Kualiti Pemimpin Cerminan Kualiti Rakyat
Penulis artikel ini bukanlah seorang pakar undang-undang ataupun perlembagaan, serta tidak mempunyai kepentingan politik ataupun peribadi terhadap keputusan mahkamah berkenaan kompetensi Dewan Undangan Negeri Kelantan dalam menggubal undang-undang yang tertentu. Kita semua maklum bahawa keputusan berkenaan telah dibuat oleh panel 9 hakim, termasuk Ketua Hakim Negara sendiri, dengan majoriti 8-1. Berikutan itu, ramai pakar undang-undang dan perlembagaan telah mengulas dan memberikan pandangan mereka.
Sebagai orang awam yang hanya memerhati dari jauh, hiruk-pikuk yang ditimbulkan oleh beberapa pihak yang jelas berkepentingan amatlah mengecewakan penulis. Hal ini disebabkan kes ini telah pun dibicarakan di mahkamah dan diadili oleh barisan hakim yang amat arif tentang apa yang dibahaskan. Selain itu, mereka juga telah memberikan alasan penghakiman untuk tatapan umum. Ertinya keputusan itu telah dibuat secara telus serta menuruti lunas undang-undang dan kedua-dua pihak telah diberikan kesempatan untuk menyatakan hujah masing-masing. Hiruk-pikuk yang timbul itu menyebabkan timbul kebimbangan terhadap taraf kewarasan dan kematangan masyarakat kita.
Asas kebimbangan itu adalah apabila isu ini dimanipulasikan oleh pihak tertentu dengan membangkitkan perkara yang tidak berkaitan sedangkan masalah sebenar telah digelapkan dengan sengaja. Tindakan mempersoalkan bidang kuasa DUN Kelantan adalah tidak sama dengan mempersoalkan hukum syariah atau menolaknya. Apa yang diputuskan oleh mahkamah ialah DUN Kelantan telah melampaui bidang kuasanya apabila meluluskan beberapa perkara yang sepatutnya berada di bawah bidang kuasa Dewan Rakyat. Sesiapa sahaja yang membaca dengan teliti kenyataan mahkamah akan memahami perbezaan itu. Justeru, sepatutnya tidak timbul soal ancaman terhadap syariah atau mahkamah syariah kerana yang dinafikan oleh mahkamah ialah bidang kuasa DUN dalam perkara tersebut berdasarkan peruntukan perlembagaan. Dengan bahasa mudah, DUN Kelantan telah tersilap mentafsirkan bidang kuasanya. Oleh itu, reaksi yang lebih munasabah dan matang adalah dengan mengakui kesilapan sendri serta berusaha menyelesaikan masalah bidang kuasa itu dengan mencadangkan pindaan perlembagaan sekiranya perlu.
Tindakan beberapa pihak yang cuba mengambil peluang daripada keputusan mahkamah itu dengan bermain emosi dan sentimen umat Islam hanya mengeruhkan lagi keadaan. Keputusan itu juga mendedahkan bahawa kesilapan telah berlaku dalam keghairahan sesetengah pihak untuk memperjuangkan hukum syariah. Walau bagaimanapun, ia tidak bermakna perjuangan tersebut telah gagal sepenuhnya. Apa yang penting untuk dilakukan adalah mengambil pengajaran daripada kejadian tersebut untuk perancangan masa hadapan. Malangnya isu itu telah dimanipulasikan untuk membangkitkan sentimen namun tindakan berkenaan akan memakan diri apabila orang ramai mula memahami isu sebenar.
Serangan terhadap peribadi pempetisyen serta ugutan yang dibuat merupakan sebahagian natijah manipulasi itu. Sentimen marah dan benci terhadap pempetisyen yang didakwa penganut faham liberal dan anti Islam telah diwarwarkan dengan bantuan media sosial. Sama ada dakwaan terhadap pempetisyen itu benar atau tidak bukanlah persoalannya kerana ia tidak relevan dengan petisyen yang dikemukakan. Siapa sekalipun yang mengemukakan petisyen itu tidak mengubah tafsiran hakim dan keputusan mahkamah dan serangan peribadi hanyalah menggambarkan sikap yang tidak matang.
Sebagai sebuah negara berbilang kaum dan kepercayaan, kematangan dalam memberikan pendapat serta membangkang sesuatu pendapat yang tidak dipersetujui amatlah penting demi memelihara keamanan dan keharmonian masyarakat. Kematangan itu tidak mungkin dicapai sekiranya orang ramai tidak dibiasakan dengan adab dan disiplin dalam perbahasan dan perdebatan sebaliknya sentiasa dimomok-momokkan dengan ugutan undang-undang dan tindakan tatatertib. Akibatnya kita dapat saksikan kualiti perbahasan yang amat lemah di Parlimen sedangkan semua ahli parlimen merupakan calon pilihan rakyat. Maka timbul persoalan, apakah yang sebenarnya yang menjadi pertimbangan rakyat dalam memilih wakil yang akan menjaga dan mempertahankan kepentingan mereka di Parlimen. Bukankah seseorang wakil itu dihantar ke Parlimen untuk bercakap, memberikan cadangan dan mempertahankan cadangannya dengan hujah dan fakta?
Tidak seperti di negara lain, perdebatan terbuka yang disiarkan secara langsung dalam kalangan tokoh politik tempatan hampir tidak pernah berlaku. Hal ini menggambarkan seolah-olah ia suatu kesalahan dan pantang-larang yang tidak boleh dilanggar. Akibatnya, tuduhan dan dakwaan dilemparkan terhadap satu sama lain, dengan sebahagiannya disudahi dengan ugutan saman sedangkan tidak pernah dua pihak yang bertelagah itu dibawa ke muka forum awam untuk berdebat supaya dapat dinilai siapa yang benar dan siapa yang salah. Pemimpin yang takut berdebat hanya berani berkokok di hadapan pentaksubnya dengan ucapan berapi-api bagi menaikkan emosi dan kebencian terhadap pihak lawan. Pada zaman media sosial ini pula wujud golongan yang dikenali sebagai ‘tentera siber’ yang diupah khusus oleh pihak tertentu untuk menyampaikan propaganda dan menyerang pihak lawan, ibarat ‘lempar batu sembunyi tangan’. Sekiranya kita mahu dilihat dan diakui sebagai negara maju, budaya sebegini mestilah diperangi dan dihentikan. Sesebuah negara itu hanya dihitung maju apabila masyarakatnya berupaya menampilkan pemimpin yang terbaik untuk diserahkan amanah, bukan yang hanya tahu bersyarah berdegar-degar ibarat tong kosong yang tiada isi.