Kunjungan wakil-wakil pemerintah tertinggi Kerajaan Malaysia baru-baru ini ke Rusia perlu dilihat dalam konteks perubahan aturan dunia yang semakin memperlihatkan dimensi baharu dalam sejarah moden—iaitu dimensi ketamadunan dan keilmuan yang semakin terserlah dalam hubungan antarabangsa.
Jika dahulu hubungan diplomatik dua hala antara negara-negara besar seperti ini hanya bersifat status quo, selamat, dan bersifat pertukaran kepentingan bersama (transactional), hari ini, dalam era dunia multipolar yang dipelopori oleh negara-negara BRICS dan Global South, semangat dan sifatnya lebih bersifat ketamadunan (civilizational)—yakni yang mengiktiraf kekuatan masing-masing bukan sahaja dari sudut kekuatan ekonomi atau ketenteraan, tetapi juga dari sudut keilmuan, nilai-etika, kemanusiaan, dan ketamadunan.
Justeru, tidak hairanlah apabila negara seperti Rusia dan China kini merujuk kepada diri mereka bukan sekadar sebagai negara-bangsa (nation-state), tetapi sebagai negara-peradaban (civilisation-state).
Penggunaan istilah ini merupakan isyarat kepada dunia—khususnya terhadap hegemoni Barat—bahawa mereka memiliki sudut pandang, tradisi, kerangka keilmuan, dan nilai-nilai etika yang tersendiri, yang berbeza daripada apa yang sering dianjurkan oleh kuasa-kuasa Barat dalam wacana antarabangsa.
Oleh itu, cerdik pandai dan pemimpin Rusia sendiri tidak lagi menganggap bangsa dan negara mereka sebagai sebahagian daripada Eropah atau Barat, tetapi sebagai ketamadunan tersendiri. Hal ini turut diungkapkan melalui konsep penting dalam wacana Rusia, iaitu Russian Soul, yang diinspirasikan antaranya melalui karya tokoh besar Rusia, Fyodor Dostoevsky (w. 1881).
Rusia hari ini juga giat memartabatkan nilai-nilai tradisional sebagai asas kepada tamadunnya—berbeza daripada nilai-nilai liberal Barat yang sering bersifat individualistik dan tidak bersempadan. Justeru, mereka menolak faham kebebasan tanpa batas dan menapis pengaruh kebudayaan media Barat yang bercanggah dengan nilai-nilai tradisi mereka.
Menariknya, apa yang dimaksudkan dengan “nilai-nilai tradisional” di Rusia tidak hanya terhad kepada agama Kristian Ortodoks, tetapi turut merangkumi nilai-nilai Islam yang diiktiraf secara rasmi sebagai sebahagian daripada makna-diri, sejarah dan budaya Rusia.
Antara nilai-nilai tersebut termasuklah penekanan kepada institusi kekeluargaan, yang berlawanan dengan faham individualisme dan gaya hidup yang mengabaikan struktur keluarga.
Selain itu, titik temu keilmuan antara Rusia dan Malaysia ialah pada pendekatan yang seimbang antara bidang-bidang Kemanusiaan dan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).
Komitmen Rusia terhadap keseimbangan ini, seperti yang digambarkan melalui institusi terulung keilmuan mereka iaitu Russian Academy of Sciences (yang juga menaungi Institute of Philosophy), amat berpadanan dengan kerangka keilmuan Islam dan Timur di Malaysia yang menekankan kesatuan antara pelbagai cabang ilmu.
Menariknya, pada tahun 2001, Russian Academy of Sciences telahpun memberi penghormatan kepada Profesor Diraja Terpuji Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas dengan satu pembentangan khas kepada para akademik Rusia, serta menterjemahkan karya besar beliau iaitu Prolegomena to the Metaphysics of Islam ke dalam bahasa Rusia (dengan tajuk Rusianya: Vveoenie V Metafizikv Islama).
Pada tahun lepas pula, Rusia telah menganjurkan suatu acara bersejarah buat pertama kali, iaitu Inventing the Future Symposium di Moscow (4–6 November 2024), yang digambarkan sebagai “platform dialog menyeluruh tentang masa depan dunia.”
Simposium ini dianjurkan oleh National Centre RUSSIA, sebuah pusat yang baru ditubuhkan di bawah arahan Presiden Vladimir Putin. Ia menghimpunkan wakil-wakil kerajaan dan sektor perniagaan, pemikir, cendekiawan, dan ahli seni dan kebudayaan, dengan tujuan merangka masa depan dunia berdasarkan pandangan peradaban masing-masing, dan bukannya ditentukan oleh segelintir kuasa besar sahaja.
Sebagai salah seorang ahli panel, saya menyaksikan kesungguhan Rusia dalam memberi takrifan kemajuan masa depan yang unik dalam konteks wacana global secara meyakinkan.
Melalui simposium ini, terlihat Rusia menganjurkan agar suatu falsafah masa depan (philosophy of the future) diunggapkan dengan baik, dan tidak semata-mata meniru sebarang gagasan masa depan yang dianjurkan oleh kuasa-kuasa besar lain.
Simposium ini bukan sekadar satu acara ilmiah, bahkan menjadi bukti peranan baharu Rusia sebagai pemimpin dalam wacana peradaban dunia, sekali gus mengisyaratkan masa depan yang lebih cerah dalam hubungan antara Rusia dan Dunia Islam.
Telahpun wujud saluran rasmi yang dicipta oleh Kerajaan Rusia untuk kerjasama dengan dunia Islam, iaitu Group of Strategic Vision Russia–Islamic World, dan Kazan Forum.
Melalui saluran ini, Malaysia memiliki kelebihan unik untuk menganjurkan wacana Islam yang bersifat dinamik — menjunjung tradisi keilmuan sambil mendepani cabaran moden.
Dengan warisan intelektual seperti yang digarap oleh institusi seperti Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk memperkukuh suara Dunia Islam dalam membentuk naratif alternatif global.
Malaysia juga mempunyai ekosistem ekonomi Islam yang boleh diketengahkan sebagai model Iqtisad yang berdaya-cipta — bukan sekadar sebagai sistem kewangan, tetapi sebagai kerangka ekonomi-peradaban (civilizational-economy) yang mengimbangkan keperluan kebendaan, etika, dan kesejahteraan individu.
Allahyarham Prof. Diraja Ungku Aziz pernah menegaskan:
“Mesti dikaji dalam Qur’an dan hadith. Apakah dia prinsip-prinsip ini (merujuk kepada ekonomi Islam) sebenarnya dan juga kita harus mengkaji sejarah Islam di zaman gilang-gemilang di Timur Tengah, di Baghdad, di Samarkand, dan juga Islam di Sepanyol dalam kurun ke sepuluh misalnya. Apa pengalaman dia dan daripada sejarah ini boleh kita lihat, boleh ataupun tidak kita dirikan satu model.”
Dalam dunia yang semakin resah dengan ketidakseimbangan global, Malaysia boleh muncul sebagai pelakar “jalan ketiga” — bukan Barat kapitalis, bukan Timur moden yang materialis, tetapi berdasarkan jalan peradaban Islam yang seimbang, adil, dan meluhurkan.