Pada tahun ini, sebagaimana tahun-tahun terdahulu, orang-orang Islam seantero dunia memperingati ulang tahun kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW untuk kesekian kalinya.
Istimewa pada tahun ini, sambutan Mawlid di Malaysia berlangsung antara dua tarikh penting dalam sejarah, iaitu Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September.
Kemerdekaan bangsa dan negara sememangnya sangat seerti dengan kedua-dua tarikh tersebut.
Agar sambutan saban tahun ini tidak merosot menjadi rutin yang kehilangan tujuan, agar keraian ini bukan semata-mata meriah dengan dendangan salawat dan laungan merdeka namun hampa makna, maka sangat perlu renungan mata hati kita ditujukan kepada penyegaran intisari risalah Baginda dalam diri rohani kita masing-masing.
Risalah Baginda bermula dengan perintah Iqra’, Bacalah!
Begitulah yang telah kita diperingatkan berulang kali.
Yang barangkali kita terlepas pandang tatkala peringatan sedemikian disampaikan adalah bahawa seruan Ilahi tersebut sebenarnya perintah yang menongkah arus.
Nubuwwah yang dimulakan oleh penegasan Qur’ani tersebut tidak sealiran dengan bawaan hidup yang meluas dalam kalangan masyarakat Jahiliyyah Arab.
Gaya hidup yang melata pada ketika wahyu pertama itu disampaikan dicirikan oleh kebergantungan masyarakat manusia pada tanggapan indera mereka, hatta dalam anutan kepercayaan dan penyembahan.
Kongkongan inderawi tersebut teramat kuat sehinggakan kepercayaan kepada tuhan pun mesti tertakluk dengan tanggapan deria.
BERHALA: inilah ciri utama sasaran penyembahan mereka!
Objek sedemikian perlu ber“hala,” terpenjara dalam belenggu arah atau dimensi: depan-belakang; atas-bawah; kanan-kiri.
Begitulah cengkaman inderawi yang menjadi sifat kehidupan duniawi ini.
Ayat-ayat awal surat al-‘Alaq itu sesungguhnya langkah permulaan yang penting bagi membebaskan orang-orang yang beriman daripada perangkap pancaindera, khasnya yang berkaitan dengan ilmu dan keyakinan perihal Pencipta mereka.
Dalam Islam, Tuhan, yakni Allah SWT, tiada diber-hala-kan.
Allah dengan segala Sifat dan Nama-Nya tidak diyakini oleh seorang Muslim dengan cara mengambarkan-Nya atau mengacukan-Nya dalam rupa-bentuk yang dapat ditanggapi oleh deria insan.
Allah sama sekali tiada tertakluk dengan tuntutan tanggapan indera.
Kegiatan membaca yang tulen sebenarnya berkait rapat dengan kegiatan akliah insan untuk memahami apa yang terselindung daripada garapan derianya.
Membaca mengupayakan insan untuk menyelami makna yang tersirat dalam apa yang tersurat.
Membaca membentuk peribadi yang mengutamakan bahasa sebagai wahana berfikir sekali gus tidak mudah terperangkap oleh rangsangan deria (sensasi).
Membaca melatih insan untuk sabar dan tekun dalam kegiatan akliahnya, meskipun tidak putus-putus dilanda oleh godaan kegiatan jasadi yang mengasyikkan.
Membaca suatu riadah rohaniah untuk membolehkan insan memberi tumpuan kepada perkara abstrak atau mujarrad (yakni, yang bukan inderawi) dalam tempoh yang panjang.
Membaca melatih insan untuk tidak gopoh menerima dan mempercayai apa sahaja yang disogokkan kepada derianya, termasuk melalui layar atau skrin.
Jelas sekali bahawa Risalah Nabi SAW yang bermula dengan pemutusan rantaian hidup yang berpaksikan deria akhirnya berjaya menghasilkan peradaban hebat selama ratusan tahun di muka bumi ini.
Yang demikian itu seharusnya menginsafkan kita, orang-orang Islam kini, bahawa biarpun arus kuat teknologi semasa meminggirkan kegiatan membaca kepada sudut yang semakin mengecil, kita tidak sepatutnya tunduk melayani arus tersebut laksana hamba sahaya yang menuruti perintah tuannya tanpa pilihan.
Sebaliknya, sepertimana yang telah dicontohkan oleh Rasulullah SAW dalam sunnah dan sirah Baginda, kita perlu secara bermaruah memerdekakan diri kita daripada terheret meng-idola-kan masukan-masukan inderawi yang tidak putus-putus dipaksakan kepada kita oleh perkakasan teknologi semasa: gajet-gajet dengan beraneka perisiannya.
Marilah kita memerdekakan diri akliah dan rohaniah kita dengan menekuni bahan-bahan bacaan yang sarat manfaat, lagi bermutu penuh bermakna!