Saban tahun, sejak 1957, rakyat Malaysia meraikan Hari Kemerdekaan Negara pada penghujung bulan Ogos.
Beberapa tahun kebelakangan ini, tempoh keraian tersebut merangkum bulan September, sempena peringatan ulang tahun penubuhan rasmi Malaysia.
Selain acara-acara peringatan tersebut, yang sering berupa pesta raya, turut sesekali kedengaran penegasan bahawa kemerdekaan hakiki ialah kebebasan budi-pekerti dan kemandirian akal-fikri dalam menentukan hala-tuju diri sendiri.
Malang sekali sekiranya keriangan berbentuk pesta itu acap kali meminggirkan atau menenggelamkan ragam sambutan yang lebih menampilkan serta mengingatkan kandungan batin kemerdekaan.
Kemerdekaan yang lebih bersifat dalaman itu, meskipun pasti akan zahir terjelma pada pelbagai wajah perlakuan luaran, sesungguhnya merujuk kepada akal insan.
Kerana dalam Islam, sebagaimana yang dihuraikan dalam kitab-kitab akidah-tasawwuf muktabar, akal itu mata-hati insan; akal itu ilmu insan; dan akal itu juga diri insan.
Maka, bagi memberi makna yang betul kepada kemerdekaan agar sentiasa disedari, dihargai dan dipelihara supaya terus berpanjangan, pengisian yang bersifat akliah dan bercirikan pemikiran perlu diperhebatkan.
Pengisian akliah dan pemikiran yang dimaksudkan di atas itu pasti melibatkan usaha melakukan muhasabah terhadap sebarang langkah dan usaha kita selama ini dalam memastikan bangsa kita merdeka zahir dan batin, bebas dalam berfikir dan bertindak sekaligus.
Tanpa dapat dinafikan, pendidikan dalam pelbagai bentuk dan pada tahap-tahap yang berbeza merupakan wahana terbaik untuk menjamin kemerdekaan yang menyeluruh itu.
Sejak sekian lama, kerajaan Malaysia yang bertunjangkan bangsa Melayu-Islam dan berpendekatan persepakatan dan muhibah antara berbagai suku-bangsa dan anutan agama, serius memperhebatkan mutu pendidikan.
Malah, disebabkan pendidikan yang tuntas dan seimbang didasari oleh dan berpaksikan pemupukan akal-budi, maka akhir-akhir ini penekanan semakin ketara diberikan terhadap pengasuhan akal dan penajaman fikiran, sebagaimana yang terzahir pada usaha pemupukan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dalam pendidikan rendah serta menengah dan seterusnya pada peringkat pengajian tinggi.
Namun, agar usaha tersebut betul-betul dapat memperhebatkan mutu akal generasi pewaris kemerdekaan Negara demi kelangsungan kemerdekaan yang penuh bermakna, langkah serta usaha yang diambil kerajaan itu, khasnya Kementerian Pendidikan, perlu dicirikan oleh sifat-sifat akal yang merdeka.
Soalnya, bagaimanakah dapat kita atau pihak-pihak berkepentingan tahu bahawa langkah-langkah sedemikian itu terhasil daripada diri yang merdeka? Dalam hal ini, sekurang-kurangnya dua soalan berikut perlu dijawab dengan ikhlas dan jujur oleh pihak-pihak yang terlibat:
Pertama, apakah langkah-langkah yang diambil itu—seperti pengisytiharan Tahun 2010 sebagai Tahun Kreativiti dan Inovasi Malaysia (selepas pemasyhuran Tahun 2009 sebagai Tahun Kreativiti dan Inovasi Eropah oleh Kesatuan Eropah), penggalakan Strategi Lautan Biru, penekanan terhadap KBAT, pengembalian jiwa Institusi Pengajian Tinggi, dan yang lain-lain seumpama itu—terhasil daripada usaha penelitian dan pemikiran asli para pengkaji dan perancang dalam Malaysia, ataupun sebenarnya lebih terikut-ikutkan apa yang sedang giat dicanangkan dan diusahakan oleh pihak-pihak lain di luar Negara? Meskipun tiada yang sama-sekali salah dalam mencontohi apa sahaja yang baik dan bermanfaat, namun perlu disedari dan diakui, usaha mencontohi itu sebenarnya usaha menuruti (yang lebih sesuai dengan sifat taqlid) dan sama-sekali berbeza dengan usaha meneroka, merekacipta dan merintis yang semuanya itu lebih mencirikan akal yang merdeka!
Kedua, sekiranya memang patut kita menuruti suri teladan yang baik daripada luar, maka apakah pelaksanaan contoh-teladan tersebut juga lebih bersifat pinjaman semata dari luar (dengan segala istilah yang menggemparkan!) atau lebih bercirikan ubah-suai yang sangat bertepatan dengan matlamat, tuntutan dan sifat pembawaan kita sendiri?
Yang pasti, baik yang diusahakan itu asli mahupun satu pengubahsuaian yang serasi dengan diri sendiri, kedua-duanya itu menuntut agar diri-sendiri terlebih dahulu dikenali dan difahami dengan baik. Malah, akal yang sihat pasti menuntut agar semua itu perlu berpadanan dengan diri yang bakal mengalaminya kerana baik-buruknya, sama ada yang segera ataupun yang kemudian, baik yang kelihatan mahupun yang tersembunyi, akan ditanggung oleh diri yang berkenaan itu.
Merujuk kepada KBAT dan orang-orang Islam, misalnya, malang sekali sekiranya ilmu berfikir pelbagai bentuk yang giat lagi halus yang sudah sedia sebati dalam pengajaran dan pembelajaran akidah—sebagaimana yang dipamerkan dalam karya-karya utama jurusan tersebut seperti Sharh al-Aqa’id al-Nasafiyyah, Sharh al-Mawaqif dan Sharh al-Maqasid—sama-sekali tiada diketahui; ataupun, jika disedari sekalipun, tiada pula dipedulikan dan betul-betul dikaji agar yang salah dapat diperbaiki, yang kurang dapat ditambahi, yang kuat makin diperkasakan, manakala yang kabur tambah diterangi. Kurangnya kesedaran, ataupun melatanya kejahilan yang sedemikian itu, bukannya sifat jiwa merdeka, tetapi sebaliknya, alamat lupa diri, atau lebih parah lagi, watak jiwa hamba nan kerdil yang hina menuruti!