Dalam era globalisasi dan perkembangan teknologi yang pesat, isu sekuriti makanan dan kelestarian sumber menjadi agenda utama masyarakat dunia. Teknologi sintetik dalam sains makanan muncul sebagai salah satu di antara inovasi terkini yang berpotensi merevolusikan cara manusia menghasilkan, memproses dan mengambil makanan. Bagi umat Islam, perkembangan ini bukan sahaja menimbulkan persoalan kesihatan dan alam sekitar tetapi juga cabaran dari segi hukum syarak, etika dan nilai.
Dunia menyaksikan kemunculan pelbagai teknologi makanan seperti daging kultur (cultured meat), makanan berasaskan tumbuhan (plant-based meat), protein alternatif, teknologi pengawetan makanan melalui bahan tambahan (food additives) serta sistem pencetakan makanan 3D. Teknologi ini direka bukan sahaja untuk memenuhi keperluan permintaan makanan global yang semakin meningkat malah bagi mengatasi isu kekurangan tanah, pencemaran alam sekitar dan penyakit berjangkit daripada ternakan.
Daging kultur merupakan satu pendekatan inovatif untuk penghasilan daging melalui pertumbuhan sel stem haiwan yang dilaksanakan di makmal. Perkembangan ini dikatakan menjadi solusi kepada jaminan bekalan makanan, pengurangan gas rumah hijau dan isu kebajikan haiwan. Namun, penerimaan terhadap produk tersebut dalam kalangan masyarakat Islam masih menjadi perdebatan hangat dari sudut kehalalan, pertimbangan etika dan kesannya terhadap kesihatan jangka panjang.
Walaupun teknologi sintetik menjanjikan kecekapan dalam pengeluaran makanan, namun masih mencetuskan kebimbangan terhadap potensi dan risiko kesihatan. Antaranya ialah risiko genotoksisiti (kerosakan DNA), karsinogenik (berkaitan kanser), alahan dan hipersensitiviti. Tambahan pula, isu penggunaan bahan tambahan sintetik dalam makanan seperti pewarna, pengawet dan pemanis tiruan semakin meningkat dan membimbangkan.
Di sinilah pentingnya kajian lanjut dijalankan secara komprehensif dari sudut perubatan, toksikologi dan pemakanan untuk memastikan keselamatan jangka panjang produk-produk baharu yang melalui revolusi tersebut. Maklumat yang sahih dan telus juga perlu sampai kepada pengguna agar mereka dapat membuat pilihan makanan yang lebih bertanggungjawab dan bermaklumat.
Salah satu cabaran yang masih berlarutan sehingga kini ialah isu sistem kod E yang digunakan secara meluas untuk mengenal pasti bahan tambahan dalam makanan. Walaupun sistem ini diperkenalkan oleh Kesatuan Eropah (EU) dan disokong oleh Codex Alimentarius, ramai umat Islam masih keliru mengenainya kerana terdapat kod yang dikatakan berasaskan sumber haiwan tidak halal seperti babi.
Dominasi penyebaran maklumat yang tidak tepat menyumbang kepada kekeliruan serius dan tahap kebimbangan yang melampau dalam kalangan pengguna Muslim. Realitinya, tidak semua kod E merujuk kepada bahan yang haram malah ada yang bersumberkan tumbuhan atau dihasilkan secara sintetik. Oleh itu, kerjasama erat antara pakar sains makanan, pakar fiqh dan badan pensijilan halal adalah sangat penting bagi memastikan penilaian yang telus serta penjelasan yang berautoriti mengenai status sebenar bahan tersebut.
Di samping itu, sebarang inovasi dalam makanan moden perlu diteliti menerusi lensa syariah. Prinsip halalan tayyiban khususnya sudut kehalalan dari segi hukum dan baik dari segi kualiti serta manfaat perlu menjadi kayu ukur utama dalam menentukan keharusan sesuatu makanan bagi umat Islam.
Maqasid syariah yang menjadi matlamat utama dalam pensyariatan Islam merangkumi pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Maka dalam konteks makanan baharu, aspek keselamatan dan kesihatan, pendedahan terhadap bahan meragukan serta sumber penghasilan makanan perlu dinilai secara menyeluruh dalam kerangka maqasid syariah. Contohnya dalam penghasilan daging kultur daripada sel haiwan yang tidak disembelih secara syarak maka status kehalalan produk dan proses transformasi yang berlaku perlu dirujuk kepada hukum asal haiwan tersebut serta mesti menepati landasan Islam yang telah digariskan.
Dalam hal ini, pendekatan ijtihad secara kolektif antara ulama, saintis dan pakar teknologi makanan amat penting bagi mengeluarkan pandangan yang rajih dan telus bersesuaian dengan realiti semasa.
Salah satu langkah penting dalam menangani isu ini adalah meningkatkan kesedaran pengguna Muslim. Masyarakat perlu dididik untuk memahami teknologi sintetik, penggunaan dan kesannya terhadap diri, masyarakat dan alam sekitar. Justeru, tanggungjawab sosial pengguna Muslim dalam era bioteknologi bukan sekadar memilih yang halal dan meninggalkan yang haram tetapi turut perlu memahami latar belakang dan kaedah penghasilan serta potensi risiko kesihatan. Hal ini menuntut suatu pendekatan yang menyeluruh dan berasaskan maklumat yang mencukupi, penilaian yang bersifat kritis dan kerjasama pelbagai pihak. Kesedaran yang tinggi serta tindakan yang bijaksana akan memastikan umat Islam tidak ketinggalan dalam arus perubahan saintifik di samping kekal menjaga integriti agama dan kelestarian hidup.
Institusi pendidikan, badan pensijilan halal, NGO pengguna serta agensi kerajaan juga perlu berganding bahu mendidik masyarakat menerusi saluran yang bersesuaian. Aplikasi mudah alih, laman sesawang interaktif dan media sosial boleh dijadikan alat efektif untuk menyebarkan maklumat yang tepat, jelas dan telus.
Teknologi makanan moden bukan lagi isu masa depan kerana kita sedang berdepan dan sudah berlaku pada hari ini. Bagi umat Islam, cabaran ini harus dihadapi dengan ilmu, hikmah dan iman. Penolakan teknologi secara membuta tuli bukanlah satu solusi sebaliknya keterbukaan yang berpandukan nilai Islam merupakan jalan terbaik. Justeru, sokongan kepada pembangunan aplikasi halal digital daripada semua pihak khususnya pakar dan professional bidang AI (artificial intelligence) amat penting selaras dengan perkembangan teknologi semasa. Dengan itu, umat Islam bukan sahaja mampu menyesuaikan diri dengan perubahan dunia malah turut menyumbang dalam menentukan hala tuju industri makanan halal global secara etika, lestari dan patuh syariah.