Fenomena media sosial telah membentuk rutin masyarakat moden, di mana para pempengaruh (influencer) sentiasa berlumba-lumba mengikut trend semasa dan menyampaikan pelbagai bentuk maklumat. Pengaruh besar ini bukan sahaja mengubah corak pemikiran dan tingkah laku dalam menilai sesuatu perkara yang dipaparkan, malah turut mengundang persoalan mendalam mengenai adab, penghormatan terhadap ilmu, serta peranan guru dalam membimbing generasi.
Media Sosial dan Pembentukan Budaya Popular
Media sosial telah beralih daripada sekadar medium hiburan kepada ruang pembentukan imej diri. Budaya viral dan trending menjadikan masyarakat cenderung mengukur nilai seseorang berdasarkan jumlah pengikut dan tontonan, dan bukan lagi berdasarkan akhlak dan kualiti ilmu. Keadaan ini membawa cabaran besar dalam konteks pendidikan dan pembentukan akhlak. Apabila populariti digital menjadi tanda aras kejayaan, nilai ilmiah dan adab kian diketepikan. Sikap mengejar maklumat segera dengan hanya menonton klip video pendek berbanding panduan ilmiah daripada ahli ilmu sebenar, mencetuskan kekeliruan apabila ilmu dicampur-adukkan dengan pandangan semata-mata untuk hiburan dan sensasi. Persoalannya, adakah pengaruh digital membawa manusia kepada kebaikan atau sekadar perlumbaan mendapatkan perhatian yang melalaikan?
Adab dengan Ilmu: Teras Keberkatan
Dalam Islam, adab merupakan asas yang penting sebelum seseorang menerima dan mengamalkan ilmu. Ulama terdahulu menegaskan bahawa keberkatan ilmu sangat bergantung kepada adab penuntutnya. Tanpa adab, ilmu berpotensi menjadi punca kesombongan, perbalahan, dan penyalahgunaan maklumat.
Isu paling membimbangkan dalam era digital ialah hilangnya rasa hormat terhadap guru. Terdapat kes pelajar yang sudah tidak berminat untuk menyambung Pelajaran lalu mempertikaikan guru secara terbuka. Tindakan dan percakpan mereka seolah-olah memperlekeh kemampuan mereka, seperti “aku belum pernah lihat guru memakai Lamborghini”. Sikap ini mencerminkan salah faham yang mendalam terhadap peranan guru sebagai pendidik.
Guru tidak dinilai melalui kemewahan keduniaan, tetapi melalui ilmu, kesabaran, dan budi pekerti yang ditanam kepada para pelajarnya. Dalam Islam, kedudukan guru amat tinggi kerana mereka adalah pewaris ilmu dalam membimbing manusia menuju kebenaran. Apabila guru dipersendakan di media sosial, ia bukan sahaja merendahkan martabat guru, tetapi juga menjatuhkan keberkatan ilmu yang diterapkan. Sikap pelajar yang mempersoalkan kredibiliti seorang guru telah mencerminkan keruntuhan adab yang memerlukan penekanan semula Pendidikan melalui kesedaran rohani dan pemahaman bahawa keberkatan ilmu datang bersama penghormatan terhadap guru.
Dimensi Ilmu Sejati: Perspektif Ibn al-`Arabī
Kajian sufi agung, Ibn al-`Arabī, dalam karyanya The Sufi Path of Knowledge, memberikan sudut pandang yang lebih mendalam terhadap persoalan adab dan ilmu dalam era digital. Karya penting yang telah diterjemahkan ini boleh didapati di Perpustakaan Tun Ahmad Sarji (PTAS), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), merumuskan inti pati pandangan beliau kepada tiga perkara utama:
1. Ilmu Sejati vs. Sangkaan (Zhann)
Menurut Ibn al-‘Arabī, apa sahaja pengetahuan yang tidak membawa manusia kembali kepada Allah SWT, tidak menghasilkan kedekatan (qarb) kepada-Nya dan tidak layak disebut ilmu. Sebaliknya, pengetahuan sedemikian hanyalah “sangkaan” (Zhann), iaitu pendapat atau andaian tanpa asas kebenaran. Pandangan ini sangat relevan apabila kita menilai kandungan media sosial hari ini. Banyak maklumat disebarkan semata-mata untuk hiburan, dan bukan untuk menambah ilmu atau memperbaiki akhlak. Allah SWT sendiri mengkritik mereka yang mengikut sangkaan semata-mata, seperti yang disebut dalam surah An-Najm ayat ke-28 yang bermaksud “Sedang mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya. Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan semata-mata, padahal sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad).”
2. Kebahagiaan Sejati adalah Kedekatan dengan Tuhan
Ibn al-`Arabī menegaskan bahawa kebahagiaan sejati (sa‘adah) dicapai melalui kedekatan (qarb) kepada Tuhan, yang dibina atas asas pengetahuan (ma‘rifah). Kedekatan ini diperolehi dengan meninggalkan kehendak diri yang melalaikan daripada Tuhan, dan bukannya dengan mengejar pujian manusia atau populariti media sosial. Hal ini memberi peringatan keras bahawa nilai sebenar seseorang terletak pada ilmu dan adabnya, bukan pada jumlah pengikut atau tontonan.
3. Ilmu Mesti Disertai Adab dan Amalan
Bagi Ibn al-`Arabī, ilmu yang membawa kepada Tuhan bukanlah teori semata-mata, tetapi ia adalah ilmu yang disertai dengan amalan kebaikan dan adab. Ilmu tanpa amalan adalah tidak lengkap dan tidak berkat. Pandangan ini selari dengan isu penghormatan guru, kerana adab terhadap guru adalah salah satu bentuk amalan yang memelihara keberkatan ilmu. Jika guru dihina atau dipandang rendah, keberkatan ilmu akan terhapus.
Mesej utama daripada perspektif Islam, yang diperkukuh oleh pandangan Ibn al-`Arabī, adalah jelas bahawa ilmu tanpa adab membawa kecelakaan. Masyarakat moden tidak boleh menjadikan media sosial sebagai sumber ilmu tanpa penapisan dan adab yang benar. Segala bentuk pengetahuan yang tidak mendekatkan kita kepada Allah SWT, tidak menyuburkan akhlak dan tidak mengangkat maruah guru adalah pengetahuan yang kosong. Malah ia bukanlah ilmu, tetapi sangkaan menyesatkan.
Para pengguna dan pempengaruh media social boleh memainkan peranan positif dengan menyebarkan ilmu sahih, mempromosikan adab dalam berkomunikasi, dan menjunjung martabat guru. Kita perlu kembali menghayati kepentingan adab dalam menuntut ilmu serta mempertahankan kehormatan guru sebagai pembimbing hidup. Kesedaran ini amat penting untuk membina masyarakat yang beradab dan berilmu dalam era kepantasan maklumat dan kecelaruan digital, agar kita bukan sahaja dihormati di dunia, tetapi juga mendapat pengiktirafan di sisi Allah SWT.

