Dalam era peningkatan kesedaran alam sekitar kini, istilah “hijau,” “mesra alam,” “lestari,” “bebas bahan kimia” atau “alami” laris digunakan terutamanya untuk mencipta persepsi positif terhadap sesuatu produk, perkhidmatan atau jenama, mengikat kepercayaan dan kesetiaan pengguna serta mewujudkan tanggapan tentang mutu produk yang tinggi. Pengguna pula mudah berasa puas dan selamat apabila menggunakan produk yang diyakini “tidak merosakkan” alam. Namun, adakah semua ini benar atau sekadar satu lakonan pengeluar barangan atau sesebuah syarikat korporat? Artikel ini cuba menelusuri taktik acah hijau yang berleluasa di Malaysia dan membawa pembaca memikirkan baik-buruk strategi tersebut.
Di pasaran terdapat pelbagai produk “mesra alam.” Daripada barangan penjagaan diri, pembungkusan makanan hinggalah kempen di media sosial oleh syarikat besar yang cuba membuktikan komitmen mereka terhadap kelestarian. Hal ini merupakan satu perkembangan yang mengujakan. Namun realitinya, tidak semua yang didakwa “hijau” itu benar-benar bersifat lestari. Hal ini disebut sebagai acah hijau iaitu satu bentuk penipuan halus yang dilakukan oleh syarikat, organisasi atau entiti politik untuk mempopularkan imej keprihatinan kepada alam yang palsu. Hakikatnya, sebahagian besar daripada mereka sanggup membuat pelaburan tinggi untuk kelihatan “hijau” berbanding benar-benar menghasilkan produk atau melaksanakan operasi secara “hijau.”
Istilah acah hijau atau greenwashing mula digunakan oleh ahli alam sekitar, Jay Westerveld pada 1980-an. Ketika itu beliau mengkritik amalan di hotel yang kononnya ingin “menjaga alam” dengan tidak menukar tuala tetamu setiap hari. Malangnya, dalam masa yang sama, hotel-hotel tersebut masih melakukan pembaziran tenaga dan sumber lain dalam skala besar. Hal ini membuktikan bahawa keprihatinan alam itu hanyalah sekadar tarikan pemasaran. Hari ini, strategi acah hijau telah berkembang dan bukan lagi slogan tetapi merangkumi penggunaan logo, warna, pensijilan palsu dan istilah kabur tanpa bukti saintifik atau pematuhan kepada mana-mana standard rasmi.
Di serata dunia termasuk Malaysia, banyak syarikat mempromosikan organisasi mereka sebagai “menuju karbon neutral” tetapi masih menumpukan pelaburan pada projek bahan api fosil, pembukaan kawasan dan penebangan hutan. Begitu juga dalam dunia fesyen yang mendakwa menggunakan bahan kitar semula, sedangkan majoriti produk mereka masih diperbuat daripada bahan poliester dan kapas dari ladang yang menggunakan baja kimia berbahaya. Di Malaysia, situasi ini tidak jauh berbeza. Antara contoh yang boleh dikenalpasti ialah penggunaan beg plastik yang dilabel sebagai “biodegradable” tetapi sebenarnya memerlukan suhu tertentu dalam loji khas untuk diuraikan. Syarikat pemaju perumahan pula menggunakan label “Eco Park,” sedangkan ada sebahagian projek yang dibangunkan di atas tanah bekas hutan paya bakau atau kawasan tadahan air. Manakala, syarikat korporat kerap kali menganjurkan program penanaman pokok tetapi pemantauan selanjutnya tidak dilakukan.
Amalan acah hijau jelas menipu pengguna. Pengguna yang berniat baik untuk menyokong produk “hijau” akhirnya tertipu dengan dakwaan palsu tersebut. Selain itu, acah hijau juga melambatkan usaha atau tindakan untuk menangani masalah perubahan iklim. Ia mencipta ilusi bahawa pelbagai usaha sudah dilaksanakan untuk memulihara alam sekitar tetapi hakikatnya berbeza. Pengguna yang percaya, berasa selesa dan mungkin menghentikan desakan ke arah perubahan dasar berkaitan pemuliharaan alam. Keadaan ini juga melemahkan pelbagai gerakan pemuliharaan alam. Peningkatan dakwaan palsu yang dimomokkan kepada masyarakat akan mengurangkan keyakinan dan memudarkan kepercayaan mereka terhadap kejujuran sesuatu produk dan strategi pemasaran syarikat. Akhirnya, produk atau syarikat yang benar-benar jujur turut diseret dalam krisis keyakinan pengguna.
Masalah utama ketika ini ialah kurangnya penguatkuasaan dan piawaian jelas berkaitan pelabelan “hijau” di Malaysia. Walaupun kita mempunyai MyHIJAU, satu sistem pengiktirafan untuk produk dan perkhidmatan yang memenuhi piawaian alam sekitar tempatan dan antarabangsa, namun pengguna masih sukar membezakan antara dakwaan sah dan yang direka untuk iklan. Di Malaysia juga tiada akta khas yang menangani dakwaan “hijau” sesuatu produk, perkhidmatan atau penggunaannya sebagai strategi sesebuah syarikat. Akta Perlindungan Pengguna 1999 (seterusnya dipinda pada 2021) hanya menyentuh tentang larangan pemberian maklumat palsu atau mengelirukan berkaitan produk, perkhidmatan dan iklan secara umum tetapi tidak menyatakan garis panduan terperinci terhadap dakwaan “hijau” atau amalan korporat berkaitan kelestarian. Hal ini juga menyebabkan kelemahan dalam penguatkuasaan. Keadaan menjadi lebih membebankan apabila pendidikan dan kesedaran pengguna terhadap isu ini masih rendah. Kepincangan amalan acah hijau ini juga jarang dibongkarkan oleh pihak media.
Acah hijau sebenarnya adalah satu bentuk kemunafikan moden. Ia menyalahguna naratif alam sekitar untuk keuntungan. Jika tidak ditangani, kita sebenarnya merelakan penipuan ini berlaku. Abu Said al-Khudri RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda “Sesiapa di antara kamu melihat sesuatu kejahatan, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan lisannya, dan sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan hatinya yang demikian itu (mengingkarkan dengan hati) adalah selemah-lemah iman” (HR Muslim). Maka, mendedahkan kepincangan amalan acah hijau adalah sebahagian daripada jihad moden demi menyelamatkan alam, mengangkat kebenaran dan merealisasikan amanah dan tanggungjawab manusia sebagai khalifah.
Disarankan agar kerajaan menggubal garis panduan dan akta berkaitan acah hijau. Undang-undang iklan yang lebih ketat juga diperlukan bagi menghapuskan penipuan ini dan tindakan tegas perlu dikenakan kepada mereka yang didapati bersalah. Audit dan pensijilan lestari yang sah dan bebas juga perlu diwujudkan. Syarikat perlu diaudit oleh pihak ketiga sebelum mendakwa mereka “mesra alam.” Pihak media dan NGO juga harus berani membongkar kes-kes acah hijau dengan bukti yang kukuh. Akhir sekali, pendidikan kepenggunaan juga perlu memasukkan kemahiran mengenal pasti amalan acah hijau. Masyarakat perlu diajar untuk melihat tanda-tanda amalan acah hijau misalnya melalui penggunaan istilah yang kabur, ketiadaan data sokongan serta kegagalan memperincikan maklumat produk atau perkhidmatan yang “hijau.”