Sidang Kemuncak ASEAN 2025 yang berlangsung baru-baru ini telah membuka lembaran baharu dalam kerjasama ekonomi serantau. Dalam suasana pasca-pandemik yang mencabar dengan gangguan rantaian bekalan, inflasi, dan ketegangan geopolitik, ASEAN muncul bukan sahaja sebagai peneraju integrasi ekonomi tetapi juga sebagai suatu manifestasi tunjang kestabilan serantau.
Dalam konteks ini, tiga perkara utama mendapat perhatian khusus: Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), hubungan yang semakin mendalam dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) serta jaringan perdagangan rentas sempadan bersama China.
RCEP: Peluang Ekonomi Strategik
Dengan liputan hampir 30% KDNK global, RCEP dijangka meningkatkan ekonomi Malaysia sebanyak RM16 bilion setahun, selain melonjakkan eksport negara ke pasaran negara anggota sebanyak RM21 bilion setahun. RCEP juga merupakan satu-satunya perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang menggabungkan tiga kuasa ekonomi utama Asia Timur — China, Jepun dan Korea Selatan — dalam satu kerangka serantau.
Ini menjadikannya sebuah platform yang unik dan strategik untuk integrasi ekonomi serantau, terutamanya dalam konteks pengukuhan rantaian bekalan dan pelaburan rentas sempadan. Ia juga sekaligus meningkatkan daya saing sektor eksport, memperkukuhkan keterangkuman perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta memperluas capaian pasaran tanpa tarif ke negara-negara berpendapatan tinggi.
Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), 90% barangan keluaran Malaysia menikmati tarif lebih rendah, menjadikan produk tempatan lebih berdayasaing di peringkat antarabangsa. Peranan ASEAN sebagai blok tengah dalam RCEP bertindak sebagai pengimbang strategik antara negara-negara maju dan membangun di rantau Asia Pasifik. Dalam konteks ini, Malaysia boleh memainkan peranan sebagai ‘gateway’ — pintu masuk ke pasaran ASEAN untuk pelabur luar, terutamanya dalam sektor berteknologi tinggi, industri halal, tenaga hijau, dan ekonomi digital.
Namun, Malaysia harus berwaspada dengan kemungkinan peningkatan import produk perkilangan dari negara maju seperti Jepun dan Korea Selatan. Justeru, kerajaan perlu memperkukuh daya saing industri domestik, khususnya sektor PKS dan teknologi tinggi.
ASEAN–GCC: Membina Jambatan Ekonomi dan Budaya
Dalam perkembangan terbaharu, negara-negara Teluk seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Qatar sedang giat melaksanakan dasar diversifikasi ekonomi pasca-minyak, dan melihat ASEAN sebagai rakan ideal yang menawarkan populasi besar serta pasaran berkembang. Deklarasi Bersama ASEAN–GCC menyerlahkan komitmen kedua-dua pihak dalam bidang pelaburan, perdagangan, tenaga hijau dan keselamatan makanan.
Rangka Kerja Kerjasama ASEAN–GCC 2024–2028 pula menjadi panduan strategik yang membuka peluang besar untuk Malaysia, khususnya dalam sektor halal, kewangan Islam, dan infrastruktur rentas benua. Kelebihan budaya dan sejarah menjadikan Malaysia pintu masuk utama bagi pelaburan GCC di rantau Asia Tenggara. Syarikat-syarikat Malaysia seperti PETRONAS, Sime Darby dan UEM, yang telah bertapak kukuh di Timur Tengah, boleh memainkan peranan strategik untuk memperkukuh hubungan ekonomi dua hala ini.
Hubungan ASEAN–China: Peluang Strategik, Cabaran Geopolitik
Dalam perkembangan lain, China masih mengekalkan statusnya sebagai rakan dagang terbesar ASEAN selama lebih daripada satu dekad, dengan nilai dagangan tahunan melebihi AS$900 bilion. Sebagai anggota RCEP dan dalam hubungan dua hala seperti ACFTA serta Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), China memainkan peranan berganda dalam membentuk landskap ekonomi serantau.
ACFTA 3.0, yang dimeterai pada 2025, memperluas kerjasama ke dalam bidang-bidang strategik seperti ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui, dan standard hijau rentas sempadan. Usaha ini memperlihatkan komitmen bersama ke arah integrasi ekonomi yang lebih mapan dan berdaya saing.
Namun, kebergantungan berlebihan kepada satu kuasa besar dari segi perdagangan, pelaburan mahupun teknologi boleh mengundang risiko strategik. Isu seperti ketidakseimbangan dagangan, ketelusan projek, dan pengaruh geopolitik yang terlalu berat sebelah perlu ditangani secara berhati-hati.
Semasa lawatannya ke Kuala Lumpur baru-baru ini, Perdana Menteri China, Li Qiang, turut menyeru kepada penghapusan halangan perdagangan dan pengukuhan sistem perdagangan multilateral. Seruan ini sejajar dengan pendirian Malaysia yang konsisten menyokong peraturan global yang adil dan telus.
Malaysia sebagai Pemimpin Serantau
Malaysia tidak boleh sekadar menjadi pemerhati dalam dinamik baharu ini. Negara ini mesti tampil sebagai pemimpin serantau melalui diplomasi ekonomi proaktif, memperkukuh struktur domestik, dan mempercepatkan inovasi dalam sektor strategik.
Langkah kritikal termasuk memperkasakan tenaga kerja menerusi pendidikan dan latihan teknikal, membangunkan ekonomi digital dan hijau, serta mengukuhkan peranan PKS dalam rantaian nilai global. Ini selaras dengan sasaran strategik negara untuk menjadi ekonomi berdaya tahan dan inklusif menjelang 2030.
Dalam konteks ini, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 berperanan penting untuk mengekalkan prinsip kepusatan ASEAN (ASEAN centrality) dan keseimbangan strategik antara pelbagai kuasa besar — termasuk Amerika Syarikat, Jepun, India dan Kesatuan Eropah. Pendekatan ini penting untuk memastikan ASEAN kekal sebagai zon perdagangan terbuka, berkecuali, dan stabil.
Masa Depan ASEAN Terletak pada Tindakan Hari Ini
Dalam dunia yang semakin berpecah akibat blok perdagangan dan ketegangan geopolitik, ASEAN perlu kekal sebagai zon aman, berkecuali dan terbuka — dengan Malaysia sebagai antara tonggaknya. RCEP memberi kita kekuatan ekonomi; hubungan dengan GCC memberi kita jaringan budaya dan pelaburan baharu; manakala China memberi kita peluang perdagangan berskala besar.
Namun semua ini hanya akan bermakna jika ASEAN kekal bersatu, dan Malaysia berani memimpin. Di sinilah letaknya nilai sebenar kepusatan ASEAN (ASEAN centrality) yang bukan sekadar idea dalam persidangan, tetapi strategi nyata dalam membentuk masa depan ekonomi serantau dan global.