Dalam dunia penjagaan kesihatan, jururawat bukan sahaja tunjang kepada sistem rawatan pesakit, malah penjaga kemanusiaan yang melaksanakan amanah dengan penuh ihsan. Namun, pelaksanaan dasar baharu 45 jam seminggu untuk jururawat awam mencetuskan pelbagai persoalan — bukan sekadar dari sudut beban kerja, tetapi juga dari sisi etika Islam, keseimbangan hidup, dan keperluan dasar yang berperikemanusiaan.
Statistik Yang Membimbangkan
Kajian oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapati 53 peratus jururawat di hospital kerajaan mengalami tekanan tinggi, manakala lebih 30 peratus menunjukkan tanda kemurungan dan gangguan tidur. Hampir satu daripada empat jururawat mengalami simptom keletihan melampau atau lesu upaya, dengan risiko besar terhadap keselamatan pesakit. Kesilapan rawatan, hilang empati dan kurang fokus adalah antara impaknya. Apabila dibandingkan dengan negara seperti Sweden dan Belanda yang menitikberatkan kesejahteraan mental jururawat melalui waktu kerja anjal dan program sokongan, kadar lesu upaya di Malaysia (24.4 peratus) adalah lebih dua kali ganda purata global (11.2 peratus). Justeru, persoalannya ialah, adakah sistem sokongan juga akan ditambahbaik sejajar dengan pertambahan waktu kerja yang diwajibkan?
Hijrah Cendikiawan: Akibat yang Makin Ketara
Kesatuan jururawat, aktivis kesihatan, dan ahli parlimen Pulai, Suhaizan Kayat menegaskan bahawa langkah ini akan mengundang lebih ramai jururawat untuk berhenti, berpindah ke sektor swasta atau berhijrah ke luar negara – situasi yang sudah pun berlaku dalam skala membimbangkan. Lebih 5,000 jururawat telah berhijrah ke luar negara dalam lima tahun kebelakangan ini. Selain gaji dan kemudahan, punca utama mereka ialah beban kerja yang melampau dan kurangnya ruang untuk kehidupan keluarga. Akibatnya, sistem kesihatan negara berisiko lumpuh dengan kekosongan jawatan, mutu rawatan merosot, dan tekanan bertambah kepada mereka yang tinggal.
Dimensi Kekeluargaan yang Terjejas
Jururawat bukan sahaja berperanan di hospital, tetapi juga sebagai ibu, isteri dan ahli keluarga. Kajian Universiti Malaya mendapati hampir 22 peratus jururawat yang berumah tangga menghadapi konflik perkahwinan akibat jadual kerja tidak menentu dan lapan peratus mengalami perceraian dalam lima tahun pertama bekerja. Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan peningkatan 12 peratus kadar perceraian dalam kalangan wanita sektor kesihatan antara 2018 hingga 2022.
Islam menitikberatkan hifz al-nasl (penjagaan keturunan) sebagai salah satu maqasid syariah. Institusi keluarga yang terganggu akibat tekanan kerja adalah petanda bahaya kepada masyarakat secara keseluruhan.
Jururawat dalam Perspektif Islam
Dalam Islam, tugas jururawat adalah satu bentuk ibadah dan perkhidmatan kemanusiaan. Mereka menzahirkan nilai rahmah, ihsan dan amanah terhadap insan yang lemah dan sakit. Perkhidmatan jururawat adalah fardu kifayah, dan tanggungjawab masyarakat untuk memastikan mereka tidak dibebani di luar kemampuan. Prinsip amanah dan adab — menjaga maruah pesakit, menunaikan tugas dengan ikhlas — adalah elemen penting dalam etika kejururawatan Islam. Dasar kerja yang mengabaikan keupayaan manusiawi menyalahi prinsip ini.
Sabda Rasulullah SAW: “Barangsiapa yang meringankan kesusahan seorang mukmin dari kesusahan dunia, Allah akan meringankan kesusahannya di akhirat.” (Riwayat Muslim)
Tokoh awal seperti Rufaidah binti Sa’ad telah menunjukkan bahawa jururawat dihormati sejak zaman Rasulullah, bahkan diberikan ruang khas di Masjid Nabawi sebagai pusat rawatan.
Maqasid Syariah sebagai Penilai Dasar
Pelaksanaan dasar waktu kerja 45 jam seminggu mesti dinilai berdasarkan maqasid syariah. Antaranya:
- Hifz al-Nafs (Menjaga Nyawa): Jururawat yang keletihan berisiko membuat kesilapan rawatan yang boleh membahayakan nyawa.
- Hifz al-‘Aql (Menjaga Akal): Tekanan kerja melampau boleh menjejaskan kesihatan mental jururawat.
- Hifz al-Nasl (Menjaga Keturunan): Masa kerja yang tidak seimbang menyebabkan keruntuhan fungsi kekeluargaan.
Islam menetapkan prinsip bahawa beban tidak boleh melebihi kemampuan insan. Firman Allah SWT: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Surah al-Baqarah: 286)
Meneladani Ketokohan Tun Ahmad Sarji: Penjawat Awam sebagai Amanah Negara
Dalam menangani isu kesejahteraan jururawat, kita wajar meneladani pandangan dan falsafah pentadbiran yang pernah dibawa oleh Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, mantan Ketua Setiausaha Negara yang amat disegani. Beliau sering menegaskan bahawa penjawat awam bukan sekadar pelaksana dasar, tetapi pemegang amanah yang memacu pembangunan negara. Dalam ucapannya yang berwawasan, beliau pernah menyebut:
“Penjawat awam bukan sekadar pelaksana dasar, tetapi pemangkin kemajuan negara. Keikhlasan, kesetiaan dan dedikasi mereka adalah nadi kepada kestabilan dan kesejahteraan rakyat.”
Pandangan ini amat relevan dalam konteks jururawat — golongan yang berada di barisan hadapan, memikul tanggungjawab besar bukan hanya kepada pesakit, malah kepada keselamatan sistem kesihatan negara secara keseluruhan. Justeru, sebarang dasar berkaitan waktu kerja dan beban tugas harus disandarkan kepada prinsip keinsanan, penghargaan dan keseimbangan agar keikhlasan, kesetiaan dan dedikasi mereka kekal terpelihara— sejajar dengan semangat perkhidmatan awam yang dibudayakan oleh Tun Ahmad Sarji.
Harapan Baharu: Kepimpinan yang Prihatin dan Reformasi yang Berperikemanusiaan
Dalam menghadapi cabaran sistem kesihatan awam yang semakin kompleks, pelantikan Dr. Mahathar Abdul Wahab sebagai Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia yang baharu pada 29 Mei lalu adalah tepat pada waktunya. Dengan latar belakang dalam perubatan kecemasan dan pengalaman luas dalam kepimpinan klinikal serta dasar kesihatan, beliau membawa harapan baharu bahawa sistem kesihatan negara dapat dipulihkan daripada kepincangan struktural yang telah sekian lama membebani para petugas kesihatan, khususnya jururawat. Dengan gandingan bersama Menteri Kesihatan Dr. Dzulkifli Ahmad, rakyat menaruh harapan agar suara jururawat akan lebih didengari, dan reformasi akan mula bertitik tolak daripada prinsip kemanusiaan.
Adalah diharapkan bahawa dasar waktu kerja, keseimbangan hidup-kerja, dan sistem sokongan psikososial akan diberi perhatian serius dan dilaksanakan secara menyeluruh – yang mengiktiraf jururawat bukan sebagai ‘alat’ atau ‘jentera’ semata-mata, tetapi juga sebagai insan seperti kita, yang mempunyai kudrat yang terhad dan perlukan ruang untuk diri sendiri dan keluarga. Dengan menggabungkan prinsip Islam dan keperluan dasar moden, kita dapat mencipta sistem kesihatan yang bukan sahaja cekap, tetapi juga adil dan berperikemanusiaan.