KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) — Revolusi digital sejagat telah melambakkan pilihan berlimpah-ruah melalui pelbagai media baru dan lama, daripada televisyen-darat dan televisyen-satelit serta Internet, membawa kepada media iPod, wayang gambar, telefon mudah-alih, dan permainan video dan banyak lagi.
Pendidikanlah yang memupuk kita supaya bersikap bijaksana, dan supaya kita penuh dengan budi-bicara dalam memilih karya, rancangan dan program media yang baik lagi menyihatkan akal-budi.
Dalam ruang lingkup ini, karya dan rancangan media pernah diibaratkan oleh John Milton (m. 1674) sebagai “hidangan” yang dipersembahkan untuk santapan para pembaca atau penonton.
Kalaulah perut kita sudah sedia sakit, tidaklah ada bezanya sama ada hidangan yang dipersembahkan itu makanan yang menyihatkan ataupun tidak. Begitulah juga, bagi mereka yang sudah sedia berfikiran jahat, karya atau rancangan yang baik pun akan digunapakai sebagai kesempatan untuk mempelajari benda-benda yang buruk.
KUMPULAN SASARAN MEDIA PERLU BERHATI-HATI
Sebaliknya, para pembaca atau penonton yang bijaksana dan berhati-hati akan mampu untuk memanfaatkan karya atau rancangan yang mempunyai unsur yang asalnya tidak baik, pertamanya sebagai sumber bukti yang boleh digunakan untuk menyangkal perkara-perkara yang salah dan menjelaskan apa yang benar.
Mereka yang bijaksana juga boleh menjadikan isi karya atau rancangan itu sebagai sumber pengetahuan yang boleh digunakan untuk menasihati masyarakat sebelum bencana sosial terjadi, untuk memberikan amaran awal kepada anggota masyarakat supaya terlebih dahulu beringat, supaya jangan sampai “sudah terhantuk baru tengadah”.
Ibarat perlunya kita bersederhana dalam makan dan minum, seperti itulah tiap-tiap pembaca atau penonton yang matang dan masak akal-fikirannya harus berupaya untuk mengawal, mengekang dan memimpin maruah dirinya sendiri dalam membaca karya atau menonton rancangan yang disalurkan melalui pelbagai media.
Pendekatan `censorship’ yang bersifat memaksa semata-mata tidak akan mendatangkan sebarang makna. Pendekatan yang bersifat mengawal secara paksa semata-mata adalah satu pendekatan dangkal yang akan menimbulkan silap-faham, di mana tindakan kerajaan melalui agensi lembaga penapisan akan dianggap kejam dan keras.
TINDAKBALAS NEGATIF RAKYAT
Ini boleh menimbulkan tindakbalas muak dan jelak dari kalangan rakyat amnya dan karyawan terbabit khasnya.
Tidak ada manusia yang suka dipaksa, yang suka diasak atau disumbatkan sahaja tekaknya untuk percaya secara buta-butaan.
Umumnya manusia sukar untuk percaya tanpa sebarang kefahaman mengenai sesuatu perkara yang berlainan daripada apa yang mereka telah sedia percaya.
Lazimnya manusia lebih suka jika mereka diizinkan dan diberi masa untuk memeriksa kebenaran dan kepalsuan atau kelebihan dan kekurangan sesuatu pandangan tanpa sebarang tipu-daya daripada mana-mana pihak.
Manusia suka bebas untuk belajar mencari kebenaran. Justeru itu, memberi galakan pendidikan kepada warga Malaysia untuk belajar mengenai kebenaran, akhlak (yang merangkumi kedua-dua istilah bahasa moden “integriti moral” dan “etika”) dan agama adalah penting demi kemajuan negara.
RAKYAT DENGAN PEMIKIRAN TAJAM SUKAR DIPERDAYA
Apabila kita memiliki rakyat yang tajam pemikirannya, maka mereka tidak akan mudah diperdaya oleh sesiapa sahaja.
Apabila kita memiliki rakyat yang bijaksana dalam menapis sendiri keburukan dan menolak anasir-anasir yang mempunyai kepentingan diri daripada mempengaruhi mereka melalui apa sahaja saluran media.
Dalam rangka itu nanti, rakyat yang bijaksana sememangnya berhak untuk mendapat maklumat yang penuh lagi saksama menerusi media.
Saya percaya kerajaan akan sentiasa ingat bahawa oleh kerana asas kerajaan kita adalah undi yang merupakan pendapat rakyat, begitulah juga kita perlu memelihara hak rakyat untuk berpendapat dan berkarya secara yang sihat.
Penulis adalah Fellow Kanan/Pengarah Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
— BERNAMA