Didik Anak Ilmu Agama Benteng Daripada Ajaran Sesat
Ajaran sesat di negara kita ini semakin mudah untuk disebarkan memandangkan kemudahan internet dan media sosial yang begitu meluas. Yang terbaru ialah kumpulan yang dipanggil “The Ahmadi, Religion of Light and Peace” yang berpengkalan di luar negara, khabarnya United Kingdom namun disebabkan kemudahan internet, ajaran tersebut berjaya sampai ke negara kita ini melalui platform media sosial. Akaun TikTok dipercayai milik Bishop atau ketua ajaran The Ahmadi ini dikatakan mendapat sambutan ketika bersiaran langsung. Akaun tersebut mempunyai lebih 30,000 pengikut. Ajaran ini menyeru orang ramai turut menjadi pengikut Imam al-Mahdi dan pemimpin Imam Mahdi didakwa telah muncul masa kini. Mereka ini mempercayai penjelmaan semula (reincarnation), juga mempercayai utusan Tuhan itu terdiri daripada pelbagai manusia yang hebat daripada pelbagai agama seperti Nabi Ibrahim, Krishna, Zoroaster, Buddha, Zeus, Moses, Aristotle, Socrates, Pythagoras, Plato, Nabi Isa dan Nabi Muhammad SAW. Sebelum itu, muncul juga ajaran sesat yang diasaskan oleh Suhaini Bin Mohammad atau ‘Si Hulk’ yang katanya berpusat di Switzerland. Ciri fahaman yang secara jelas mendakwa Nabi Muhammad SAW adalah tuhan. Kedua-dua ajaran sesat ini adalah antara sejumlah ajaran-ajaran sesat akhir-akhir ini yang disebarkan melalui internet dengan menggunakan platform media sosial, dan berpengkalan di luar negara. Ini menyukarkan pihak berkuasa mengambil tindakan kerana undang-undang Malaysia tidak dapat dikuatkuasakan di luar negara. Apa yang mampu dibuat hanyalah sekadar menggunakan khidmat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyekat akses kepada laman berbabit, namun ia tidak akan berkesan sepenuhnya. Pihak berkenaan masih boleh menukar URL yang disekat SKMM kepada URL baharu; dan kaedah kedua ialah pengunjung juga masih boleh akses akses laman-laman yang disekat itu menggunakan Virtual Private Network (VPN). Sebab itulah sehingga ke hari ini pihak berkuasa masih gagal untuk menyekat sepenuhnya laman-laman lucah atau pornografi masuk ke negara kita ini kerana mereka yang terlibat di sebalik laman-laman ini juga di kalangan yang pintar dengan selok belok internet. Oleh itu, jika kita mengharapkan kerajaan bertindak menyekat laman-laman ajaran sesat berkenaan, maka ia tidak akan berjaya sepenuhnya, dan kita perlu pendekatan lain mengatasi perkara ini.
Dalam kes-kes ajaran sesat sebelum ini, ianya lebih mudah untuk diambil tindakan penguatkuasaan dan pendakwaan kerana berlaku dalam negara kita. Pada sekitar 2009 ketika muncul ajaran sesat iaitu ada individu yang mengaku “Rasul Melayu” iaitu Abdul Kahar Ahmad, beliau berjaya ditangkap, didakwa dan kemudiannya dijatuhi hukuman penjara 10 tahun, didenda RM16,500 dan menerima enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam selepas mengaku bersalah terhadap lima tuduhan pindaan mengikut Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995. Begitu juga pada sekitar 2005, pemimpin ajaran sesat ‘Kerajaan Langit’, Ariffin Muhamad atau Ayah Pin, yang menyifatkan dirinya sebagai “Tuhan” kepada semua agama dan mendakwa telah menerima wahyu dari langit untuk mengembangkan ajarannya di muka bumi, cuba ditangkap untuk didakwa namun beliau dikatakan sempat melarikan diri dan bersembunyi di negara seberang hinggalah beliau dikatakan pulang ke rumahnya di Kampung Batu 13, Hulu Besut, Besut, dan meninggal pada 22 April 2016. Semasa mengetuai “kerajaan langit”, Arifin dipercayai berjaya mengumpulkan lebih 150 pengikut. Dikatakan Ayah Pin berjaya memperalatkan dan mempengaruhi pelbagai lapisan masyarakat, agama dan status penduduk di negara ini untuk menyertai ajaran yang disebarkannya, termasuklah beberapa orang artis tempatan.
Walaupun ajaran-ajaran sesat yang disebutkan ini ada yang disebar secara maya melalui media sosial, dan ada juga secara berdepan, namun persoalan yang sering berlegar di fikiran kita ialah kenapa masih ada segelintir dalam kalangan masyarakat yang boleh menerima dan mempercayai dakwaan pengasas ajaran-ajaran sesat ini? Mengaku “Rasul Melayu”, mengaku “Tuhan” mengaku “Imam Mahdi” dan bermacam-macam dakwaan lagi yang jelas bertentangan dengan faham Ahlul Sunnah wal Jamaah yang kita pelajari sejak kecil lagi? Adakah sebegitu dangkal, jahil dan bodoh masyarakat kita pada hari ini? Hampir semua pengasas ajaran sesat ini mampu mempengaruhi orang ramai untuk mempercayai dan menerima ajaran mereka bahkan yang lebih aneh ialah ada di kalangan pengikut mereka ini dalam kalangan yang berpelajaran tinggi. Menginsafi perihal ini, sedarlah kita bahawa pendidikan agama seawal usia muda itu amat penting sekali dan membekas dalam diri mereka. Kalau diteliti kepada majoriti pengikut-pengikut ajaran sesat ini adalah dalam kalangan mereka yang “baru” mendapat hidayah dan tercari-cari guru kerana ingin mula mendekatkan diri dengan tuhan pada usia yang sudah dewasa setelah lama lalai dan mungkin juga bergelumang dengan dosa. Disebabkan itu, sesiapa sahaja yang ditemui yang dilihat mampu membawa mereka “dekat” dengan tuhan, nescaya mereka akan sanggup menjadi pengikut dan taat kepadanya. Justeru, apa yang hari ibubapa lakukan demi menjaga akidah anak-anak kita tidak mudah terpengaruh dan terpesong dengan ajaran sesat, lebih-lebih yang disebarkan melalui media sosial – yang kita sendiri tidak mampu mengawal apa yang anak-anak kita layari— ialah dengan membekalkan mereka dengan ilmu agama secukupnya. Apatah lagi, sekiranya mereka itu berjaya menyambung pengajian di luar negara dan terdedah dengan pelbagai ajaran-ajaran sesat dan fahaman songsang. Oleh itu, ketika mereka masih anak-anak remaja, dekatkan dengan majlis-majlis pengajian agama, mendorong mereka meluangkan masa menghadiri program pengajian berkitab atau daurah, talaqqi dengan asatizah yang jelas manhaj fikrah Ahlul Sunnah wal Jamaah agar dengan ilmu, barakah majlis ditambah dengan petunjuk hidayah daripada Allah SWT, menjadi bekalan buat mereka dan asbab untuk terselamat daripada fitnah ajaran sesat ini. Moga kita dan zuriat kita semua diselamatkan oleh Allah SWT daripada fitnah akhir zaman ini.