Sejak tiga tahun kebelakangan ini, polemik tentang kedudukan Islam di Malaysia kembali memuncak. Ada pihak yang meniup persepsi bahawa agama Islam sedang dipinggirkan, kononnya terdedah kepada ancaman dan dalam keadaan bahaya. Lebih memilukan lagi, ada pihak menggunakannya sebagai bahan politik bagi menghasut kebencian dengan dakwaan ‘Islam terancam’ di bawah pentadbiran kerajaan MADANI. Namun apabila kita meneliti struktur negara, dasar kerajaan dan perkembangan institusi Islam sepanjang era kerajaan MADANI selama tiga tahun, gambaran yang muncul jauh daripada dakwaan itu. Islam bukan surut malah Islam sedang mekar di bumi Malaysia.
Untuk memahami hal ini, kita perlu kembali kepada asas negara. Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan menegaskan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan. Ia bukan pernyataan simbolik, bahkan sebuah asas undang-undang yang membentuk cara Malaysia mengurus pendidikan, kebajikan, budaya, keagamaan serta hubungan antara negeri dan Persekutuan. Pada masa yang sama, Perlembagaan Persekutuan membenarkan agama-agama lain diamalkan dengan aman dan damai (Perkara 11(1)) . Ini mewujudkan keharmonian yang telah lama menjadi identiti negara.
Dalam kerangka ini, kedudukan Raja-Raja Melayu memainkan peranan yang penting. Sebagai Ketua Agama Islam di negeri-negeri beraja dan Yang di-Pertuan Agong bagi negeri-negeri tidak beraja, baginda Sultan sentiasa memastikan hal ehwal Islam diurus secara tersusun dan teratur selaras dengan Maqasid Syariah. Setiap dasar berkaitan syariah perlu melalui jalur muzakarah, jawatankuasa fatwa, jawatankuasa di bawah Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI) dan keputusan Majlis Raja-Raja. Ini membina suatu sistem yang menggabungkan tradisi, kearifan tempatan dan disiplin undang-undang.
Selari dengan itu, pentadbiran negara melaksanakan reformasi yang membawa perubahan nyata. Mahkamah Syariah diperkukuh secara institusi. Kedudukan hakim syarie akan diselaraskan melalui skim perkhidmatan baharu yang lebih berwibawa setaraf dengan hakim sivil. Bagi memperkemas dan memperkasa perundangan syariah, satu jawatankuasa yang dikenali dengan Jawatankuasa Khas Kompetensi Dewan Undangan Negeri ditubuhkan. Tugasnya memastikan enakmen syariah yang digubal bersifat kukuh dari segi perlembagaan dan tidak mudah dicabar di mahkamah sivil demi pembinaan tembok undang-undang Islam yang teguh, bukan slogan semata-mata.
Seiring reformasi ini, Belanjawan 2026 melakar satu tanda penting. Sebanyak RM2.6 bilion diperuntukkan untuk hal ehwal Islam, meningkat RM600 juta berbanding tahun sebelumnya. Peruntukan ini memperlihatkan komitmen kerajaan dalam tiga arah utama:
Pertama, menaik taraf prasarana institusi agama. Sekolah tahfiz, sekolah agama rakyat dan institusi pondok diberikan peruntukan RM150 juta untuk membaiki bangunan, mengganti peralatan dan memperkemas kualiti pengajian.
Kedua, membangunkan modal insan. Program TVET Tahfiz melatih 720 pelajar tahfiz melalui GiatMARA dalam bidang teknikal seperti kimpalan dalam air, automotif dan teknologi baharu. Mereka menjadi huffaz yang mahir dalam industri moden. Ini mengubah persepsi lama bahawa pelajar tahfiz hanya mampu berada dalam sektor agama semata-mata.
Ketiga, mengangkat martabat tenaga penggerak masjid dan pendidikan Islam. Sumbangan khas disalurkan kepada 70,000 guru KAFA, guru takmir, imam, bilal dan marbut. Dalam masa sama, usaha bercorak global diteruskan melalui pencetakan sejuta naskhah al-Quran termasuk terjemahan dalam tiga puluh bahasa utama dunia.
Malaysia juga memperkenalkan Anugerah Masjid Malaysia sebagai platform mengenal pasti dan menghargai masjid cemerlang dari aspek pengurusan, pendidikan dan komuniti. Konvensyen Masjid pula menjadi ruang perkongsian antara imam, ulama dan pemimpin masyarakat.
Langkah-langkah ini membina ekosistem agama yang semakin teratur. Pada masa yang sama, akses rakyat untuk menunaikan haji dipermudah. Had pengeluaran Akaun Sejahtera KWSP untuk tujuan haji dinaikkan kepada RM10,000. Penjawat awam dibenarkan menebus Gantian Cuti Rehat (GSR) sehingga RM10,000 khusus untuk menunaikan ibadat haji. Langkah ini dapat membantu umat Islam yang ditawarkan untuk mengerjakan ibadat haji kali pertama.
Dalam ruang pemikiran, IKIM tampil sebagai pusat ilmu yang memberikan hala tuju. Hari ini, cabaran terhadap Islam bukan semata-mata fizikal tetapi berbentuk pemikiran. Di sinilah IKIM memainkan peranan menstrukturkan kefahaman mengenai hubungan Islam dengan realiti masyarakat majmuk, ekonomi moden dan teknologi baharu. Kajian IKIM menjadi sandaran dalam isu etika perubatan, dasar awam, pendidikan dan hubungan antara agama.
Melalui IKIMfm dan TVIKIM, wacana akademik diterjemahkan ke dalam bahasa harian. Rakyat menerima isi yang padat tetapi mudah difahami. Inilah ruang yang melahirkan Muslim yang berfikir, bukan Muslim yang bertindak mengikut emosi.
Jangkauan dakwah negara turut melangkaui sempadan. Jakarta menjadi tapak baharu bagi aktiviti belia Malaysia. Program Khabar Orang Muda dibawa ke sana sebagai modul pembangunan belia yang kini diterima di Nusantara. Forum Bicara Ad-Din anjuran bersama IKIM dan Kedutaan Besar Malaysia Indonesia di Jakarta melibatkan Nahdlatul Ulama dan Muhammadiyah. Kehadiran pemimpin pelbagai agama dalam forum itu membuka satu petanda penting serta pendekatan Malaysia diterima sebagai suara damai.
Di peringkat serantau, Malaysia kini memimpin ASEAN 2025. Tumpuan kepimpinan ini bukan hanya pada ekonomi tetapi pada nilai. Malaysia memajukan standard halal serantau agar ia selari dengan prinsip tayyiban dan kualiti yang tinggi. Industri halal kita menyumbang lebih RM146 bilion kepada KDNK dan RM61 bilion nilai eksport. Piawaian halal Malaysia menjadi rujukan antarabangsa.
Dalam dunia kewangan Islam, Malaysia kekal disegani. Tabung Haji menerima pengiktirafan tertinggi daripada Arab Saudi, melambangkan pengurusan haji dan kewangan sosial yang mantap. Kepakaran zakat, wakaf dan dana sosial Islam kini dibawa sebagai model penyelesaian di Asia Tenggara.
Pada masa yang sama, roh negara dipupuk. Majlis Sama’ Hadis Sahih Bukhari dan Muslim mengumpulkan ribuan ulama dan penuntut ilmu. Qiamullail perdana diadakan serentak di masjid utama seluruh negara. Inisiatif-inisiatif ini menggambarkan bahawa kemajuan negara diukur bukan sekadar melalui bangunan tinggi atau angka ekonomi, tetapi melalui kehidupan rohani masyarakat.
Dalam melihat seluruh landskap ini, kata-kata Imam al-Ghazali muncul sebagai kunci memahami kedudukan Islam dalam negara. Beliau menyebut bahawa agama dan kekuasaan adalah dua saudara kembar. Agama ialah asas, sementara kuasa ialah penjaganya. Tanpa asas, kuasa akan runtuh. Tanpa penjaga, asas akan hilang. Dalam konteks Malaysia, asas dan penjaga itu bergerak seiring.
Selepas tiga tahun pentadbiran MADANI, realitinya bukan bahawa Islam terancam. Realitinya, Islam sedang melalui satu fasa kebangkitan semula yang lebih tersusun, lebih ilmiah dan lebih matang. Negara membina generasi yang berilmu dan berketrampilan. Institusi agama diperkukuh secara berstruktur. Malaysia berdiri sebagai peneraju nilai di peringkat ASEAN.
Arah tuju negara jelas. Kita mahu Malaysia menjadi pusat rujukan model pentadbiran Islam kontemporari. Sebuah model yang menggabungkan tradisi ilmu seperti majlis sama’ hadis dengan ketangkasan teknologi digital. Sebuah model yang menempatkan agama sebagai cahaya, bukan sebagai slogan kosong.
Sudah sampai masanya untuk kita rakyat Malaysia meninggalkan polemik yang memecah-belah. Ini masa untuk membina masa depan yang menggabungkan kemajuan dunia dan ketenangan akhirat. Di bumi Malaysia, agama ini terus mekar. Ia mekar kerana dipelihara. Ia mekar kerana difahami. Ia mekar kerana rakyatnya memilih untuk membina, bukan meruntuhkan.

