Dalam persoalan membina intelektual muda yang bakal menerajui masa depan, semua pihak perlu memainkan peranan, tidak ada pihak yang boleh menyatakan mereka tidak terbabit dalam pembinaan masa depan. Dalam melihat agenda pembinaan intelektual ini, sudah pasti pendidikan adalah salah satu unsur yang penting. Dalam erti kata yang luas, ianya melibatkan ta’lim – proses penyampaian ilmu, ta’dib – proses mendidik kehalusan adab, dan tarbiah – proses melatih atau latihan.
Bagi menjamin satu usaha bersungguh-sungguh dan bersepadu, seperti yang dinyatakan di atas, semua pihak terlibat dan bertanggungjawab, antaranya;
1. Agensi Kerajaan
Dalam soal mendidik untuk menyediakan bakal-bakal intelektual pada masa akan datang maka sudah pastilah agensi pendidikan kerajaan merupakan yang paling hampir dan terlibat secara langsung. Di samping menyediakan bahan-bahan dan korikulum yang bermutu kepada para pelajar, suatu hal yang perlu juga diberi perhatian ialah kualiti para pendidik atau guru, dan juga pegawai-pegawai pendidik. Hal ini amat penting kerana di tangan merekalah diletakkan amanah untuk mencorakkan kualiti intelektual yang bakal muncul kelak. Oleh itu usaha yang bersungguh-sungguh perlu dilakukan bagi menjamin terbentuknya kualiti pendidik yang berwibawa.
Di peringkat universiti pula, di samping persoalan penghayatan budaya ilmu sebagai suatu gagasan yang mesti ditangani, kandungan kurikulum juga perlu diberi perhatian. Kandungan kurikulum universiti, perlu benar-benar menyediakan bakal-kakal intelektual yang berwibawa, mempunyai asas-asas ilmu yang kukuh, mempunyai visi yang tepat untuk membina masyarakat serta mempunyai sikap yang positif.
Perlu juga kita sedari bahawa, di samping pendidikan yang formal, pendidikan yang tidak formal juga amat mempengaruhi corak pemikiran bakal intelektual muda, terutamanya media massa. Media massa, samada yang dipunyai oleh agensi kerajaan atau pihak swasta seharusnya memberikan penekanan terhadap aspek-aspek pembinaan insan seorang manusia. Kita sangat menyedari bahawa kesan pendidikan yang formal akan menjadi tidak berkesan sekiranya media massa terus mempromosikan glamour seorang pelakun yang tidak berakhlak, adegan-adegan lucah dan ganas, gaya hidup bebas dan bermacam lagi.
2. Sektor Swasta
Sektor swasta juga tidak harus berlepas tangan dalam soal mendidik masyarakat dan seterusnya menyediakan bakal-bakal intelektual. Bahkan pihak swastalah yang paling banyak menikmati keupayaan bekerja, berfikir dan kreativiti pihak intelektual yang dihasilkan dari sisitem pendidikan. Justeru itu, pihak swasta juga perlulah memberikan bantuan secara langsung ataupun tidak langsung ke arah aktiviti-aktiviti pembinaan intelektual muda, dengan tidak melihat soal keuntungan semata-mata.
3. Ibu bapa dan Keluarga
Mahu tidak mahu ibubapa dan keluarga adalah merupakan pendidik terawal dan terhampir dalam pembinaan intelektual akan datang. Sikap lepas tangan sesetengah ibubapa dan keluarga adalah faktor yang bukan sedikit dalam menyebabkan keruntuhan akhlak golongan muda. Justeru itu, institusi keluarga adalah merupakan institusi yang paling ampuh dan berkesan untuk melahirkan golongan intelektual yang berwibawa.
4. Masyarakat Seluruhnya
Peranan masyarakat seluruhnya perlulah dikembalikan. Masyarakat silam umumnya prihatin terhadap anak jirannya, anak kampungnya, anak bangsa dan agamanya. Sikap seumpama ini serta kesediaan ibubapa memberikan ruang agar anaknya ditegur secara positif oleh masyarakat seluruhnya apatah lagi oleh pendidik di sekolah amatlah penting.
Secara keseluruhan, kita lihat perlunya peranan yang menyeluruh daripada semua pihak serta dengan pendekatan yang bersepadu. Dengan cara inilah InsyaAllah kita tidak akan memberi ruang untuk bakal intelektual hanyut ke dalam gelombang-gelombang yang merosakkan, tetapi sebaliknya mampu menjadi penyumbang yang berkesan kepada agama, bangsa dan negara.
Adalah diyakini, InsyaAllah dengan penglibatan dan komitmen semua pihak dalam proses pembinaan intelektual muda yang beriman dan bertaqwa, ia akan dapat menyumbangkan suatu pengharapan yang berasas kepada merealisasikan ajaran Islam seluruhnya yang menjadi idaman setiap Muslim.