Dari Meja Ketua Pengarah


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. 

Dalam dunia yang penuh cabaran hari ini dengan ledakan maklumat yang dipacu oleh kecerdasan buatan (Al), lanskap komunikasi dan media turut berubah dengan begitu pantas. Masyarakat dilambakkan dengan bermacam pilihan bagi mendapatkan maklumat dan hiburan menerusi pelbagai platform digital. Namun, radio masih lagi menjadi sumber informasi dan maklumat yang tidak pernah ditinggalkan dan masih releven hingga ke hari ini. Dengan keupayaannya menyampaikan maklumat yang pantas, mendidik, menghubungkan komuniti serta menjadi teman setia dalam setiap perjalanan kehidupan, radio kekal sebagai medium yang dipercayai merentas generasi.

Tanggal 6 Julai lalu, menandakan perjalanan penting buat IKIMfm, radio Islami nombor satu di Malaysia yang menginjak usia 25 Tahun. Perubahan zaman tidak menjadi cabaran buat IKIMfm yang terkenal dengan tagline ‘Inspirasi Utama Anda’ ini untuk kekal berperanan sebagai platform dakwah, penyebaran maklumat dan semestinya menyediakan hiburan mendidik jiwa.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga kerja IKIMfm, para penyampai, penerbit, kakitangan teknikal, rakan strategik serta jutaan pendengar setia yang sentiasa memberikan sokongan tanpa jemu sejak IKIMfm mula bersiaran pada 6 Julai 2001.

Sepanjang 25 tahun bersiaran, pelbagai kejayaan telah diraih IKIMfm antaranya mendapat pengiktirafan oleh Malaysia Book of Records dalam kategori Highest Altitude Islamic Radio Broadcast From A Skyscraper pada tanggal 16 Januari 2026 apabila Berjaya bersiaran selama 25 jam tanpa henti di aras 92, Menara Merdeka 118. Ini membuktikan misi dakwah yang dimainkan oleh IKIMfm akan terus menjulang tinggi.

IKIMfm terus melakarkan kecemerlangan pada tahun 2026 apabila berjaya meraih penghargaan pada Majlis Pengiktirafan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) menerusi kategori “Liputan Media (Kategori Radio) pada 29 Jun di PICC, Putrajaya. Ini membuktikan usaha penyampaian dakwah serta penyebaran maklumat oleh IKIMfm sentiasa relevan serta mendapat perhatian pelbagai pihak.

Di usia 25 tahun ini, IKIMfm berjaya mengekalkan identitinya sebagai sebuah stesen radio Islam yang mengutamakan ilmu, nilai dan pembinaan insan. Kita tidak mengejar sensasi atau hiburan semata-mata, sebaliknya memberi keutamaan kepada kandunganyang mampu membimbing masyarakat menjadi insan yang lebih beriman, berilmu, berakhlak dan bertanggungjawab sebagai khalifah Allah SWT.

Dengan kepesatan teknologi digital, kecerdasan buatan (Al), media sosial serta aplikasi mudah alih, IKIMfm terus mengorak langkah untuk memperbaharui pendekatan dakwah dengan memberikan akses di pelbagai platform digital, termasuk aplikasi mudah alih, podcast, media sosial dan teknologi baharu yang mampu memperluaskan capaian siaran kepada pendengar di seluruh dunia. Pada masa yang sama, kita akan terus meneroka penggunaan teknologi kecerdasan buatan secara berhemah bagi meningkatkan mutu penyiaran tanpa mengabaikan nilai, etika dan integriti yang menjadi teras IKIMfm.

Sesungguhnya kekuatan sebenar IKIMfm terletak pada kepercayaan para pendengar. Sokongan yang diberikan selama ini menjadi sumber inspirasi kepada kami untuk terus memperbaiki mutu penyiaran serta menghasilkan kandungan yang lebih berkualiti dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Terima kasih kepada semua para pendengar kerana terus bersama kami, memberikan sokongan, teguran dan pandangan yang membina demi memastikan IKIMfm terus berkembang sebagai sebuah institusi penyiaran Islam yang diyakini.

Marilah kita berdoa agar IKIMfm terus diberikan kekuatan untuk menjadi sumber inspirasi, medan penyebaran ilmu dan platform dakwah yang membawa rahmat kepada seluruh masyarakat, bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat antarabangsa. Semoga IKIMfm terus unggul sebagai stesen radio Islam yang mendidik, menyatukan dan menginspirasikan masyarakat untuk tahun-tahun mendatang.

Selamat Menyambut Ulang Tahun Ke-25 IKIMfm.

IKlMfm, Inspirasi Utama Anda.

Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.