Membendung Naluri Ke Jerat Rasuah
Antara perkara yang amat membimbangkan masyarakat dan negara ketika ini adalah berkaitan peningkatan gejala rasuah yang didapati semakin serius. Laporan-laporan media tempatan mahupun kes-kes yang direkodkan oleh pihak berkuasa menunjukkan peningkatan yang membimbangkan. Malah lebih mencemaskan lagi apabila individu dari sektor perkhidmatan awam didapati turut terlibat dalam gejala buruk ini.
Kebimbangan ini telah pun disuarakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menuntut supaya langkah-langkah lebih berkesan dilaksanakan serta-merta bagi membendungnya.
Kebimbangan beliau ini sebenarnya berdasarkan kepada perangkaan Badan Pencegah Rasuah yang menunjukkan terdapat sebanyak 1,342 penangkapan kes berkaitan rasuah melibatkan kakitangan awam. Suasana ini memanglah membimbangkan rakyat lebih-lebih lagi majoriti daripada kakitangan awam ini adalah beragama Islam.
Ajaran Islam menetapkan bahawa perilaku rasuah merupakan suatu yang amat dilarang dan para pengamal ajaran ini ditegah keras agar sama sekali tidak terlibat dalam gejala ini. Islam mempunyai alasan tersendiri mengapa perbuatan ini dianggap sebagai sebahagian daripada dosa-dosa besar di samping dosa syirik, zina dan minum arak yang semuanya adalah dilarang.
Islam sejak awal-awal diturunkan lagi sudah memahami gejolak nafsu dan naluri manusia yang agak sukar untuk dibendung. Lantaran itu, tindakan pencegahan yang berupa larangan dan tegahan lebih banyak kelihatan dalam al-Quran dan sunah Rasul s.a.w. dengan tujuan bukan sahaja untuk membendung gejala buruk tersebut tetapi juga mendidik dan membentuk pemikiran dan perilaku mereka.
Pada hakikatnya gejala rasuah dilihat sebagai satu jalan pintas dan mudah bagi mendapatkan sesuatu peruntukan ataupun kejayaan daripada golongan tertentu. Rasuah yang diamalkan akan menjadikan orang kaya akan lebih kaya lagi walaupun kekayaan itu bukan sebenarnya milik mereka. Manakala golongan miskin pula tidak memperoleh hak mereka walaupun itu sebenarnya hak mereka yang patut mereka miliki.
Selain itu, mereka yang melakukan rasuah ini juga tidak perlu bekerja lebih keras untuk memenuhi keinginan mereka tercapai.
Walau apa pun tujuannya, perbuatan ini sudah pasti akan mengakibatkan kezaliman, penganiayaan dan penindasan kepada orang lain yang sepatutnya lebih berhak mendapatnya. Kezaliman dan penganiayaan inilah yang cuba dibanteras oleh Islam.
Amalan rasuah bukan sahaja dilakukan dengan cara penipuan dan penindasan tetapi juga akan mendatangkan penyelewengan dan masalah yang lain kelak. Allah berfirman dalam surah al-Baqarah, ayat 188 bermaksud:
“Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan janganlah kamu membawa urusan harta itu kepada hakim supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan cara yang berdosa padahal kamu mengetahui.”
Adalah menjadi kewajipan setiap orang Islam untuk membanteras rasuah agar ia tidak terus menjadi satu amalan yang akhirnya dipandang sepi oleh masyarakat lantas menjadi satu gejala yang amat sukar untuk dikawal lagi. Dan mereka bertanggungjawab bagi memastikan bukan sahaja seluruh masyarakat itu bebas rasuah, tetapi juga diri mereka dan setiap ahli keluarga mereka perlu bebas rasuah dan sebarang bentuk penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa.
Dalam usaha untuk mendidik diri manusia menghindari gejala rasuah, Islam memberikan penekanan kepada pembinaan keimanan dan pembentukan keperibadian dan akhlak yang baik dan mulia. Kejadian manusia menyaksikan mereka sebagai makhluk yang mempunyai pelbagai kemahuan baik dari segi keinginan makan minum, naluri seks dan pelbagai keperluan fizikal lain di samping keperluan rohani, emosi dan inteleknya.
Keinginan nafsu yang tidak terkawal akhirnya menjadikan mereka ini sebagai makhluk yang tidak sepi daripada sifat rakus, bakhil dan haloba. Kerakusan, bakhil dan haloba yang keterlaluan sudah pasti akan merosakkan diri dan membinasakan.
Sifat yang tidak elok ini juga yang menjadikan manusia berlumba-lumba untuk mengejar kekayaan dunia dan kebendaan tanpa suka dibendung lagi. Dan mereka lebih suka memenuhi naluri mereka dengan cara yang lebih mudah dan cepat, di samping mendapatkan hasil yang lumayan atau berlipat ganda, sekalipun dengan cara yang tidak betul.
Ciri-ciri seperti inilah yang terdapat dalam amalan buruk rasuah. Dan akibatnya juga jadilah mereka sebagai golongan yang dilalaikan oleh nafsu dan keinginan melampau sehingga sukar untuk berpisah daripada apa yang mereka ingin miliki.
Dalam mengatasi kelalaian ini, umat Islam wajarlah menghayati satu firman Allah dalam surah ali-Imran, ayat 14 bermaksud:
“Dijadikan indah pada pandangan manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu dari wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari emas dan perak serta kuda pilihan dan binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup dunia dan di sisi Allahlah tempat kembali yang lebih baik.”
Membendung naluri rasuah sebenarnya juga adalah membendung kemahuan nafsu yang sukar dikawal kerana nafsu sifatnya tidak pernah mengenal undang-undang dan etika.
Selain itu, memahami fenomena ini dengan cara yang lebih empirikal juga adalah perlu dalam usaha untuk membanteras gejala ini sehingga ke akar umbi. Satu kajian komprehensif adalah perlu dilakukan bagi mendapatkan beberapa maklumat berkaitan seperti keadaan demografi mereka yang terlibat, di samping tahap ekonomi dan status sosial mereka.
Maklumat berkaitan kesan buruk gejala ini juga perlu diketengahkan dalam masyarakat di samping pelbagai usaha galakan dan sokongan bagi meningkatkan lagi kesedaran sivik di kalangan masyarakat. Usaha besar-besaran di peringkat kebangsaan oleh pihak pemerintah wajar juga dilakukan bagi menunjukkan kepada masyarakat betapa seriusnya gejala ini perlu ditangani secara bersama.
Jika kita mahu membentuk pemikiran yang murni di kalangan rakyat sebagai satu usaha dalam menangani gejala rasuah ini, maklumat dan kesedaran perlu dipupuk pada peringkat kanak-kanak dan remaja lagi.