“Sekatan berterusan yang dikenakan Israel terhadap kemasukan bantuan ke Gaza berserta serangan ketenteraan yang dilancarkan tanpa henti boleh dianggap sebagai penggunaan kebuluruan sebagai kaedah peperangan – yang merupakan jenayah perang.” – Volker Turk, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi PBB.
Serangan atas Gaza sejak Oktober 2023 mencatat jumlah korban dan kecederaan yang amat tinggi dan ia terus meningkat saban hari. Lebih tragik, hampir dua juta penduduk Gaza kini berdepan ancaman kebuluran dan terperangkap dalam wilayah yang dikepung sepenuhnya oleh rejim Zionis. Sekatan darat, laut, dan udara yang dikenakan sejak Jun 2007 oleh rejim Zionis, iaitu bermula dengan pengambilaihan pentadbiran Gaza oleh Hamas, menjerumuskan rakyatnya ke dalam krisis kemanusiaan terburuk abad ini.
Lebih memilukan usaha penduduk Gaza mendapatkan bantuan melalui mekanisme Gaza Humanitarian Foundation (GHF) yang diselaraskan Amerika Syarikat serta Israel seolah-olah permainan maut. Program pengagihan bantuan yang mula beroperasi pada 27 Mei lalu dikritik pegawai PBB kerana berpotensi mencetuskan lebih banyak keganasan. Tidak hairanlah rakyat Gaza mengungkap bahawa risiko ke pusat bantuan adalah lebih besar berbanding kebuluran itu sendiri. Setiap langkah menuju pusat pengagihan bantuan berkemungkinan yang terakhir disebabkan mereka terdedah pada serangan udara dan tembakan penembak tepat Israel. Tambah menyedihkan, bantuan makanan yang diterima juga amat tidak mencukupi, menjadikan situasi ini satu bentuk kezaliman terang-terangan terhadap maruah manusia.
Sikap berdiam diri sebahagian besar pemimpin dunia terhadap kekejaman yang berterusan atas penduduk Gaza amat menjengkelkan. Dalam suasana suram inilah masyarakat awam dari seluruh dunia mula bangkit, bukan dengan senjata, tetapi melalui tekad dan semangat untuk memecahkan pengepungan atas Gaza. Salah satu simbol kebangkitan dan kesatuan masyarakat dunia demi pemebasan Palestin ialah misi kemanusiaan melalui laut, iaitu Freedom Flotilla. Pada tahun 2008, dua buah bot daripada Free Gaza Movement berjaya sampai ke Gaza, menandakan kejayaan pertama memecahkan sekatan laut Israel. Gerakan ini yang diasaskan pada tahun 2006 oleh aktivis semasa perang Israel ke atas Lubnan, telah melancarkan 31 buah bot antara tahun 2008 hingga 2016, lima daripadanya berjaya tiba di Gaza meskipun berhadapan sekatan ketat oleh Israel.
Paling diingati ialah serangan berdarah ke atas kapal Mavi Marmara pada tahun 2010 oleh komando Israel di perairan antarabangsa. Serangan yang mengorbankan 10 orang aktivis dan mencederakan puluhan yang lain, mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa. Sejak itu, misi seperti Freedom Flotilla II (2011), Freedom Flotilla III (2015), Just Future for Palestine (2018), dan yang terkini, Break the Siege Conscience (2025) serta Madleen Freedom Flotilla (2025) terus dilancarkan, menandakan kesungguhan masyarakat awam untuk meruntuhkan tembok kebisuan antarabangsa.
Kempen bagi menghancurkan sekatan Israel atas Gaza disemarakkan lahi oleh Konvoi Sumud (Soumoud). “Sumud” ialah perkataan Arab yang bermaksud keteguhan, iaitu nilai yang sangat sinonim dengan semangat perjuangan rakyat Palestin yang tidak tunduk pada penjajahan. Konvoi Sumud dilancarkan dari Tunisia dan berarak merentasi Afrika Utara disertai peserta dari Tunisia, Algeria, Mauritania, Libya dan Maghribi. Misi yang sama juga disasarkan oleh Global March to Gaza yang disertai oleh lebih 4,000 orang aktivis daripada lebih 80 buah negara. Malang sekali aktivis Konvoi Sumud dan Global March to Gaza menghadapi penentangan yang sungguh menyedihkan. Konvoi Sumud misalnya tidak diberikan kebenaran untuk melalui wilayah Libya Timur tanpa kebenaran rasmi daripada pihak berkuasa Mesir. Sementara itu, aktivis Global March to Gaza bukan sahaja menghadapi sekatan oleh Kerajaan Mesir bahkan mereka juga ditahan atau dihantar pulang, disakiti dan dikasari oleh warga tempatan sehingga mengalami kecederaan. Meskipun menghadapi pelbagai rintangan, gabungan Freedom Flotilla, Konvoi Sumud, dan Global March to Gaza berjaya menyalakan semula penyatuan global dan menyampaikan mesej kepada rakyat Gaza bahawa mereka tidak dibiarkan bersendirian. Setiap halangan yang ditempuh, membolehkan perancangan disusun dengan lebih rapi. Sebagaimana ditegaskan Saif Abukeshek, Pengerusi Bersama, Jawatankuasa Penyelarasan Global March to Gaza, “Segala usaha untuk menghentikan genosid ini mesti diterokai, termasuk langkah yang mungkin kelihatan amat mencabar.“
Kobaran semangat aktivis di seluruh dunia jelas semakin besar. Hal ini terbukti melalui The 1000 Flotilla Initiative yang dilancarkan MAPIM pada 13 Jun 2025. Inisiatif berkenaan berhasrat menghimpunkan 1,000 kapal awam dari seluruh dunia untuk menentang sekatan laut Israel secara aman. Kempen ini sedang menggerakkan penyertaan organisai kemanusiaan dan masyarakat sivil antarabangsa, komuniti keagamaan dan rangkaian antara agama, kesatuan sekerja, pekerja maritim, golongan pelajar, dan pembela hak asasi manusia dari segenap benua. Kebangkitan masyarakat sivil global ini merupakan reaksi langsung terhadap kegagalan sistem keadilan antarabangsa. Majlis Keselamatan PBB lumpuh oleh penggunaan kuasa veto secara berulang. Amerika Syarikat tanpa segan-silu menggunakan kuasa vetonya lebih 42 kali untuk menolak resolusi yang mengecam Israel, iaitu daripada jumlah keseluruhan 83 kali kuasa veto itu pernah digunakan. Selain itu, institusi kehakiman antarabangsa seperti Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) juga cuba ditekan oleh Amerika Syarikat dan United Kingdom, iaitu dengan mengenakan sekatan terhadap empat orang hakimnya. Tindakan itu dikatakan berkait secara langsung dengan keputusan ICC untuk menyiasat jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan yang berlaku di Palestin.
Oleh itu, kebangkitan dan kesedaran masyarakat global merupakan benteng terakhir untuk membela keadilan. Dalam dunia yang dipenuhi ketidakadilan, perjuangan rakyat biasa bebas daripada kepentingan kuasa serta sarat dengan nilai kemanusiaan sejati. Pengalaman sejarah membuktikan bahawa kebangkitan masyarakat dunia dapat menewaskan rejim yang menindas. Demikianlah yang berlaku kepada perjuangan menentang aparteid di Afrika Selatan. Kerajaan yang menindas majoriti kulit hitam di negara berkenaan akhirnya dapat ditumbangkan melalui aktivisme jangka panjang pada peringkat tempatan dan antarabangsa. Kebangkitan masyarakat dunia memberikan isyarat jelas bahawa Palestin umumnya dan Gaza khususnya tidak keseorangan. Di setiap pelosok dunia, jutaan manusia berdiri bersama mereka – dari jalan kota hingga ke ruang mahkamah antarabangsa, dan dari mimbar khutbah hingga ke layar digital. Selagi ada suara yang berani menentang kezaliman dan selagi ada tangan yang sedia membantu, harapan untuk pembebasan Palestin akan terus menyala, bukan sebagai impian, tetapi sebagai janji sebuah kemenangan.