Insiden pemandu cuai yang meragut nyawa sering meninggalkan luka mendalam. Saranan Sahibus Samahah Ustaz Ahmad Fauwaz bin Fadzil selaku Mufti Wilayah Persekutuan baru-baru ini agar pemandu yang menyebabkan kematian sedemikian menunaikan Kaffarah dengan berpuasa dua bulan berturut-turut selain hukuman sivil yang bakal dikenakan telah membuka wacana penting dalam masyarakat. Perkara ini menjemput kita untuk menelusuri hikmah di sebalik denda penebus dosa ini dan hubungannya dalam kerangka keadilan hari ini.
Apabila berlaku satu kesalahan seperti pembunuhan tidak sengaja, kita dapat melihatnya dari tiga sudut yang saling melengkapi, bukan saling menafikan. Memahami perbezaan ini adalah kunci untuk melihat keindahan sistem perundangan syariah dan sivil yang diamalkan di Malaysia.
Pertama, Hak Allah SWT (Hablum Minallah) ditebus dengan Kaffarah. Secara umumnya, al-Kaffarah diambil daripada perkataan al-Kafru. Dari segi bahasa, ia bermaksud menutup. Ini kerana ia menutup dosa sebagai keringanan daripada Allah SWT. Sementara dari segi istilah pula kaffarah bermaksud perbuatan yang boleh menghapuskan dosa sama ada memerdekakan hamba, bersedekah atau berpuasa dengan syarat-syarat tertentu. Fokus utamanya adalah pembersihan rohani pelaku, manifestasi taubat nasuha dan memulihkan hubungan hamba dengan Penciptanya.
Kedua adalah Hak Manusia (Hablum Minannas) yang diselesaikan dengan Diyat. Diyat ialah pampasan berbentuk harta yang wajib dibayar kepada waris mangsa sebagai ganti rugi atas kehilangan nyawa atau kecederaan fizikal. Tujuannya adalah untuk memberi keadilan kepada mangsa dan keluarganya serta meredakan persengketaan.
Ketiga adalah Hak Negara atau masyarakat yang dikuatkuasakan melalui undang-undang sivil dan jenayah. Di Malaysia, contohnya, kesalahan pemanduan cuai yang menyebabkan kematian disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987. Pelaku boleh didakwa di bawah Seksyen 41(1) akta tersebut kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu atau membahayakan yang membawa hukuman penjara, denda yang berat dan hilang kelayakan lesen memandu.
Dalam kes pemandu cuai, ketiga-tiganya berjalan serentak. Hukuman penjara adalah hak negara, bayaran Diyat (jika dituntut) adalah hak waris dan puasa Kaffarah adalah kewajipan peribadi pelaku untuk menebus dosanya kepada Allah.
Selain Akta Pengangkutan Jalan 1987, beberapa undang-undang lain turut memperkukuh hujah tiga dimensi keadilan di Malaysia. Kanun Keseksaan (Akta 574), khususnya Seksyen 304A, menetapkan hukuman bagi kesalahan menyebabkan kematian dengan cuai, sejajar dengan Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan, menegaskan peranan negara dalam menghukum kecuaian yang meragut nyawa sebagai Hak Negara. Di samping itu, Akta Undang-Undang Sivil 1956 (Akta 67) melalui Seksyen 7, membenarkan waris mangsa menuntut ganti rugi atau pampasan di mahkamah sivil akibat kecuaian. Ini selari dengan falsafah Diyat dan mewakili Hak Manusia, di mana keluarga mangsa berhak menerima pampasan atas kerugian yang dialami.
Tambahan pula, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri-Negeri mengiktiraf konsep Kaffarah bagi kesalahan tertentu seperti Zihar, menunjukkan bahawa Kaffarah sudah sebati dalam sistem perundangan syariah di Malaysia. Undang-undang ini secara kolektif menggariskan tanggungjawab holistik seorang pemandu Muslim yang cuai sehingga menyebabkan kematian, merangkumi hukuman jenayah, tuntutan sivil dan kewajipan agama untuk menunaikan Kaffarah.
Kewajipan kaffarah dalam Islam melangkaui fungsi hukuman semata-mata tetapi berakar kukuh dalam kerangka Maqasid Syariah yang bertujuan menjamin kemaslahatan insaniyyah secara menyeluruh. Antara matlamat tertinggi yang dipelihara melalui kefarduan kaffarah ialah penjagaan agama (hifz al-din). Dalam konteks pelanggaran sumpah atau pembatalan puasa Ramadan secara sengaja, kewajipan kaffarah bukan sahaja menekankan kesucian syiar-syiar agama, bahkan mendidik umat agar tidak mempermainkan janji yang diikrarkan atas nama Allah serta memelihara kesungguhan dalam ibadah yang telah disyariatkan.
Dalam kes pembunuhan tidak sengaja, objektif maqasid yang paling dominan ialah pemeliharaan nyawa (hifz al-nafs). Kewajipan berpuasa selama dua bulan berturut-turut meskipun merupakan ibadah yang berat dan memerlukan ketekunan rohani yang tinggi adalah manifestasi simbolik terhadap kesucian nyawa manusia yang tidak boleh digadaikan walau tanpa niat. Anugerah Ilahi berupa nyawa menuntut penghormatan yang tidak boleh bertolak ansur dengan kelalaian atau kezaliman sama ada disengajakan atau tidak.
Imam ‘Izz al-Dīn Ibn ‘Abd al-Salām dalam Qawaʿid al-Ahkam fi Masalih al-Anam meletakkan pemeliharaan nyawa sebagai keutamaan tertinggi dalam hirarki maqasid, mengatasi pemeliharaan anggota badan, kemaluan, dan harta. Justeru, kaffarah pembunuhan tidak sengaja merupakan satu bentuk penyucian jiwa yang selaras dengan keutamaan maqasid tertinggi.
Selain itu, kaffarah juga berperanan dalam menjamin kehormatan dan kelestarian keturunan (hifz al-nasl). Dalam kes zihar yakni apabila seorang suami menyamakan isterinya dengan ibunya, kewajipan kaffarah dikenakan sebagai suatu bentuk pemulihan maruah isteri dan perlindungan terhadap institusi perkahwinan yang suci. Tindakan simbolik yang memperlekeh martabat seorang isteri itu dianggap suatu pencemaran terhadap struktur keluarga dan kaffarah ditetapkan sebagai peringatan serta penghalang kepada kezaliman batin yang tersembunyi.
Kerangka maqasid yang menyentuh pemeliharaan akal (hifz al-ʿaql) dan harta (hifz al-mal), kaffarah yang melibatkan pemberian makanan atau pakaian kepada fakir miskin bukan sahaja membersihkan kesalahan individu, tetapi turut menghubungkan dosa peribadi dengan tanggungjawab sosial. Kaffarah berperanan sebagai madrasah rohani yang mendidik jiwa dengan empati, menundukkan ego dan membersihkan harta melalui pemberian. Maka jelaslah, kaffarah dalam Islam adalah instrumen tarbiah dan pemulihan, bukan semata-mata hukuman bahkan selari dengan roh keadilan syariat dan cita-cita luhur Maqasid Syariah.
Para fuqaha’ sepakat bahawa kaffarah merupakan satu kewajipan syarak yang dikenakan bagi beberapa bentuk kesalahan tertentu. Antara bentuk kaffarah yang utama ialah kaffarah bagi pembunuhan tidak sengaja.Seseorang yang melakukan perbuatan ini diwajibkan membebaskan seorang hamba yang beriman. Sekiranya tidak berkemampuan, dia wajib menunaikan puasa selama dua bulan berturut-turut. Ketetapan ini bersumber daripada firman Allah dalam Surah al-Nisā’ ayat 92, yang secara jelas menegaskan betapa agung dan sucinya nilai nyawa manusia. Kaffarah ini bukan sahaja menzahirkan keinsafan terhadap kesilapan yang berlaku tanpa niat, malah menjadi mekanisme spiritual untuk memulihkan hubungan antara pelaku dan nilai kemanusiaan sejagat yang tercedera.
Kaffarah juga dikenakan dalam kes zihar iaitu apabila seorang suami menyamakan isterinya dengan ibunya. Perbuatan ini dianggap sebagai penghinaan terhadap maruah isteri dan pencemaran terhadap institusi perkahwinan yang suci. Syariat mewajibkan pelaku sama ada memerdekakan seorang hamba atau berpuasa dua bulan berturut-turut jika tidak mampu. Sekiranya masih tidak berdaya, alternatif terakhir adalah memberi makan kepada 60 orang miskin. Ketegasan kaffarah ini mencerminkan keprihatinan Islam terhadap pemeliharaan kehormatan keluarga (hifz al-nasl) dan kestabilan rumahtangga.
Bentuk kaffarah yang seterusnya berkaitan dengan hubungan seksual pada siang hari di bulan Ramadan iaitu satu bentuk pelanggaran yang mencemar kesucian ibadah puasa. Berdasarkan hadis yang masyhur, pelaku diwajibkan memerdekakan seorang hamba. Jika tidak mampu, hendaklah berpuasa dua bulan berturut-turut dan jika itu juga di luar kemampuannya, maka memberi makan kepada 60 orang miskin menjadi pilihan terakhir. Kefarduan ini tidak hanya menekankan pemulihan ibadah yang tercemar, tetapi juga menjadi alat didikan rohani bagi menanamkan rasa hormat terhadap bulan yang dimuliakan.
Akhir sekali, kaffarah turut dikenakan bagi pelanggaran sumpah. Sesiapa yang melanggar sumpahnya diwajibkan memberi makan kepada sepuluh orang miskin, atau memberikan pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang hamba. Jika kesemuanya tidak mampu dilaksanakan, maka wajiblah dia berpuasa selama tiga hari. Ketentuan ini menunjukkan bahawa sumpah dalam Islam bukanlah perkara remeh, sebaliknya satu komitmen yang membawa beban moral dan tanggungjawab syar‘i. Kaffarah dalam konteks ini bertujuan memulihkan kepercayaan terhadap nilai amanah dan menjaga kesucian lafaz yang diungkap atas nama Allah.
Dalam dunia moden ini sudah tentu tidak mungkin seseorang itu dapat memerdekakan hamba kerana sistem perhambaan telah dihapuskan. Islam adalah agama yang syumul dan sentiasa menawarkan solusi mengikut zaman yang kian hari kian bergerak pantas dan penuh kemajuan.
Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulum al-Din menekankan bahawa Kaffarah bukan sekadar ritual fizikal, tetapi proses penyucian jiwa (tazkiyah al-nafs). Beban yang dirasai ketika berpuasa atau mengeluarkan harta adalah untuk mendidik nafsu agar serik dan tunduk kepada perintah Allah.
Dalam dunia moden, Kaffarah kekal relevan dengan menawarkan satu dimensi keadilan spiritual yang tidak dapat disentuh oleh undang-undang sivil kerana hukuman ini mendidik setiap insan dan setiap tindakan insan membawa akauntabiliti di dua mahkamah: mahkamah dunia dan Mahkamah Agung di sisi Allah SWT.
Kaffarah bukanlah jalan pintas untuk menghalalkan dosa, tetapi sebuah jambatan taubat yang dibina atas penyesalan, tanggungjawab dan usaha untuk menjadi insan yang lebih baik. Ia adalah manifestasi syariat yang tidak hanya menghukum, tetapi juga memulih, mendidik dan membersihkan demi mengembalikan manusia kepada fitrahnya yang suci.