018-2022 ini juga menunjukkan bahawa khidmat runding cara keluarga ini dimanfaatkan oleh mereka dari tempoh perkahwinan yang pelbagai, dari yang baru berkahwin (kurang setahun) hinggalah yang telah berkahwin lebih dari 50 tahun. Namun, majoriti pengadu terdiri dari mereka yang berkahwin selama 6-10 tahun (32.4%) diikuti oleh mereka yang telah berkahwin antara 1-5 tahun (22.1%).
Secara keseluruhannya, data-data ini menunjukkan bahawa majoriti pengadu adalah perempuan; berpendapatan RM4,000 dan ke bawah; berusia antara 31-40 tahun; berpendidikan SPM/SPVM atau yang setaraf; dan, telah berkahwin selama 6-10 tahun.
Dari segi jenis-jenis aduan [punca masalah/konflik], terdapat beberapa kategori aduan yang direkodkan seperti “campurtangan pihak ketiga”; “kurang penghayatan agama”; “masalah akhlah/sosial”; “masalah ekonomi”; “masalah kerjaya”; “masalah kesihatan”; “masalah komunikasi”; “masalah seksual”; “perbezaan latar belakang”; dan, “tidak bertanggungjawab”. Namun, untuk lima tahun tersebut, tiga jenis aduan yang tertinggi ialah “masalah akhlah/sosial” (14, 131 aduan); “tidak bertanggungjawab” (10,083 aduan); dan, “masalah komunikasi” (6,848 aduan).
Penemuan-penemuan ini mempunyai beberapa implikasi. Pertama, perkhidmatan runding cara keluarga JAWI ini amat diperlukan oleh masyarakat Islam di Kuala Lumpur yang berhadapan dengan konflik rumahtangga dan tiada tempat lain yang boleh dituju untuk mendapatkan pandangan dan nasihat. Kedua, profil pengadu – perempuan; berpendapatan RM4,000 dan ke bawah; berusia antara 31-40 tahun; berpendidikan SPM/SPVM atau yang setaraf; dan, telah berkahwin selama 6-10 tahun – menunjukkan bahawa mereka inilah yang berpotensi tinggi untuk menghadapi konflik rumahtangga dan memerlukan bantuan untuk menyelesaikan konflik mereka. Maka, kursus pasca perkahwinan, sekiranya dilaksanakan, perlu mensasarkan golongan ini sebagai peserta agar ilmu yang diperolehi dalam kursus-kursus itu dapat mempersiapkan mereka untuk menjauhi perkara-perkara yang boleh menimbulkan konflik dalam keluarga atau membantu mereka untuk menyelesaikan konflik-konflik tersebut.
Akhirnya, tiga punca aduan tertinggi – “masalah akhlah/sosial” (14, 131 aduan); “tidak bertanggungjawab” (10,083 aduan); dan, “masalah komunikasi” (6,848 aduan) – memberitahu kita bahawa tiga topik ini memerlukan perhatian khas dalam modul praperkahwinan agar bakal suami dan isteri menjadi lebih peka, sedar dan faham tentang peranan yang dimainkan oleh faktor-faktor ini dalam menentukan kebahagian dan keutuhan rumahtangga mereka.