Kebejatan akhlak dan pergaulan tanpa kawalan sesetengah ahli masyarakat boleh menyebabkan berlakunya perkara-perkara yang buruk, tidak diingini dan bertentangan dengan norma masyarakat. Dan antara kesan buruk daripada perlakuan salah ini ialah kelahiran anak luar nikah atau yang boleh diistilahkan sebagai ‘anak tidak syar’i’.
Enakmen Undang-undang Keluarga Islam mentakrifkan anak luar nikah sebagai anak yang dilahirkan di luar nikah dan bukan daripada persetubuhan syubhah. Anak ini mungkin dilahirkan dengan sebab perzinaan ataupun perbuatan rogol.
Pandangan masyarakat terhadap anak tidak syar’i lazimnya pandangan yang mengandungi prasangka sehingga kita telah terlepas pandang untuk membezakan perbuatan salah yang dilakukan oleh mereka yang melahirkan anak itu atau penyebab kepada kelahirannya, dengan anak itu sendiri sebagai kesan daripada kecurangan atau pengkhianatan terhadap hukum Allah SWT. Dengan kedudukannya yang tidak syar’i, bertambah malang keadaan anak tersebut apabila ia turut menerima kebencian dan peminggiran daripada masyarakat sedangkan perkara yang telah berlaku adalah disebabkan perbuatan salah orang tuanya. Dalam Surah Faatir, ayat 18, Allah berfirman dengan pengajaran yang boleh difahami iaitu, dosa yang dilakukan oleh seseorang tidak akan berpindah kepada seorang yang lain walaupun dari kalangan kaum kerabatnya. Maka anak-anak tidak syar’i tidak wajar dilibatkan dengan dosa yang dilakukan oleh mereka yang menyebabkan kelahirannya.
Maka dari segi kemanusiaan anak luar nikah masih tetap mempunyai hak diri dan hak sosial yang sama seperti anak-anak yang lain. Selain itu mereka turut mempunyai hak untuk diberi perlindungan, menerima pendidikan dan membesar, dan seterusnya apabila dewasa, mereka layak untuk mencari dan menemui keredaan Allah SWT serta mempunyai peluang yang sama untuk ditempatkan bersama-sama orang-orang yang bertakwa pada hari kemudian nanti.
Setiap anak yang dilahirkan di luar pernikahan tidak boleh dibin atau dibintikan kepada lelaki yang menyebabkan kehamilan luar nikah tersebut, yang diistilahkan sebagai ‘bapa putative’. Dan anak ini hanya dinasabkan kepada ibunya sahaja. Matlamat perundangan Islam atau maqasid Syariah adalah bagi memelihara agama, nyawa, akal, keturunan, harta benda dan maruah. Dalam hal ini keturunan adalah perkara yang penting dan dimuliakan oleh agama. Dan ia menjadi sebahagian daripada nilai maruah diri dan keluarga. Maka dari sudut aqli (rasionalnya), tidak adil bagi mereka yang memelihara keturunan mereka dengan menyambung zuriat melalui hubungan yang sah, sekiranya anak-anak tidak syar’i ini diberikan taraf yang sama. Sebaliknya, Seksyen 112 Akta Keterangan 1950 memperuntukkan bahawa kelahiran yang berlaku dalam masa perkahwinan adalah bukti muktamad tentang kesahtarafan. Dan akta ini hanya terpakai kepada orang-orang bukan Islam. Tetapi hukum Syarak mempunyai pendirian yang nyata berbeza dan ketidaksahtarafan anak masih tidak boleh dilindungi di sebalik pernikahan.
Walaupun ‘anak tidak syar’i’ tidak diminta untuk lahir ke dunia, perundangan Islam masih memperuntukkan hak kepada mereka sekalipun hanya berdasarkan kepada nasab ibu. Di sini, hakikat yang perlu diterima adalah, ibulah yang dipertanggungjawabkan untuk menanggung nafkah bagi anak tidak syar’i. Dan hak ini dilindungi oleh enakmen. Walau bagaimanapun, jika anak itu adalah hasil daripada perbuatan rogol maka ibu berkenaan tidak menjadi maudu’ (subjek) kepada undang-undang dan nafkah boleh diterima daripada baitulmal.
Tanggungjawab yang dikenakan ke atas ibu semata-mata memang dilihat membebankan sebelah pihak sahaja, iaitu pihak ibu dan terdapat pendapat agar Undang-undang Jenayah Syariah disemak semula untuk melihat sejauh mana peruntukan denda boleh dikenakan sebagai pampasan kecederaan kepada ibu yang terpaksa melahirkan anak tidak syar’i tersebut. Dengan wang pampasan tersebut nafkah anak dapat ditunaikan. Kita mungkin boleh menggunakan konsep diat yang dikenakan ke atas kesalahan tertentu seperti kesalahan bunuh sebagai asas kepada pengenaan pampasan tersebut. Walau bagaimanapun ada kemungkinan ia dilihat bahawa perlakuan salah yang dilakukan mendapat pembelaan dan perlindungan.
Selanjutnya hak anak tidak syar’i dari segi perwarisan adalah diiktiraf oleh Syarak, yakni, apabila ibu yang melahirkan meninggal dunia dan meninggalkan harta, maka anak ini berkelayakan untuk mewarisi harta tersebut. Sekiranya anak ini lelaki maka dia adalah golongan yang menghabisi baki setelah harta tersebut diperuntukkan kepada ibu, bapa dan suami kepada ibu tersebut. Walaupun ia baki, tetapi nisbahnya adalah yang terbesar berbanding tiga pihak yang ditinggalkan oleh ibunya.
Sekiranya berlaku pembunuhan terhadap ibunya, maka anak tidak syar’i adalah sebahagian daripada waris-waris utama yang boleh membuat keputusan hukuman terhadap pembunuh tersebut sama ada hendak menjalankan hukuman qisas, pembayaran diyat ataupun diampunkan sepenuhnya. Sehubungan daripada itu, sekiranya keputusan hukuman adalah pembayaran diat daripada pihak yang membunuh, maka dia adalah waris yang berhak untuk menerima peruntukan pampasan tersebut.
Berhubung soal pemilikan harta juga, sebenarnya anak tidak syar’i boleh menerima pemindahan milik daripada sesiapa termasuklah daripada bapa putativenya. Ada kemungkinan ‘bapa’ ini berkahwin dengan ibu yang melahirkan dan bapa putative tersebut boleh memberi atau memindahkan harta kepada anak tersebut dengan cara hadiah, hibah atau wasiat sebagai menjaga kebajikan anak ini. Secara umumnya hadiah dan hibah adalah pemberian semasa pemilik harta hidup dan ia tidak mempunyai had tertentu bagi kadar pemberian tersebut, sementara wasiat adalah pesanan daripada pemilik harta supaya hartanya diberikan kepada orang tertentu, selain waris, dengan kadar tidak melebihi satu pertiga daripada keseluruhan harta yang dimiliki.
Anak tidak syar’i yang telah dewasa sama seperti orang dewasa yang lain dan boleh bermuamalah dengan sesiapa tanpa sebarang halangan. Malah anak lelaki dari kalangan anak ini boleh menjadi wali pernikahan ibu mereka sekiranya menurut senarai wali yang disediakan oleh Mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali. Hanya Mazhab Shafi’i sahaja tidak meletakkan anak lelaki di dalam senarai wali kepada pernikahan ibunya, tetapi ini tidak bermakna Mazhab Shafi’i menolak pendapat tiga Imam ini.
Kelahiran yang sedemikian juga tidaklah menjadi sebab untuk tidak mempunyai hak membina keluarga seperti orang lain yang sah taraf dari segi Syarak. Disebabkan nasabnya kepada ibu, maka anak perempuan yang tidak syar’i perlu bernikah dengan berwalikan hakim.
Kesimpulannya, anak tidak syar’i masih mempunyai kedudukan, iaitu di sisi ibunya sekalipun ia tidak mempunyai bapa dari segi Syarak. Hak-hak dirinya mempunyai tempat dalam perundangan Islam dan dilindungi sepenuhnya. Walaupun demikian adalah menjadi tanggungjawab bagi setiap pihak dan peringkat untuk berusaha dan bertindak agar anak tidak syar’i tidak terus bertambah menjadi sebahagian daripada ahli masyarakat.