Kes kecederaan kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dan kematian seorang bayi lelaki di pusat asuhan yang sama di Melaka baru-baru ini sekali lagi meresahkan para ibu bapa yang terpaksa meletakkan anak-anak mereka di pusat asuhan. Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat peningkatan kes berkaitan keselamatan kanak-kanak. Melaka sahaja merekodkan 306 kes penderaan kanak-kanak pada 2023, berbanding hanya 86 kes pada tahun sebelumnya. Sehingga Ogos 2024, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menerima lebih 2,000 laporan penderaan kanak-kanak secara nasional. Malah, beberapa kes kematian akibat kecuaian, termasuk ditinggalkan dalam kenderaan, turut direkodkan.
Perkembangan ini menunjukkan perlunya kita memperkukuh sistem penjagaan awal kanak-kanak secara menyeluruh. Ia bukannya untuk mencari salah mana-mana pihak, tetapi sebagai langkah bersama bagi mencegah tragedi yang boleh dielakkan. Ramai ibu bapa kini berada dalam dilema. Disebabkan keperluan ekonomi dan tempoh cuti bersalin yang terhad, pusat jagaan menjadi pilihan utama. Namun, pemantauan terhadap kualiti perkhidmatan serta kesediaan pengasuh untuk menghadapi situasi kecemasan masih dilihat tidak seragam. Ini menuntut perhatian yang khusus daripada semua pihak berkepentingan.
Sebagai saranan, beberapa langkah penambahbaikan boleh dipertimbangkan:
- Memperluas skop kawal selia pusat jagaan bayi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia, agar aspek keselamatan kanak-kanak dapat dikawal lebih rapi oleh pihak yang mempunyai kepakaran dalam pediatrik.
- Melengkapkan pengasuh dengan latihan pertolongan cemas dan pengetahuan asas kesihatan bayi, agar mereka bersedia bertindak cepat jika berlaku insiden yang tidak diingini.
- Menambah baik sistem akreditasi pusat jagaan dengan menumpu kepada aspek keselamatan dan kesejahteraan menyeluruh, bukan hanya pematuhan terhadap aspek pendaftaran.
- Meneliti semula dasar cuti bersalin sedia ada – sebagai langkah jangka panjang, cuti bersalin berbayar sekurang-kurangnya enam bulan dengan pilihan sambungan fleksibel wajar dipertimbangkan.
Hakikatnya, ibu adalah pengasuh terbaik bagi setiap anak, khususnya dalam tahun-tahun awal yang kritikal untuk perkembangan emosi dan fizikal. Dalam tempoh ini, kehadiran ibu bukan sekadar memberikan nutrisi dan penjagaan asas, tetapi juga menjamin kesejahteraan dan keselamatan anak scara menyeluruh.
Kajian kesihatan antarabangsa menunjukkan bahawa bayi yang dijaga oleh ibu sepanjang enam bulan pertama menunjukkan kadar kesihatan yang lebih baik, perkembangan yang seimbang, serta tahap kestabilan emosi yang lebih kukuh apabila dewasa kelak. Ini adalah pelaburan sosial yang besar dalam membina generasi sihat dan seimbang.
Melindungi Nyawa Adalah Tanggungjawab Bersama
Keterlibatan masyarakat sivil dan organisasi bukan kerajaan (NGO) juga amat penting dalam memperkukuh perlindungan terhadap kanak-kanak. Program sukarelawan, pemantauan komuniti serta advokasi kesedaran ibu bapa berkenaan hak dan keperluan perkembangan awal kanak-kanak boleh dijadikan pelengkap kepada usaha pihak kerajaan. Pendidikan awam mengenai kepentingan pemilihan pusat asuhan yang berdaftar serta pengetahuan tentang tanda-tanda penderaan atau pengabaian harus diperluas melalui pelbagai medium komunikasi, termasuk media sosial, ceramah komuniti dan kursus keibubapaan.
Lebih penting lagi, satu budaya prihatin dan tanggungjawab kolektif dalam kalangan masyarakat perlu dipupuk. Apabila kita melihat pusat asuhan sebagai ‘tanggungjawab bersama’, maka sebarang kecuaian tidak akan dipandang sepi. Masyarakat yang peka dan berani melaporkan salah laku boleh menjadi benteng awal sebelum sesuatu tragedi berlaku. Peranan jiran, rakan sekerja dan ahli keluarga tidak harus dipandang remeh dalam membantu memastikan kanak-kanak sentiasa berada dalam persekitaran yang selamat dan menyokong.
Daripada kaca mata Islam, menjaga nyawa (hifz al-nafs) ialah antara objektif utama Maqasid Syariah. Maka, usaha memastikan keselamatan bayi dan kanak-kanak bukan hanya terletak di bahu ibu bapa semata-mata, sebaliknya memerlukan peranan aktif dan menyeluruh daripada pihak pemerintah dan masyarakat. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: “Setiap kamu adalah penjaga, dan setiap penjaga bertanggungjawab terhadap orang yang berada di bawah jagaannya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Hadis ini jelas menunjukkan bahawa tanggungjawab terhadap anak-anak kecil bukan sekadar bersifat peribadi, bahkan merupakan amanah sosial yang dituntut oleh agama.
Al-Imam Ibn Qayyim menegaskan bahawa anak-anak adalah amanah Allah kepada ibu bapa dan masyarakat. Jika anak-anak dibesarkan dalam suasana yang cuai, maka ia akan memberi kesan kepada keseluruhan struktur sosial umat. Dalam hal ini, kerajaan sebagai pemegang kuasa awam perlu menyediakan dasar, sistem dan infrastruktur yang membolehkan ibu bapa menjalankan tanggungjawab keibubapaan dengan lebih baik. Cuti bersalin yang mencukupi, sistem penjagaan anak yang selamat, serta latihan pengasuh yang komprehensif – kesemuanya adalah bentuk pelaburan negara terhadap generasi masa depan. Ia bukan sekadar soal polisi, tetapi lambang keprihatinan sebuah negara terhadap rakyatnya yang paling kecil dan belum mampu membela diri.
Pelaksanaan beberapa inisiatif seperti pemasangan plak pendaftaran berkod QR di TASKA dan Program Advokasi Perkhidmatan TASKA yang dimulakan pada tahun 2024 menunjukkan langkah progresif pihak kerajaan dalam usaha ini. Namun, usaha tersebut wajar dilengkapi dengan penambahbaikan dasar dan pengukuhan sistem secara lebih menyeluruh.
Setiap nyawa anak kecil yang hilang bukan hanya tragedi buat keluarganya – tetapi juga satu tragedi pada kita apabila ia berlaku berulang-kali. Ia adalah peringatan kepada kita semua agar lebih serius memperbaiki sistem, lebih ikhlas menyantuni keperluan ibu bapa, dan lebih berazam untuk menyediakan ekosistem penjagaan anak yang lebih selamat dan berperikemanusiaan. Penambahbaikan sistem dan polisi bukanlah untuk ‘mereka’−para ibu bapa dan anak-anak, tetapi hakikatnya demi ‘kita’; demi masa depan negara dan demi nilai kemanusiaan yang kita junjung bersama.