Cuba kembalikan ingatan pembaca kepada hari-hari terakhir Ramadan yang lepas. Bawakan diri pembaca kepada saat itu. Bayangkan diri anda berada dalam suasana hari-hari terakhir Ramadan itu.
Ingatkah betapa hiba dan sayunya perasaan kita kerana Ramadan bakal pergi? Bagi yang benar-benar menghayati bulan mulia itu, terasa betapa Ramadan begitu cepat berlalu. Terasa begitu banyak yang tidak sempat dilakukan. Terasa betapa banyak peluang membersihkan diri dan mendapat pahala dari Allah SWT, yang tidak dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.
Akibatnya, ramai di antara kita berharap dapat bertemu semula dengan Ramadan. Kita berharap dipanjangkan umur untuk mengecap nikmat keberkatan Ramadan yang akan datang. Kita berazam, jika peluang itu diberikan, kita akan menggunakannya dengan sebaik mungkin. Kita akan mengisinya dengan perkara mulia. Kita akan mengambil pengajaran dari ibadah yang diwajibkan ke atas umat Islam ini.
Itulah azam kita pada Ramadan terdahulu dan kini dengan izin-Nya, Ramadan itu datang lagi. Jadi, bersediakah kita melaksanakan azam yang kita pahatkan itu?
Tinggal tiga hari sahaja lagi umat Islam akan menyambut Ramadan al-Mubarak. Bulan mulia yang menjanjikan begitu banyak keberkatan terutamanya kepada mereka yang sedia mencabar diri untuk merebut keberkatan tersebut.
Pastinya, perkara pertama yang harus dilakukan umat Islam ialah mensyukuri kedatangan bulan ini. Kita bersyukur kerana masih berpeluang untuk bertemu dengan bulan Ramadan agar dapat kita sama-sama menikmati keberkatan dan kemuliaan yang terkandung dalam bulan tersebut.
Seterusnya, adalah juga wajar bagi kita untuk mula merancang pengisian tertentu sempena bulan Ramadan. Namun, mungkin ada yang bertanya, kenapa perlu merancang? Kenapa kita tidak boleh melakukan sahaja apa yang perlu dan biasa dilakukan di bulan tersebut? Mungkinkah kita hanya melakukan apa sahaja yang orang lain lakukan? Bukankah itu lebih mudah?
Secara luarannya, sememangnya kita boleh membuat apa sahaja yang orang lain buat. Maknanya, kita lalui sahaja bukan Ramadan itu nanti dengan pengisian tertentu berdasarkan apa yang biasa dibuat. Namun, untuk memaksimakan manfaat bulan tersebut sewajarnyalah kita mempunyai rancangan kita sendiri. Dengan perancangan ini, ibadat-ibadat yang ingin dilakukan dapat dilakukan secara tersusun dan dapatlah dilihat apa yang perlu ditambah atau diperbaiki. Dengan itu, kita juga sebenarnya sedang merancang untuk memaksimumkan pahala diri.
Manfaat perancangan ini bukan sahaja dari sudut ibadat tetapi sebagai manusia yang serba lemah dan banyak terikat dengan hal-hal keduniaan, perancangan ini dapat menyeimbangkan manfaat duniawi dan akhirat. Sekurang-kurangnya, dengan perancangan tersebut, kita sudah dapat melihat tanggungjawab duniawi yang perlu dilaksanakan dan dalam masa yang sama, dapat juga kita melihat aspek-aspek peningkatan kerohanian yang ingin dijayakan. Tanpa perancangan, mungkin kesibukan melaksanakan tanggungjawab keduniaan akan menghakis kesungguhan mengejar keberkatan bulan Ramadan yang mulia.
Apakah pula pengisian yang perlu ada dalam senarai semakan “Rancangan Memaksimumkan Manfaat Ramadan” itu? Isi kandungan perancangan itu sewajarnya meliputi perkara-perkara seperti menjalani puasa dengan sebaik mungkin, lebih banyak membaca al-Quran, memahami isi kandungan al-Quran yang dibaca, banyak berzikir, meningkatkan kualiti solat wajib dan kuantiti solat sunat, rajin melaksanakan solat malam, rajin bersedekah, menunaikan zakat, lebih banyak melakukan ibadah bersama keluarga, banyakkan bertaubat, beriktikaf di masjid dan sebagainya.
Selain, pengisian penting di atas, pengisian lain yang tidak kurang pentingnya ialah bersederhana dalam soal makan, menjaga mulut dari perkataan yang sia-sia, elakkan membazir, banyakkan membaca bahan bacaan yang baik, rajin membantu orang lain, bersangka baik sesama manusia, memerhati dan merenung alam dengan niat mensyukuri nikmat Ilahi, berusaha menjaga hak makhluk Allah SWT yang lain, muhasabah diri dan lain-lainnya.
Setelah menyenaraikan semua yang dirancang, satu keperluan lain yang perlu ada ialah keazaman untuk mengikuti rancangan yang telah dibuat. Ini amat penting kerana perancangan tanpa ada tindakan hanyalah sia-sia. Apa yang lebih merugikan, manfaat yang cuba dicapai akan berlalu begitu sahaja. Maka, jadilah kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang kerugian seperti sabda Rasulullah SAW: “Sungguh rugilah seseorang yang menyambut bulan Ramadan kemudian melepaskannya, sedang dosa-dosanya belum diampuni” (HR Tirmidzi). Bukan sahaja kerugian tetapi kita sebenarnya menzalimi diri kerana peluang memperbaiki diri sudah di tangan tetapi dilepaskan begitu sahaja.
Dalam proses perancangan ini, sewajarnya kita memikirkan juga bukan sahaja manfaat untuk diri sendiri tetapi turut melibatkan manfaat yang boleh diberikan kepada orang lain. Misalnya, dalam soal beribadat, yang wajib mahupun sunat, jangan lupa melakukan secara bersama-sama dengan ahli keluarga mahupun rakan-rakan rapat. Adalah lebih mulia kita mencapai sesuatu yang baik secara bersama, apatah lagi jika kebersamaan itu melibatkan ahli keluarga yang kita sayangi mahupun rakan-rakan atau saudara-mara yang rapat.
Diharapkan, semoga dengan perancangan yang dibuat, kita lebih bersemangat dan teruja untuk melangkahkan kaki ke bulan Ramadan yang mulia. Dalam masa yang sama, semoga dengan perancangan itu, kita bakal meninggalkan bulan Ramadan nanti dengan jiwa, minda dan tingkahlaku yang kekal mulia dan terdidik. Akhir kata, Selamat Menyambut Ramadan!