Tarikh 11 September 2001 merupakan tarikh yang telah terpahat padanya tragedi yang menggemparkan seluruh dunia berikutan pengeboman menara berkembar World Trade Center (WTC), Amerika Syarikat. Kejadian yang menyebabkan kehilangan sebanyak 2,996 nyawa termasuk 19 pelaku ini antara yang menjadi titik kemuncak kepada Islamofobia, fobia kepada Islam, apabila kejadian ini dikatakan akibat daripada serangan pengganas beragama Islam iaitu al-Qaeda yang diketuai oleh Osama bin Laden.
Kini, genap 16 tahun semenjak kejadian pengemboman ini, ternyata pandangan serong terhadap Islam tidak menunjukkan tanda-tanda bahawa ia semakin pudar. Perjalanan masa tidak menjadikan ia dilupakan. Bahkan ia menjadi semakin kuat pada pandangan masyarakat dunia, khasnya bukan Islam, iaitu, apabila tercetusnya beberapa siri pengeboman yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Islam.
Pada 13 dan 14 November 2015, dunia telah digemparkan dengan tembakan dan letupan yang berlaku di Paris yang melibatkan tempat-tempat seperti Stade de France, Rue Bichat, Rue Alibert dan Rue de la Fontaine-au Roi. Letupan didalangi oleh Militan IS yang mendakwa membawa slogan Islam ini mengorbankan 130 dan mencederakan 200 orang awam.
Pada tahun ini, 22 Mac, tercetus lagi siri serangan gempar di Westminster, London yang turut memalitkan nama Islam. Kejadian tercetus dengan rempuhan laluan pejalan kaki oleh kereta yang dipandu oleh pelaku yang dikatakan membawa motif jihad Islamiyyah. Serangan yang turut melibatkan aksi tikam mengakibatkan enam orang terbunuh termasuk pelaku sendiri dan mencederakan 49 orang awam.
Siri-siri serangan keganasan sehingga mengakibatkan kehilangan jiwa dan kecederaan orang-orang yang tidak berdosa bukan ajaran yang dibawa oleh Islam. Pembunuhan atau keganasan adalah dilarang secara keras oleh Allah SWT. Ini boleh diifahami melalui firmanNya yang bermaksud:
Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar.. (Al-Isra’, 17:33)
Nabi Muhammad SAW turut menegaskan kedudukan jenayah bunuh sebagai salah satu dosa besar dan membawa kebinasaan kepada manusia. Mafhum hadith ini berbunyi:
Dari Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW, baginda bersabda: “Jauhilah tujuh (dosa) yang membinasakan!” Mereka (para sahabat) bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah itu?” Baginda SAW menjawab, “Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang Allah haramkan kecuali dengan hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, berpaling dari medan perang, menuduh zina terhadap wanita-wanita merdeka yang menjaga kehormatan, yang beriman, dan yang bersih dari zina”. (Hadith riwayat al-Bukhari dalam Kitab al-Hudud, Bab Ramyi al-Muhsanat, Hadith No. 6857)
Bahkan, dalam ayat al-Quran yang lain, Allah telah memfirmankan pujian yang besar kepada manusia yang menjaga nyawa manusia yang lain. Firman ini bermaksud:
…..bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya…. (Al-Maaidah, 5:32)
Keganasan berbentuk pembunuhan dan pengeboman sehingga menyebabkan kematian insan-insan yang tidak berdosa menyalahi prinsip-prinsip asas yang dijunjung dalam quran dan sunnah seperti yang telah dinyatakan. Islam membenci dan menganggap perbuatan sebegini sebagai jenayah, meskipun yang menerima akibat jenayah ini adalah bukan daripada kalangan bukan Islam. Kumpulan-kumpulan yang menyebabkan tragedi-tragedi berdarah seumpama ini semestinya tidak mewakili fahaman Islam yang dominan dan hakiki.
Fahaman tentang Islam itu seharusnya dipaksikan kepada sumber yang berautoriti. Apa yang boleh digambarkan secara asas ialah, Islam merupakan agama yang mempromosikan keamanan dan keharmonian. Ini boleh difahami dengan kata akar perkataan Islam daripada kalimah iaitu, salima, yang bermaksud selamat, sejahtera dan aman.
Islam membuka pintu keharmonian kepada semua masyarakat berbilang agama untuk hidup bersama-sama dengan saling mengenali, saling memahami dan saling membantu dalam kehidupan. Ini boleh difahami melalui firman Allah SWT yang bermaksud:
Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). (Al-Hujurat, 49:13)
Perbezaan agama atau bangsa tidak sepatutnya menjarakkan antara satu puak dengan satu puak yang lain, apatah lagi saling membenci dan membinasakan. Tanah, air dan udara sama yang dikongsi untuk kehidupan sepatutnya menyedarkan semua manusia bahawa perbezaan warna kulit dan agama bukan alasan kepada perperangan antara satu sama lain.
Bagi umat Islam khasnya, dunia adalah jambatan ke akhirat. Perjalanan menuju ke akhirat memerlukan bekalan yang cukup untuk menjustikasikan kedudukan setiap individu di sana, iaitu syurga atau neraka. Setiap perbuatan yang dilakukan di dunia perlu berpaksikan kepada prinsip dan nilai sebenar dalam Islam.
Sudah tentu, keganasan yang tidak menjadi prinsip dalam Islam boleh mencacatkan bekalan untuk bertemu tuhan. Adapun syurga dalah tempat keamanan. Justeru, jika keamanan yang dicari, apakah ia boleh diraih dengan keganasan? Suatu persoalan yang perlu direnung-renungkan oleh semua ummat Islam.
Dalam situasi Islamofobia, sebagai jalan segera, ummat Islam perlu berusaha keras dalam menyebarkan dan mempromosikan mesej keamanan Islam seperti yang dianjurkan oleh kefahaman sebenar dalam agama ini. Semua ummat Islam bertanggungjawab terhadap perkara ini dengan cara yang dilihat bersesuaian. Semoga usaha semua pihak mengembalikan imej baik Islam di mata dunia.